Home Artikel PAS Selangor

Tauliah : Dewan Ulamak PAS Selangor Adakan Kunjungan Mahabbah

636
SHARE

TAULIAH : DEWAN ULAMAK PAS NEGERI SELANGOR MENGADAKAN KUNJUNGAN MAHABBAH

Alhamdulillah bersyukur ke Hadrat Ilahi, Dewan Ulamak PAS Negeri Selangor menerusi Budaya Politik Matang dan Sejahtera pada hari ini mengadakan kunjungan hormat dan mahabbah ke Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Negeri Selangor (JAIS) di Wisma Majlis Agama Islam Selangor Shah Alam. 

Kunjungan Dewan Ulamak PAS Negeri Selangor diketuai oleh Ustaz Rizuan Rahmat selaku Ketua Dewan Ulamak PAS Negeri Selangor bersama Ustaz Muhammad Najhan Halim Setiausaha DUPNS dan 3 EXCO iaitu Ustaz Fazlul Rahimi Maarof,  Ustaz Saifuddin Abd Fattah dan Ustaz Ubaidillah Fahim Ibrahim. 

Rombongan DUPNS disambut mesra oleh Timbalan Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Ustaz Mohd Hidayat bin Abd Rani bersama 2 orang pegawai di Bahagian Siasatan dan Undang-undang. 

Tujuan kunjungan DUPNS ke Bahagian Penguatkuasaan JAIS adalah bertujuan untuk mendengar penjelasan, penerangan serta bertukar pandangan dan juga bagi menyuarakan cadangan berkenaan isu tauliah penceramah dan pendakwah yang sedang hangat diperkatakan mutakhir ini. 

Dewan Ulamak PAS Negeri Selangor menghargai penjelasan dan penerangan yang diberikan oleh pihak JAIS berkenaan isu tauliah. Di samping itu, beberapa pandangan dan cadangan telah disampaikan oleh Dewan Ulamak PAS Negeri Selangor kepada Bahagian Penguatkuasaan JAIS sebagai usaha penambahbaikan berkaitan penguatkuasaan.

InsyaAllah pertemuan demi pertemuan akan dilaksanakan oleh Dewan Ulamak PAS Negeri Selangor bagi memastikan kelangsungan agenda dakwah dan penghayatan Islam yang syumul di negeri Selangor yang tercinta ini. 

Semoga pertemuan dan kunjungan hormat ini menatijahkan kebaikan dan kesejahteraan yang diinginkan oleh semua pihak dalam meninggikan agama Islam yang suci ini. 

“Sejahtera Bersama Islam”
“Inilah Penyelesaian Kita”

Ustaz Muhammad Najhan Halim 
Setiausaha Dewan Ulamak PAS Negeri Selangor 
24 Mei 2017 | 27 Syaaban 1438H.