Oleh: ZAITON ABDUL HALIM
PEKAN, 15 Feb :: Taman Asuhan Tunas Insan (TASTI) Ummu Aiman di Lorong Semarak Api di sini telah menerima kunjungan daripada Lajnah Pembangunan Keluarga (LPK) Negeri Pahang kelmarin.
Lawatan kerja yang menjurus kepada taklimat penubuhan dan hala tuju TASTI ini diketuai oleh Pengerusi Lajnah Pembangunan Keluarga Negeri Pahang, Habidah Salleh.
Menurut Habidah, lawatan ini adalah bertujuan untuk menimba pengalaman dan mengetahui pekara asas prosedur penubuhan TASTI berikutan beliau masih baru dalam bidang ini dan tiada pengalaman dalam penubuhan sesebuah rumah asuhan.
Hadir sama ialah Setiausaha LPK Negeri, Liza Yusof, Pengerusi LPK Temerloh, Norli Mohd Ismail, wakil Ahli Jawatankuasa LPK Indera Mahkota dan Raub, Wan Anis Masila Wan Abdullah Sani dan Nur Emylia Idrus.
Sementara itu Pengurus TASTI Ummu Aiman, Siti Hajar Abu Bakar menyambut baik kedatangan ini dan telah menerangkan prosedur pendaftaran TASTI dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Pengerusi LPK Pekan, Dr Harison Mohd Amin dalam taklimatnya pula menekankan bahawa perlunya kekuatan sumber kewangan kerana modal yang diperlukan amat banyak untuk mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh JKM.
Selain daripada itu, penubuhan ahli jawatankuasa di kalangan Jawatankuasa Muslimat Cawangan (JMC) adalah perlu sebagai penyokong dan pendokong dalam memastikan kestabilan pengoperasian TASTI.
Beliau turut menyentuh perihal tenaga kerja yang mana anak-anak ahli PAS perlu diberi keutamaan dalam pemilihan pekerja untuk memegang tanggungjawab sebagai muaddibah (pengasuh) kerana mereka lebih mudah memahami fikrah perjuangan PAS.
Dr Harison bukan sekadar berkongsi keperluan dan pekara yang patut dilakukan dalam penubuhan TASTI malah tidak lokek bercerita pengalaman pihak pengurusan TASTI dalam berdepan kerencaman karenah ibu bapa.
“Ada ibu bapa yang langsung tidak menghormati muaddibah dan mereka memandang rendah terhadap kerjaya ini.
“Jadinya saya mahu pengasuh dan juga pengusaha meletakkan standard yang tinggi untuk diri masing-masing dan berfikiran bahawa pekerjaan ini juga adalah satu pekerjaan yang mulia,” ujar beliau penuh yakin.