Home Tazkirah Ramadhan DMPM

Tazkirah Ramadhan Siri 06/1438H

746
SHARE

Tazkirah Ramadhan Siri 06/1438H

Tadabbur Al Quran Juzuk 6: Surah Al-Maidah: Ayat 48-50

Terjemahannya:
Dan Kami turunkan kepadamu (wahai Muhammad) Kitab (Al-Quran) dengan membawa kebenaran, untuk mengesahkan benarnya Kitab-kitab Suci yang telah diturunkan sebelumnya dan untuk memelihara serta mengawasinya. Maka jalankanlah hukum di antara mereka (Ahli Kitab) itu dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah (kepadamu), dan janganlah engkau mengikut kehendak hawa nafsu mereka (dengan menyeleweng) dari apa yang telah datang kepadamu dari kebenaran. Bagi tiap-tiap umat yang ada di antara kamu, Kami jadikan (tetapkan) suatu Syariat dan jalan ugama (yang wajib diikuti oleh masing-masing). Dan kalau Allah menghendaki nescaya Ia menjadikan kamu satu umat (yang bersatu dalam ugama yang satu), tetapi Ia hendak menguji kamu (dalam menjalankan) apa yang telah disampaikan kepada kamu. Oleh itu berlumba-lumbalah kamu membuat kebaikan (beriman dan beramal soleh). Kepada Allah jualah tempat kembali kamu semuanya, maka Ia akan memberitahu kamu apa yang kamu berselisihan padanya.(ayat 48)

Dan hendaklah kamu memutuskan perkara di antara mereka menurut apa yang diturunkan Allah, dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu mereka. Dan berhati-hatilah kamu terhadap mereka, supaya mereka tidak memalingkan kamu dari sebahagian apa yang telah diturunkan Allah kepadamu. Jika mereka berpaling (dari hukum yang telah diturunkan Allah), maka ketahuilah bahawa sesungguhnya Allah menghendaki akan menimpakan musibah kepada mereka disebabkan sebahagian dosa-dosa mereka. Dan sesungguhnya kebanyakan manusia adalah orang-orang yang fasik (ayat 49)

Apakah hukum Jahiliah yang mereka kehendaki, dan (hukum) siapakah yang lebih baik daripada (hukum) Allah bagi orang-orang yang yakin? (ayat 50)

 

Tafsir ringkas:

1.  Pada ayat 48, Allah SWT menegaskan kepada Nabi Muhammad SAW dan umatnya bahawa Dialah yang menurunkan Al-Quran yang mempunyai kedudukan yang tertinggi di sisi-Nya. Antara penegasan-Nya tentang al-Quran ialah:a) Membawa mesej kebenaran, panduan dan petunjuk kehidupan bagi umat manusia sepanjang zaman. b) Sebagai pembenar dan penyempurna kitab-kitab Samawi yang sebelumnya. c) Sebagai kayu ukur untuk menentukan benar atau tidaknya ayat-ayat yang diturunkan dalam kitab-kitab sebelumnya.

2.  Allah SWT juga menjelaskan tujuan penurunan al-Quran sebagaimana berikut:

a) Agar manusia memutuskan hukum dan syariat mengikut panduan Al-Quran.

b) Agar manusia terpandu ke jalan-Nya dan berwaspada dengan fitnah dan tipu daya golongan yang mengangkat keinginan atau hawa nafsu mereka sebagai sandaran hukum dan meninggalkan syariat dan hukum Allah.

c) Agar manusia menyedari bahawa syari’at al-Qur’an menjadikan mereka umat yang satu

3. Salah satu cara ujian Allah untuk manusia ialah adanya perbezaan syariat dan kitab di sepanjang sejarah umat manusia.

 

Tujuannya adalah :

a) Untuk mendedahkan siapa gerangan yang boleh menerima kebenaran, serta siapa yang melampau dan berdegil.

b) Agar manusia berlumba-lumba membuat kebajikan

4.  Pada ayat 49-50, Allah SWT mengulangi lagi penegasanNya agar kita:

a) Berhukum dengan hukum Allah SWT dan meletakkan batas  batas yang cukup jelas antara syariat Islam dan hukum Jahiliyah. Tidak boleh ada percampuran antara keduanya. Jika yang dipilih itu Islam, maka laksanakanlah ia sepenuhnya tanpa ada lagi karat-karat jahiliyah, dan jika masih bergelumang dengan jahiliyah, bererti ia bukan Islam yang sebenarnya.

b) Berwaspada dengan tipu daya golongan yang menginginkan sesuatu menurut hawa nafsu mereka yang membuat pelbagai kekeliruan tentang agama yang benar ini agar umat ini berpaling.

 

Pengajaran:

1.  Al-Quran adalah sebagai sumber perundangan utama. Panduan kehidupan bermasyarakat dan bernegara. Berjuang dan bersungguh-sungguhlah untuk menegakkannya dalam semua sendi kehidupan.

2.  Al-Quran bukan setakat untuk dibaca, dipertandingkan dan dilagu-lagukan tapi untuk ditadabbur/dihayati sehingga dapat mengeluarkan isi-isinya untuk dilaksanakan sebagai peraturan hidup.

3.  Lihatlahlah situasi hari ini. Peka dengan keadaan dunia ketika ini, semakin kuat cabarannya untuk membawa kesyumulan/kesempurnaan Islam agar  kembali dalam jiwa umat ini. Muncul terlalu banyak pihak yang menentang usaha untuk kembali kepada Islam serta menghalang usaha menegakkan hukum Allah SWT.

4.  Berwaspadalah dengan sebarang seruan dan bentuk gerakan  yang menginginkan sesuatu menurut hawa nafsu mereka, sentiasa menggunakan ayat-ayat Allah untuk mengaburi yang lain dan menegakkan pendirian mereka.

5.  Pilihlah sama ada hukum Allah yang ditegakkan, syariat dan manhaj Allah yang memandu kehidupan kita dan kita hidup sejahtera dunia akhirat atau hukum jahiliyah dan syariat hawa nafsu  yang kita  kehendaki lantas kita diazab di akhirat kelak.

 

Rujukan:
Tafsir Ibn Kathir & Tafsir Jalalain

Disusun oleh:
Lajnah Dakwah DMPM dengan kerjasama Ameerah dan Lajnah Penerangan & IT DMPK  Gombak.
6 Ramadhan 1438 / 1 Jun 2017