Home Tazkirah Ramadhan DMPM

Tazkirah Ramadhan : Siri 14/1438H

1351
SHARE

 

Tadabbur Al Quran

Juzuk 14: Surah Al-Hijr: Ayat 39-40

Firman Allah serta terjemahannya:

Iblis berkata: “Wahai Tuhanku! Kerana Engkau telah menjadikan daku sesat, (maka) demi sesungguhnya aku akan memperelokkan segala jenis maksiat kepada Adam dan zuriatnya di dunia ini, dan aku akan menyesatkan mereka semuanya,

Kecuali di antara zuriat-zuriat Adam itu hamba-hambaMu yang dibersihkan dari sebarang syirik”.

Tafsir ringkas:

1. Dalam ayat ini, Allah menceritakan tentang keangkuhan Iblis dan keingkarannya terhadap perintah Allah S.W.T

2. Setelah itu, Iblis telah bersumpah untuk menyesatkan anak cucu Adam dengan membuat mereka merasa senang dan memandang baik perbuatan-perbuatan maksiat serta akan menghasut anak Adam untuk melakukan maksiat.

3. Apabila Iblis menyatakan bahawa ia telah disesatkan oleh Allah, itu hanyalah satu bentuk ancaman. Sebenarnya bukan Allah yang menyesatkan mereka, tetapi mereka sendiri yang telah memilih jalan yang sesat.

4. Oleh kerana Iblis telah diakui sesat, ia berusaha keras untuk menyesatkan semua anak Adam sehingga mereka mengikut jejaknya, kecuali sedikit sahaja iaitu hamba yang mukhlasin (orang yang dibersihkan daripada sebarang syirik).

5. Keikhlasan adalah benteng dan pertahanan yang sangat kukuh yang tidak boleh ditembus oleh syaitan apalagi dikuasai oleh mereka.

Pengajaran:

1. Anak Adam hendaklah sentiasa menambahkan ilmu pengetahuan dari semasa ke semasa agar dengan ilmu tersebut dapat membezakan antara yang haq dan yang batil, seterusnya menghindarkan dari daripada terpedaya dengan hasutan iblis dan syaitan.

2. Setiap ibadat yang dilakukan mestilah ikhlas semata-mata kerana Allah Taala. Cukuplah Allah saja yang memuji amalan kebajikan kita kerana yang kita cari adalah redha Allah, bukan komentar dan pujian manusia dan bukan pula untuk mendapat balasan dunia atau sebagainya.

3. Untuk mencapai tingkat mukhlasin memerlukan latihan spiritual (mujahadah) yang tinggi dan konsisten (istiqamah) kerana sangat sedikit orang yang mencapai tingkat sebegini.

4. Sentiasalah bergaul dengan orang yang soleh dan mengikut petunjuk para ulama kerana ulama itu pewaris Nabi. Di samping itu, sibukkanlah diri dengan aktiviti yang mendekatkan diri dengan Allah seperti majlis tadarus, usrah, kuliah dan sebagainya. Mudahan ia menjadi satu usaha untuk membenteng diri daripada godaan iblis dan syaitan.

5. Jangan malas berdoa kepada Allah memohon pelindungan daripada godaan Iblis dan syaitan. Jika Iblis yang merupakan makhluk-Nya terburuk Allah kabulkan doanya, maka bagaimana dengan seorang mu’min yang taat kepada Allah? Antara doa perlindungan dari kejahatan Iblis dan syaitan ialah ayat 97 – 98 Surah Al-Mu’minun:

Dan katakanlah: “Wahai Tuhanku, aku berlindung kepadaMu dari hasutan syaitan-syaitan

Dan aku berlindung kepadaMu, wahai Tuhanku, supaya syaitan-syaitan itu tidak menghampiriku”.

Rujukan: Tafsir Ibnu Kathir

Disusun oleh:
Lajnah Dakwah DMPM dengan kerjasama Ameerah dan Lajnah Penerangan & IT DMPK Gombak.
14 Ramadhan 1438/ 9 Jun 2017

 

{jathumbnail off}