Home Berita PAS Perlis

Tarik minat anak muda bersukan

310
SHARE

Oleh MUHAMMAD HADI

ARAU, 10 Jan: Semua pihak diseru agar dapat bersama-sama menggembleng tenaga bagi menarik minat anak muda untuk terlibat dengan aktiviti sukan.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Guar Sanji, Ustaz Mohd. Ridzuan Hashim, usaha berkenaan dapat melahirkan generasi muda yang sihat serta kompetitif dan tidak sewajarnya dipertanggungjawabkan kepada pihak kerajaan semata-mata.

“Sebagai contoh, Majlis Sukan Negeri (MSN) ada peranan dan perancangannya, namun untuk membantu menjayakannya, penglibatan semua pihak termasuk masyarakat serta agensi swasta amat diperlukan.

“Bukan setakat nak lahirkan generasi muda yang sihat sahaja, kerjasama ini juga mampu menggilap bakat-bakat baharu dalam bidang sukan yang berpotensi menjadi atlet-atlet yang mampu bersaing di semua peringkat,” katanya ditemui di Pusat Khidmat Wakil Rakyat (PKWR) DUN Guar Sanji, di sini pagi tadi.

Beliau sebelum itu menerima kunjungan daripada Majlis Sukan Negeri (MSN) Perlis yang diketuai pengarahnya, Anuar Abidin.

Antara perkara yang menjadi intipati perbincangan termasuklah usaha menarik minat golongan muda di negeri ini dalam aktiviti-aktiviti sukan.

“Alhamdulillah, hasil perbincangan yang telah diadakan, kita juga akan menganjurkan satu pertandingan memanah dan sepak takraw khusus untuk golongan berkenaan pada hujung bulan Januari ini,” katanya.