Home Rencana PAS Pahang

TAZKIRAH | Dengan keinsafan kubina azam tahun baru

3305
SHARE

Oleh: FARIDAH KAMARUDDIN

Setiap umat Islam pasti gembira menyambut kedatangan tahun barunya, awal Muharam 1443H.

Di sinilah bermulanya azam dan semangat untuk merancang sesuatu untuk masa depan yang lebih baik dari sebelumnya dan memperbaiki kelemahan dan kesilapan lalu. Hal ini dikenali juga sebagai muhasabah diri.

Apa maksud muhasabah diri?

Muhasabah adalah melakukan penilaian terhadap diri sendiri.

Dalam Islam, muhasabah ini bertujuan untuk memperbaiki hubungan kepada Allah SWT (hablumminallah), hubungan kepada sesama manusia (hablumminannas), serta hubungan dengan diri sendiri (hablumminannafsi).

Muhasabah diri adalah salah satu amalan yang disebutkan dalam Al-Quran dan diajarkan oleh Rasulullah SAW.

Firman Allah SAW yang bermaksud:

“Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan hendaklah setiap diri memperhatikan apa yang telah diperbuatnya untuk hari esok (akhirat); dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.” (Al-Hasyr: 18).

Dengan melakukan muhasabah diri, manusia akan membuka hati dan menyedari segala dosanya. Setelah itu, muslim yang taat akan bertaubat dan tak mengulangi kesalahannya.

Taubat adalah bentuk penyesalan seorang muslim. Sebagaimana dalam hadis Rasulullah SAW yang bermaksud, “Menyesal adalah taubat.” (HR. Ibnu Majah)

Firman Allah SWT yang bermaksud;

“Pada hari itu kamu dihadapkan (kepada Rabbmu), tiada sesuatupun dari keadaanmu yang tersembunyi (bagi Allah).” (Al-Haqqah: 18).

Apakah Amalan-Amalan Terbaik Yang Biasanya Dilakukan Oleh Nabi SAW?

Di antara amalan-amalan yang banyak dilakukan dan digalakkan oleh Rasulullah SAW ialah:

  • Banyakkan zikrullah (ingat Allah SWT) di dalam apa sahaja yang kita lakukan.
  • Banyakkan membaca Al-Quran, memahami terjemahan serta tafsirnya dan seterusnya melaksanakannya di dalam kehidupan.
  • Banyakkan istighfar (memohon ampunan Allah SWT)
  • Banyakkan selawat kepada Nabi SAW
  • Banyakkan zikrul maut (ingat mati), dengan ingat mati akan mendorong kita menyediakan bekal untuk akhirat kita.
  • Banyakkan memberi, sebarkan salam. Maksudnya kita membina hubungan sesama manusia.
  • Banyakkan menghadiri majlis ilmu Islam. Maksudnya kita sentiasa bersemangat untuk belajar.
  • Banyakkan berdoa (bermunajat dan mengadu hal kepada Allah SWT).
  • Banyakkan empati dan bersedekah membantu ahli keluarga dan orang-orang yang susah.
  • Banyakkan melakukan amalan sunah seperti solat sunat dan puasa sunat.
  • dan lain-lain.

Jadi, bangkitlah dan berubahlah kerana kehidupan ini cuma sementara. Sampai ajal, semua yang kita ada ini akan kita tinggalkan.

Jom, Rebut Lima Peluang Sebelum Datang Lima Penghalang

”Rebutlah peluang lima perkara sebelum datang lima perkara yang lain iaitu masa mudamu sebelum tuamu, masa sihatmu sebelum sakitmu, masa kayamu sebelum miskinmu, masa lapangmu sebelum sibukmu dan masa hidupmu sebelum matimu.” (HR Muslim).

Musuh pertama dalam pengurusan masa ialah suka kerja bertangguh. Dengan penyakit inilah umat Islam menjadi lemah dan hilang kemuliaan diri. Umat Islam dikuasai di mana-mana sahaja.

Dari Ibnu Umar RA berkata; bahawa Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya, “Hendaklah engkau berada di dunia ini seperti orang berdagang, atau orang yang sedang melalui di jalan (pengembara). Jika engkau berada di waktu petang, maka janganlah engkau menunggu pagi, dan apabila berada di waktu pagi janganlah engkau menunggu petang. Gunakanlah dari sihat engkau bagi sakit engkau dan dari hidup engkau bagi masa mati engkau.” (HR Bukhari).

Semoga sedikit ilmu yang di berikan ini dapat dijadikan pengajaran untuk sepanjang kehidupan kita. Jadikan azam tahun baru Islam ini, sebagai satu suntikan semangat untuk kita berubah kepada yang lebih baik sebagai hamba Tuhan, sebagai seseorang yang dapat menjadi manfaat untuk orang lain dan melatih diri sendiri untuk kembali kepada fitrah, sebagai hamba-Nya yang bertakwa.

Dan fahamilah kedahsyatan maksud doa ini:

رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

“Rabbana atina fiddunya hasanah wa fil akhirat hasanah, waqina adzabannar.”

“Ya Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan peliharalah kami dari siksa neraka.” (Al-Baqarah: 201).

KUANTAN

1 Muharam 1443H, 10 Ogos 2021.