Home Rencana PAS Pahang

TAZKIRAH | Melebur kerasnya hati

4010
SHARE

Oleh: FARIDAH KAMARUDDIN

Di antara faktor-faktor yang dapat membantu menghilangkan kekerasan hati dan menjadikannya lembut dan terbuka untuk menerima kebenaran syariat Allah SWT adalah:

1. Makrifat (Mengenal) Allah SWT

Sesiapa yang kenal Allah SWT maka hatinya pasti akan menjadi lembut. Sesiapa yang tidak kenal Allah SWT maka hatinya pasti akan menjadi keras dan akan semakin berani melanggar perintah Allah SWT.

Dan semakin seseorang berfikir tentang Allah SWT, maka semakin ia kagum dan bersyukur akan kebesaran Allah SWT, keluasan nikmat-Nya serta kekuasaan-Nya dan terasa kerdilnya dia di hadapan Allah SWT.

2. Mengingat Maut

Persoalan kubur, kegelapannya, sempitnya dan sepinya, juga penderitaan menjelang sakaratul maut.  Hal ini dapat mengejutkan hati yang masih lena dan lalai.

3. Berziarah Kubur dan Memikirkan Penghuninya

Mengingat jasad sudah ditimbun tanah, yang dulu mereka makan, minum dan berpakaian, kini telah hancur di dalam kubur.  Meninggalkan segala yang dimiliki, harta, kekuasaan maupun keluarga tersayang, lalu ingatlah dan berfikirlah, bahwa sebentar lagi dia juga akan mengalami hal yang sama.

4. Memahami Ayat-ayat Al-Quran

Dengan memikirkan isi kandungannya, maka hati akan tunduk. Iman akan hidup untuk taat berjalan menuju Tuhannya, hati menjadi lembut dan takut kepada Allah SWT.

5. Mengingat Akhirat dan Kiamat

Ingat tentang nikmat, huru-hara dan kedahsyatannya kiamat. Syurga untuk orang yang taat, neraka dengan penderitaan azab yang tidak terperi peritnya untuk para pelaku dosa dan maksiat.

6. Memperbanyak Zikir

Zikir dapat melembutkan hati yang keras. Ketika kelalaian bertambah, maka kekerasan hati makin memuncak pula.

Amalkan semua zikir yang diambil dari al-Quran dan as-Sunnah.

7. Menemui Orang Soleh dan Bergaul Dengan Mereka

Orang soleh akan:

  • memberikan semangat ketika kita lemah
  • mengingatkan ketika kita lupa
  • memberikan jalan ketika kita bingung
  • pertemuan dengan mereka akan membantu kita ingat kepada Allah SWT.

8. Mujahadah (Berjuang), Muhasabah (Semak diri) dan Melihat Kekurangan Diri

Manusia, jika tidak mahu  melihat kekurangan diri, maka dia tidak tahu bahawa dirinya sedang sakit dan banyak kekurangan.  Maka bagaimana mungkin manusia akan berjuang memperbaiki diri atau berubat, seandainya dia tidak tahu yang dirinya sedang sakit?

9. Muraqabah, Istighfar dan Taubat

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “Setiap anak Adam sering melakukan kesalahan, dan sebaik-baik yang melakukan kesalahan ialah mereka yang sentiasa bertaubat..” (HR Ibnu Majah)

Hati akan lembut dengan istighfar, bertaubat dan menyesali di atas apa juga kesilapan yang sudah dilakukan.

Takut bahawa Allah SWT sentiasa memerhatikannya dan melihat apa sahaja yang di lakukannya.

Jadi, berazam tidak akan melakukan dosa-dosa lagi dan takut melakukan dosa dan maksiat sebagaimana takut di campakkan ke dalam azab neraka yang sangat pedih dan tidak terperi sakitnya..

Wallahu a’lam.

Semoga Allah SWT melembutkan hati kita semua untuk menerima dan menjalankan kebenaran syariat Islam.