TARBIYATUL SYABAB
Lakaran Potret Pemuda Islam
(Mereka Diberi Petunjuk Pada Mengucapkan Kata-Kata Yang Baik)
RAMADHAN 18 / 1438 H
“KEBENARAN DARI TUHAN”
Ramadhan mengajar akan orang beriman mengimani kebenaran perintah Allah dan bersifat benar dalam menunaikannya. Melaksanakan ibadah puasa walau tidak diketahui oleh manusia yang lain tapi tetap berpuasa membenarkan perintah agama. Begitulah dalam semua perkara. Kerana kebenaran itu dari Allah.
Pun begitu, kuatnya doktrin musuh agama sejak sekian lamanya sehingga sebahagian umat Islam bahkan majoriti ummat memandang serong pada Islam. Akibatnya ajaran agama yang ada dalam Al Qur’an dan Sunnah serta pemahaman yang benar, dianggap salah semata-mata kerana tidak diamalkan oleh kebanyakan orang.
Kebenaran tidak memandang jumlah ramainya orang yang berpegang padanya. Kebenaran adalah kebenaran walaupun bersendirian. Kesalahan adalah kesalahan walaupun disokong dan didokong kebanyakan orang. Bahkan Allah SWT dalam Al Quran menyatakan bahwa keadaan umum manusia adalah berada dalam kesesatan, kejahilan dan jauh dari iman yang benar:
“Dan jika kamu menuruti kebanyakan orang-orang yang di muka bumi ini, nescaya mereka akan menyesatkanmu dari jalan Allah” [Surah Al An’am : 116]
“Alif laam miim raa. Ini adalah ayat-ayat Al Kitab (Al Qur’an). Dan Kitab yang diturunkan kepadamu daripada Tuhanmu itu adalah benar; akan tetapi kebanyakan manusia tidak beriman (kepadanya).”
[Surah Ar Ra’du: 1]
Begitu juga jika dilihat dalam sirah, dikalangan para Nabi ini berbeza-beza dari segi umat yang bersama perjuangan mereka. Ada dikalangan para Nabi yang tidak memiliki pengikut, ada yang hanya seorang, ada pula yang hanya sekelompok manusia.
Jika sekiranya pemahaman bahawa yang sedikit itu sesat, adakah boleh kita katakan para Nabi yang berdakwah dengan tidak memiliki pengikut yang ramai itu mengajar kepada kesesatan. Rasulullah SAW bersabda:
“Diperlihatkan kepadaku umat manusia seluruhnya. Maka akupun melihat ada Nabi yang memiliki pengikut sekelompok kecil manusia. Dan ada Nabi yang memiliki pengikut dua orang. Ada Nabi yang tidak memiliki pengikut” Riwayat Bukhari
Ust Syarhan Humaizi Halim
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Selangor
#akupemudapas
#undilahpas