Home Rencana PAS Johor

Politik Islam : Realisasi keadilan untuk semua

142
SHARE

Firman Allah S.W.T :

إِنَّ اللهَ يَأْمُرُكُمْ أَنْ تُؤَدُّوا اْلأَمَانَاتِ إِلَى أَهْلِهَا وَإِذَا حَكَمْتُمْ بَيْنَ النَّاسِ أَنْ تَحْكُمُوا بِالْعَدْلِ إِنَّ اللهَ نِعِمَّا يَعِظُكُمْ بِهِ إِنَّ اللهَ كَانَ سَمِيعًا بَصِيرًا.

Mafhumnya : “Sesungguhnya Allah memerintahkan kamu untuk menunaikan amanah kepada yang berhak menerimanya dan apabila kamu menetapkan hukuman di antara manusia hendaklah kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Melihat”.

Surah An-Nisa’ : 58

Keadilan adalah satu prinsip di dalam Islam. Adil bererti meletakkan sesuatu sesuai pada tempatnya.

Seorang yang ingin membaik pulih enjin, sedangkan dia tiada ilmu tentang enjin maka tidak adil jika tanggungjawab itu diberikan kepadanya. Apalagi untuk mengurus tadbir sebuah negara, pasti memerlukan persediaan ilmu pengetahuan dan kefahaman yang mendalam tentang prinsip dan dasar pentadbiran Islam.

Dalam membimbing hamba-Nya meniti kehidupan, Allah S.W.T mengutuskan para Rasul sebagai wakil dan penyampai Syariat Allah kepada hamba-Nya.

Nabi Muhammad S.A.W diutuskan kepada umat akhir zaman dengan membawa panduan Al-Qur’an dan As-Sunnah. Itulah dua sumber yang pastinya benar secara menyeluruh walaupun terkadang ianya dirasakan tidak secocok dengan kehendak hati manusia lantaran kejahilan dan nafsunya yang tidak terbendung. Namun, peraturan Allah S.W.T inilah yang terbaik untuk menjaga kemaslahatan hidup manusia secara keseluruhannya di dunia dan di akhirat.

Rasulullah S.A.W menunjukkan kepada kita tatacara kehidupan peribadi, berkeluarga, bermasyarakat bahkan Rasulullah S.A.W menunjukkan cara mentadbir negara (Siyasah).

Semua ini menzahirkan kesyumulan Islam dan keindahannya dalam menjamin kesejahteraan sosial masyarakat. Keadilan Islam terbukti pada zaman Baginda Rasulullah S.A.W, para Sahabat, Tabiin dan Atba’Tabiin sehingga zaman pemerintahan Islam selepas itu.

Bahkan terbukti di dalam sejarah Islam, terdapat golongan bukan Islam yang ingin dihakimi mengikut undang-undang Islam kerana yakin ianya lebih adil.

Pengurusan ekonomi secara bijaksana akan dapat menstabilkan kehidupan rakyat. Baitul Mal diurus tadbir dengan penuh kejujuran tanpa ada sekelumit kepentingan diri dan keluarga akan menatijahkan pembangunan ekonomi masyarakat.

Tercatat di dalam sejarah, pada zaman pemerintahan khalifah Umar bin Abdul Aziz tiada seorang pun rakyat yang layak untuk menerima zakat.

Inilah sebahagian daripada contoh yang perlu diambil iktibar dan dikaji oleh umat Islam khasnya dan seluruh masyarakat amnya betapa Islam menitikberatkan prinsip keadilan sejagat.

“Islam Menyatukan Ummah”

Abu Irfan Muhammad Al-Urduni
Ketua Penerangan
PAS Negeri Johor