Home Tazkirah Ramadhan DMPM

Tazkirah Ramadhan Siri 04/1438H

273 views
SHARE

Tazkirah Ramadhan _Siri 04/1438H__ Tadabbur Al Quran _Juzuk 4: Surah Ali-Imran: Ayat 102 & 103

Firman Allah serta terjemahannya:

“Wahai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa kepada-Nya, Dan janganlah sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan beragama Islam.

“Dan berpeganglah kamu semuanya kepada tali (agama) Allah, dan janganlah kamu bercerai-berai, dan ingatlah akan nikmat Allah kepadamu ketika kamu dahulu (masa jahiliyah) bermusuh-musuhan, maka Allah mempersatukan hatimu, lalu jadilah kamu kerana nikmat Allah orang yg bersaudara, dan kamu telah berada di tepi jurang neraka, lalu Allah menyelamatkan kamu daripadanya. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayat-Nya kepadamu, agar kamu mendapat petunjuk.”

Tafsir ringkas:

1. Dua ayat ini mengandungi beberapa perintah Allah yang mesti menjadi pegangan iaitu:
 a) Perintah bertakwa.
 b) Mesti mati dalam Islam dan iman.
 c) Bersatu atas nama Allah, jangan berpecah dan bertelingkah.
 d) Bersyukur atas nikmat perpaduan dan kasih sayang kurniaan Allah.

2. Definasi takwa adalah sebagaimana yang diungkap dalam suatu riwayat yang sahih bahawa Umar bin Khattab RA bertanya kepada Ubay bin Ka’ab RA tentang taqwa. Ubay bertanya kembali kepada Umar, “Bukankah anda pernah melewati jalan yang penuh duri?” “Ya”, jawab Umar. “Apa yang anda lakukan saat itu?” “Saya berjaga-jaga dan berjalan dengan hati-hati.” “Itulah taqwa,” kata Ubay bin Ka’ab RA.

3. Janganlah seseorang muslim meninggal dunia sebelum semua aspek amalan zahir dan batinnya sesuai dengan perintah Allah dan Rasul-Nya.

4. Berpeganglah pada tali Allah secara berjemaah dan berorganisasi demi membawa beban amanah sebagai hamba dan khalifah Allah SWT  di atas muka bumi ini  dan dalam menegakkan syariat Allah SWT.

5. Antara sebab datangnya hidayah  ialah dengan menghargai nikmat persaudaraan ketika menghadapi perpecahan dalam masyarakat dan saling memperingatkan antara satu sama lain akan nikmat kasih sayang Allah SWT yang telah dilimpahkan ke atas kita semua.

 

Pengajaran

1. Sebagai orang yang beriman, ikatlah diri dengan zikir pagi dan petang dan sentiasa berdoa agar dikurniakan _’husnul khatimah’_.

Antaranya  ~ Doa dari al-Quran : 

“Ya Tuhan kami, janganlah Engkau jadikan hati kami condong kepada kesesatan sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami rahmat dari sisi Engkau; kerana Sesungguhnya Engkau-lah Maha pemberi (kurnia)”.

~ Rasulullah SAW sendiri sangat banyak berdoa agar ditetapkan hati dalam agama ini.

Baginda selalu mengucapkan :

“Wahai Yang membolak-balik hati-hati manusia, tetapkanlah hatiku kepada agama-MU.”

2. Bersatu hati & berkasih sayang kerana Allah. Rapatkan sof perjuangan. Jaga ukhuwah, berlapang dada sesama kita serta elakkan permusuhan.

3. Laksanakan perintah Allah & jauhi larangan-Nya (amar ma’ruf nahi munkar) sebagai tanda syukur kita atas kurniaan semua nikmat Allah.

 

Rujukan:* Sahih Tafsir Ibnu Kathir

Disusun oleh:
Lajnah Dakwah DMPM dengan kerjasama Ameerah dan Lajnah Penerangan & IT DMPK

{jathumbnail off}