Home Berita PAS Terengganu

Tasik Kenyir bakal jadi Langkawi kedua di Malaysia

67
SHARE

KUALA LUMPUR –  Pelbagai fasiliti dan program menarik bakal ditawarkan di Tasik Kenyir, Terengganu sekali gus berupaya mengangkat kawasan pelancongan itu setaraf dengan Pulau Langkawi.

Pengarah Eksekutif yang juga Presiden Terengganu Incorporated Sdn Bhd (Terengganu Inc), Burhanuddin Hilmi Mohamed@Harun, berkata selain fasiliti sedia ada dan yang bakal siap tidak lama lagi, pihaknya giat merangka ‘strategi’ bagi merangsang kedatangan pelancong ke kawasan pelancongan itu.

Dengan pelaburan keseluruhan melebihi RM400 juta, beliau menyasarkan sekitar 1.5 juta pelancong akan mengunjung Tasik Kenyir sekali gus diharapkan juga dapat memberi kesan limpah kepada penduduk dan pengusaha setempat.

“Pulau Poh disifatkan sebagai mercu tanda baharu pelancongan untuk Terengganu. Kita ada banyak fasiliti di situ seperti jambatan ikonik baharu, sebuah jeti dan yang penting ada kawasan perniagaan. Kita juga akan ada taman seperti taman ekstrem dan taman realiti maya yang akan kita popularkan.

“Ia (Pulau Poh) adalah kawasan awam. Kita ada hotel yang akan beroperasi suku ketiga tahun ini. Ada 150 bilik di situ. Kita sudah ada taman tema air. Jadi, sudahpun ada beberapa tarikan sedia ada. Semua itu kita akan promosikan sekali.

“Kita akan buka taman tema air dalam masa dua bulan ini. Ia sudah ada cuma kita akan naik tarafnya. Kita sekarang ini juga sudah mengenal pasti beberapa syarikat besar yang akan datang buka taman komersial bebas cukai. Cuma sekarang ini, kita mencari operator taman realiti maya dan taman ekstrem. Ia masih dalam peringkat perbincangan kita.

“Kita nampak potensi pelancongan (di Tasik Kenyir) amat besar. Malahan kita boleh jadi (Pulau) Langkawi kedua kalau kita promosikan dan ia pun bebas cukai. Cuma kita tidak ada program yang betul,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan pertemuan dengan pengurusan tertinggi Media Prima Berhad (MPB) dan New Straits Times Press (Malaysia) Berhad (NSTP) di Anjung Riong, Balai Berita, pagi tadi.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Operasi OMNIA, Mohd Efendi Omar; Pengarang Kumpulan BH, Datuk Saidon Idris dan Pengarang Kumpulan Harian Metro, Husain Jahit.

Burhanuddin Hilmi berkata, Pulau Poh adalah antara pulau terdapat di Tasik Kenyir. Ia berkeluasan 104 ekar dan memiliki cukup ruang untuk dijadikan pusat komersial membabitkan 45,000 kaki persegi.

Memperincikan mengenai pelaburan untuk pembangunan di kawasan pelancongan itu, Burhanuddin berkata kos pembinaan jeti, jambatan dan hotel dianggarkan lebih RM300 juta.

Peruntukan menaiktaraf taman teman air, katanya menelan pelaburan sekitar RM5 juta, RM10 juta untuk pembinaan taman realiti maya dan RM5 juta lagi untuk pembangunan taman ekstrem di kawasan itu.

“Kita ingin menjemput (tawaran bangunkan) untuk taman realiti maya, kalau ada sesiapa yang ada pengalaman mengusahakannya, kita mengalu-alukan pihak berkenaan datang kepada kita.

“Dua taman lagi belum dibuka dan kita sedang mencari rakan. Mungkin bermula pada awal suku keempat sebab pelaburannya agak besar. Kita nak cari pelabur yang sanggup melabur di situ.

“Kita ada bercakap dengan satu pelabur. Rupanya di Langkawi pun sudah bermula. Kita juga ada bercakap dengan beberapa pihak dan kita nampak kosnya bukan murah. Ia melebihi RM10 juta. Kita kena pastikan pelaburan itu berbaloi,” katanya.

Mengenai perancangan program, Burhanuddin berkata pelbagai aktiviti sedang dirangka antaranya cabaran basikal gunung antarabangsa, kayuhan basikal, belon panas udara dan sukan air.

Selain itu, katanya terdapat juga festival makanan tempatan akan dianjurkan nanti sebagai usaha memperkenal dan mempromosikan makanan Terengganu.

“Tasik Kenyir sangat luas melebihi 200,000 hektar. Jadi, semua aktiviti itu boleh dilakukan. Kalau zon cukai bebas lebih kepada Pulau Poh. Taman geo secara keseluruhannya adalah Tasik Kenyir.

“Di Tasik Kenyir, kita juga ada santuari ikan kelah, (pusat) konservasi gajah, 76 rumah bot dan aktiviti bot laju. Semua itu kita ada. Apa kita buat Pulau Poh ini akan menarik ramai pelancong,” katanya- BERITA HARIAN