Home Berita PAS Johor

Almarhum istiqamah hadir walau dalam keuzuran

72
SHARE

Oleh : SHARIFAH AJIL

MUAR, 21 Feb : Beliau sentiasa mengikuti dan menghadiri program-program jemaah walaupun dalam keadaan keuzuran.

Demikian menurut Pesuruhjaya PAS Johor, Ustaz Abdullah Hussin dalam menzahirkan rasa dukacita beliau terhadap pemergian seorang tokoh iaitu Almarhum Mohamad Isa Abdul Jalil.

Beliau menyatakan dalam satu hantaran di laman Facebook rasminya, PAS Negeri Johor telah kehilangan seorang tokoh yang amat istiqamah dengan pemergian Almarhum yang kembali ke rahmatullah pada 16 Februari lepas dan selamat dikebumikan keesokan harinya, di Pontian.

“Saya teringat suatu ketika ada seorang hamba Allah berkata kepadanya, `Pak Haji hanya tinggal seorang sahaja dalam PAS, yang lain telah tinggalkan PAS, lalu terus dijawabnya, “Seorang pun tak apalah, dalam kubur pun nanti kita seorang.”

“Demikian, begitu ikhlas dan istiqamahnya perjuangan beliau dalam PAS. Semoga ini menjadi contoh kepada kita semua,” tambah Ustaz Abdullah.

Beliau turut memaklumkan bahawa Almarhum juga merupakan besan kepada bekas Mursyidul Am PAS, Almarhum Tuan Guru Ustaz Nik Abd Aziz Nik Mat.

“Anak Allahyarham, Muhamad Fidaus Mohd Isa merupakan Ketua Pemuda PAS Tanjung Piai. Manakala anak lelakinya Hud pula menantu kepada Almarhum Tuan Guru Nik Abd Aziz Nik Mat,” kata beliau.

Ustaz Abdullah juga berkata, anak-anak almarhum Mohamad Isa yang lain termasuk dua orang bekas murid beliau turut membantu dalam menggerakkan jemaah PAS.

“Terharu sungguh saya melihat semua anak, menantu dan cucu berganding bahu menguruskan jenazah Almarhum. Wajahnya tenang. Inilah wajah orang yang beristiqamah dalam perjuangan,” ujar beliau lagi.

Beliau turut menambah dengan menghuraikan maksud firman Allah dalam Surah Fussilat ayat 30 yang bermaksud :

“Sesungguhnya orang-orang menyatakan Tuhan kami ialah Allah dan tetap terus menerus di atas jalan yang benar dan istiqamah, akan turun malaikat rahmat sebelum kematiannya dengan menyatakan, jangan kamu takut dan jangan kamu berdukacita, bergembiralah dengan syurga yang telah dijanjikan kepada kamu.”

“Saya mewakili Badan Perhubungan PAS Negeri Johor mengucapkan takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham. Semoga mereka tabah dengan ujian yang Allah berikan ini.

“Ini merupakan satu kehilangan besar buat PAS Johor kerana beliau aktivitis yang menggerakan program-program PAS.

“Semoga roh Allahyarham Mohd Isa Abd Jalil ditempatkan bersama-sama para solihin dan mendapat maghfirah rahmat serta dimasukkan ke dalamsyurga Allah s.w.t.,” kata beliau mengakhiri kenyataannya.