Home Tazkirah Ramadhan DMPM

Tazkirah Ramadhan Siri 27/1438H

786
SHARE

Tazkirah Ramadhan Siri 27/1438H
 
Tadabbur Al Quran Juzuk 27: Surah Al-Hadid: Ayat 20

Terjemahannya:

Ketahuilah bahawasanya kehidupan dunia hanyalah permainan dan hiburan serta perhiasan dan saling bermegah-megah antara kamu serta berlumba-lumba memperbanyakkan harta benda dan keturunan , samalah seperti hujan yang menjadikan penanamnya kagum dengan kesuburannya, kemudian tanaman itu menjadi kering dan menjadi kuning dan akhirnya menjadi hancur. Dan di akhirat ada azab yang dahsyat (disediakan bagi golongan yang hanya mengutamakan kehidupan dunia itu) dan (ada pula) keampunan serta keredhaan daripada Allah (disediakan bagi orang yang mengutamakan akhirat). Dan kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan untuk orang yang terpedaya. (ayat 20)

Tafsir ringkas:

1. Ayat ini Allah s.w.t menggambarkan tentang perumpamaan kehidupan dunia, bahawa sesungguhnya kehidupan dunia itu adalah kemewahan yang fana dan nikmat yang pasti lenyap.

2.  Hakikat kehidupan dunia / ciri-ciri khusus dunia yang diterangkan adalah:

a) Dunia umpama pesta mainan. Bermain pula adalah budaya kanak-kanak. Mereka bermain bersungguh-sungguh sehingga letih tetapi tanpa sebarang faedah.

b) Dunia umpama hiburan yang melalaikan.

c) Dunia umpama perhiasan. Berhias dan bersolek menjadi kebiasan bagi kaum wanita itu menyempurnakan segala kekurangan.d) Dunia tempat bermegah-megah yang akhirnya akan fana.f) Dunia umpama ‘takathur’ (tempat pembiakan) untuk memperbanyakkan anak dan harta benda duniawi.3.  Ayat ini juga menerangkan bahawa dunia hanya sementara dan cepat hilang umpama tumbuh-tumbuhan yang tumbuh di musim hujan yang ikut lenyap dengan berakhirnya musim tersebut.4.  Allah memperingatkan kita tentang godaan dan pesona dunia. Dalam masa yang sama Allah galakkan manusia mengambil manfaat yang ada di dunia supaya menjadi bekalan di akhirat.
 
5.  Kehidupan dunia ini amatlah hina/rendah apabila dibandingkan dengan kehidupan akhirat.

6.  Kehidupan yang abadi adalah kehidupan di akhirat yang mana ada dua kemungkinan iaitu mendapat kehinaan azab Allah atau mendapat kesenangan dan redha Allah

 

Pengajaran:
1. Setiap amal perbuatan serta seluruh kehidupan seharian yang  dilakukan mestilah diniatkan bagi mendapat keredhaan Allah,bukan mengikut hawa nafsu dan godaan syaitan semata.

2. Sentiasa bersikap bersederhana dalam memenuhi kehendak duniawi terutamanya dalam soal mengumpulkan harta benda,anak pinak dan pangkat.

3. Sentiasa berusaha memperbaiki diri serta memohon keampunan dan keredhaan Allah s.w.t. Antara perkara-perkara yang boleh dilakukan:

a) Taubat Nasuha

b) Melazimi serta menghayati Istighfar dengan sebenar-benarnya.

c) Segera menunaikan solat di awal waktu dan meninggalkan segala pekerjaan yang dilakukan ketika itu apabila telah masuk waktu solat.

d) Menjauhi dosa-dosa dan tempat-tempat yang boleh menjerumuskan diri ke dalam dosa.

e) Memperbanyakkan ibadah-ibadah sunat

f) Menjaga hubungan baik sesama ahli keluarga, jiran,kawan mahupun masyarakat,serta berbuat baik kepada mereka.

g) Membelanjakan harta untuk Islam dan membantu golongan faqir miskin dan yang memerlukan.

 

4. Sentiasa bersyukur dengan segala kenikmatan dunia yang Allah kurniakan kepada kita daripada sekecil-kecil nikmat sehingga sebesar-besar nikmat seperti nikmat kesihatan,nikmat zuriat,nikmat tempat tinggal dan sebagainya.

5. Sentiasa bermuhasabah dan mengingati bahawa kehidupan di dunia hanyalah sementara. Yang kekal hanyalah kehidupan akhirat. Setiap jiwa manusia pasti akan merasai kematian. Persiapkan diri untuk bertemu dengan Sang Pencipta.

 

Rujukan: Tafsir Al-Munir, Tafsir Al Azhar, Tafsir Ibn Kathir, Tafsir Fi Zilalil Quran.

Disusun oleh:
Lajnah Dakwah DMPM dengan kerjasama Ameerah dan Lajnah Penerangan & IT DMPK Gombak.
27 Ramadhan 1438/ 22 Jun 2017