Home Tazkirah Ramadhan DMPM

Tazkirah Ramadhan Siri 21/1438H

759
SHARE

Tazkirah Ramadhan Siri 21/1438H

Tadabbur Al Quran Juzuk 21: Surah Ar Rum: Ayat 41 – 42

Terjemahannya :

Telah timbul pelbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia. Timbulnya yang demikian kerana Allah hendak merasakan pula kepada mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat ke jalan yang lurus). (ayat 41)

Katakanlah: “Mengembaralah kamu di muka bumi kemudian lihatlah bagaimana kesudahan orang-orang yang telah lalu (yang telah dibinasakan); kebanyakan mereka adalah orang-orang musyrik”. (ayat 42)

Tafsir ringkas:

1. Dalam ayat 41, Allah SWT menyatakan bahawa penyebab utama semua kerosakan yang terjadi di muka bumi ini adalah akibat dari perbuatan buruk dan maksiat yang dilakukan manusia. Ini menunjukkan bahawa perbuatan maksiat dan kejahatan adalah inti kerosakan yang sebenarnya dan merupakan sumber utama kerosakan-kerosakan yang zahir di muka bumi.

2. Allah menjadikan manusia sebagai khalifah yang bermaksud pelaksana kepada kehendak Allah. Banyak rahsia kebesaran Allah menjadi jelas dengan daya usaha manusia. Justeru, syarat utama untuk menjadi khalifah adalah _MUSLIH_ bermakna suka memperbaiki / memperindahkan sesuatu.

3. Punca utama pembuat kerosakan adalah hati yang rosak. Kemudian, ia terzahir kepada perbuatan. Justeru, janganlah terpesona dengan pembangunan fizikal seperti menara dan bangunan yang canggih, penciptaan rekod baru, penerokaan angkasa lepas dan sebagainya sedangkan hati manusia sebenarnya makin jauh dari Allah, hidup lebih sengsara, peperangan dan kemusnahan bermaharajalela, dan perikemanusiaan telah hilang serta niat jahat semakin dominan.

4. Contoh _fasad_ atau kemusnahan yang ditafsirkan adalah kemarau, tumbuhan berkurangan, kebakaran, banjir, jenayah  berleluasa, rompakan dan pertumpahan darah di darat dan laut, rampasan harta dan kuasa secara zalim, bencana di sini sana.

5. Ulama mengatakan bahawa barang siapa yang berbuat derhaka kepada Allah di bumi, bererti dia telah berbuat kerosakan di bumi, kerana terpeliharanya kelestarian bumi dan langit adalah dengan ketaatan kepada Allah SWT. Kerana itu, disebutkan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Abu Daud yang bunyinya: Sesungguhnya suatu hukuman had yang ditegakkan di bumi lebih disukai oleh para penghuninya daripada mereka mendapat hujan selama empat puluh hari.Dikatakan demikian kerana bila hukuman-hukuman _had_ ditegakkan, maka semua orang atau sebagian besar dari mereka atau banyak dari kalangan mereka yang menahan diri dari perbuatan maksiat dan perbuatan-perbuatan yang diharamkan. Apabila perbuatan-perbuatan maksiat ditinggalkan, maka hal itu menjadi penyebab turunnya berkah dari langit dan juga dari bumi.

6. Disebutkan di dalam kitab _Sahihain_ melalui salah satu hadisnya yang mengatakan:Apabila seorang penderhaka mati, maka merasa gembiralah semua hamba, negeri, pepohonan, dan haiwan-haiwan dengan kematiannya itu.

7. Kerosakan adalah satu bentuk bala bencana yang mesti diinsafi kerana ia tidak lain sebagai suatu kehendak dari Allah buat manusia dan sekaligus sebagai balasan bagi perbuatan mereka agar mereka kembali (ke jalan yang benar) dan tidak lagi mengerjakan perbuatan-perbuatan maksiat, sebagaimana yang disebutkan dalam ayat lain melalui firman-Nya:Dan Kami uji mereka dengan (nikmat) yang baik-baik dan (bencana) yang buruk-buruk, agar mereka kembali (kepada kebenaran)._ (Al-A’raf: 168)

8. Ini disambung dengan _mafhum_ ayat Quran yang seterusnya, iaitu anjuran Allah kepada manusia supaya berjalanlah di muka bumi dan perhatikanlah bagaimana kesudahan orang-orang yang terdahulu sebelum kalian yang mana kebanyakan dari mereka itu adalah orang-orang yang mempersekutukan (Allah). Maka lihatlah apa yang telah menimpa mereka disebabkan mereka mendustakan para rasul dan mengingkari nikmat-nikmat Allah.

Pengajaran Ayat

1. Manusia perlu sentiasa beringat dan juga selalu disedarkan tentang tugas utama mereka di bumi ini, tidak lain tidak bukan semata-mata sebagai hamba Allah yang memakmurkan bumi (hamba Allah dan juga _khalifatullah_) sebelum kembali ke negeri abadi.

2. Allah menjadikan kehidupan dan kematian sebagai suatu ujian dan cubaan untuk melihat siapakah antara kita yang berjaya dalam ujian ini, dan siapakah yang paling baik amalnya (Surah al Mulk)

3. Di zaman kini, banyak kemusnahan bermaharajalela yang tidak terbendung lagi.Contoh di darat : sistem pengangkutan bertambah cepat, jarak semakin dekat, namun kadang-kala hati bertambah jauh. Contoh di laut : Kilang dan perindustrian maju tetapi mengalirkan air tercemar ke laut, tumpahan minyak dari kapal di laut juga menyebabkan air yang indah tercemar, dan berjuta haiwan laut mati bergelimpangan setiap hari.Justeru hendaklah kita sentiasa sedar agar tidak turut terjerumus dalam kemungkaran ini dengan melakukan kerosakan kepada alam sekitar.

4. Kafarah (pembalasan) akan berlaku, di mana bila kita melakukan sesuatu kejahatan, kesannya akan kembali semula pada diri kita sendiri. Justeru itu kita hendaklah segera menyesal dan banyakkan bertaubat di hadapan Allah SWT dengan taubat nasuha.

5. Penghujung ayat, _”supaya mereka kembali insaf”_ menunjukkan bahawa masih ada sinar harapan untuk kembali bermuhasabah diri, memperbaiki niat dan hubungan dengan Allah. Jangan sesekali hanya memikirkan keuntungan dan keseronokan bersifat sementara sedangkan kesannya sangat mendalam dan berkekalan untuk dunia akhirat kita.

6. Jadikan Ramadhan ini sebagai titik tolak terbaik untuk bermuhasabah kembali tentang tugas kita sebagai hamba Allah dan khalifahNya di muka bumi.

7. Pelaksanaan undang-undang jenayah Islam meliputi hukum hudud, qisas dan ta’zir merupakan antara agenda penting di dalam masyarakat Islam kerana selain ia merupakan hukum yang diturunkan dari Allah, ia juga merupakan suatu langkah yang efektif untuk membendung manusia dari berbuat maksiat dan kezaliman.

 

Rujukan:
1. Tafsir Ibn Kathir oleh Ibn Kathir
2. Tafsir al Munir oleh Dr Wahbah az Zuhaily
3. Tafsir Azhar oleh HAMKA

Disusun oleh:
Lajnah Dakwah DMPM dengan kerjasama Ameerah dan Lajnah Penerangan & IT DMPK Gombak.
21 Ramadhan 1438/ 16 Jun 2017