Home Tazkirah Ramadhan DMPM

Tazkirah Ramadhan : Siri 17/1438H

1149
SHARE

Tadabbur Al-Quran 

Juzuk 17: Surah Al-Hajj: Ayat 11 – 13

Firman Allah serta terjemahannya:

Dan ada antara manusia yang menyembah Allah dengan sikap dan pendirian yang tidak tetap, iaitu jika dia beroleh kebaikan, hatinya senang dengan keadaan itu; dan jika dia ditimpa fitnah kesusahan, dia berbalik semula (kepada kekufurannya). (Dengan sikapnya itu) rugilah dia di dunia dan akhirat, itulah kerugian yang terang dan nyata. (11)

Dia menyeru dan menyembah makhluk-makhluk selain daripada Allah, yang tidak dapat membahayakannya dan tidak dapat mendatangkan kebaikan kepadanya; itulah kesesatan yang jauh terpesong. (12)

Ia menyeru sesuatu yang mudharatnya lebih dekat daripada manfaatnya. Sesungguhnya yang diserunya itu adalah sejahat-jahat penolong dan sejahat-jahat kawan. (13)

Tafsir ringkas:

1. Ayat-ayat di atas mendedahkan tentang segolongan manusia yang mengaku beriman, namun menyembah Allah SWT dalam keadaan bimbang dan ragu-ragu terhadap Islam yang di anutinya. Antara ciri-ciri mereka ialah:

i) Keyakinannya rapuh dan dikuasai oleh kepentingan-kepentingan peribadi.

ii) Apabila mendapat kebaikan, dia berasa tenang dan bahagia. Sebaliknya, apabila diri, harta, ataupun anaknya ditimpa kesulitan, dia akan kembali kepada kekafiran.

2. Mujahid dan Qatadah menyatakan, maksud (A’la harfin) dalam ayat ini adalah orang yang ragu dalam ibadahnya. Keadaan itu umpama seseorang yang berada di tepi bukit, iaitu dia tidak dapat berdiri dengan tetap dan teguh. Dengan kata lain, seseorang yang masuk Islam dengan tidak sepenuh hati. Sekiranya dia mendapat kebaikan dan kesenangan, maka dia akan tetap dalam Islam. Sekiranya tidak, dia kembali menjadi kafir.

3. Orang yang sebegini adalah orang yang rugi di dunia kerana telah kehilangan ketenangan dan keyakinan kepada ketentuan Allah SWT. Di akhirat pun ia akan rugi kerana tidak mendapatkan pahala yang dijanjikan oleh Allah SWT kepada orang-orang Mukmin yang sabar dan kukuh imannya. Kerugian berganda itu adalah kerugian yang benar dan nyata.

4. Golongan yang rugi ini juga tiada pendirian. Mereka juga menyembah berhala-berhala selain daripada Allah padahal sembahan itu tidak dapat memberi apa-apa manfaat kepadanya. Sembahan itu juga tidak dapat memberi apa-apa mudharat kepadanya. Perbuatan yang dilakukan itu adalah kesesatan yang jauh daripada kebenaran.

5. Golongan ini sebenarnya menyembah selain daripada Allah SWT dan berdoa kepada tuhan yang mana mudharat dan bahayanya lebih dekat dari manfaatnya. Sesungguhnya yang diseru dan disembah itu adalah sejahat-jahat kawan, penolong dan kerabat yang paling jelek.

Pengajaran

1. Kita hendaklah tetap pendirian dan yakin dengan sepenuh hati dengan agama Islam dan apa sahaja yang disyariatkan oleh Allah.

2. Apa sahaja bentuk anutan dan pemikiran selain daripada Islam tidak akan memberi ketenangan dan kebahagiaan hidup kepada kita sama ada dunia ataupun akhirat.

3. Katakan ‘tidak’ pada sekularisme, pluralisme, liberalisme, budaya hedonisme, gaya hidup bebas, anti hijab, pergaulan bebas, anti ulama dan apa jua usaha dan gerakan yang cuba untuk memadamkan syariat Islam daripada kehidupan umat.

4. Yakin dan percaya bahawa hanya Allah SWT yang berkuasa memberi kebaikan dan musibah kepada manusia. Kesenangan dan kesusahan, kemenangan dan kekalahan di tangan Allah SWT. Kita hanya hamba yang wajib memberi sepenuh pengabdian kepadaNya dalam apa jua keadaan kita.

5. Bersyukurlah ketika menerima nikmat dan bersabarlah ketika ditimpa musibah. Itulah jiwa mukmin yang penuh keajaiban.

6. Gandakan amalan, teruskan perjuangan, perkasakan perancangan. Hanya Allah sebaik-baik tempat pergantungan dan memohon pertolongan.

Rujukan:
Tafsir Ibnu Kathir, Tafsir Jalalain

Disusun oleh:
Lajnah Dakwah DMPM dengan kerjasama Ameerah dan Lajnah Penerangan & IT DMPK Gombak.
17 Ramadhan 1438 / 12 Jun 2017

 

{jathumbnail off}