Home Berita PAS Perak

“Tanpa Usaha Dari YB, It’s Zero!” ; Ir. Kuganeswaran | Khabar DUN Perak

1007
SHARE
BAGAN SERAI – YB Tuan Haji Razman Zakaria bersama Jurutera JKR Daerah Kerian Ir. Kuganeswaran A/L Nadarajah melawat projek-projek penyelenggaraan jalan raya yang sedang dijalankan di sekitar DUN Gunung Semanggol.
Lawatan bertujuan meninjau perkembangan terkini projek yang dijalankan disamping mendapat penerangan dan info berkaitan dengannya.
Dalam tinjauan tersebut didapati kesemua projek telah mula dijalankan dan ada tempat yang sudah melebihi 80 peratus selesai di mana hanya perlu kepada proses akhir seperti meletak garisan pembahagi jalan dan tanda-tanda tertentu yang berkaitan.
Hasil rundingan bersama pengarah JKR negeri dan kerjasama dari jurutera JKR daerah, YB berjaya mendapatkan kelulusan peruntukan sebanyak RM2 juta untuk projek penyelenggaraan tersebut.
Perkara ini turut disahkan oleh Kuganeswaran dalam respon spontan beliau ketika menjawab persoalan dibangkitkan berkait projek penyelenggaraan tersebut.
“Ya! Memang ini penyelenggaraan jalan. Tetapi, tanpa usaha dari YB ‘it’s zero! Ini merupakan peruntukan khas kepada YB. Bukan semua kawasan dapat!”, tegasnya ketika tinjauan di lokasi terakhir projek di Jalan Kubu Gajah Semanggol.
Tinjauan bermula di lokasi pekan Semanggol berhadapan tapak pasar minggu seterusnya menuju ke batu 8 Jalan Kerian berhadapan Sekolah jenis Kebangsaan Tamil Ladang Yam Seng dan jalan yang sama berhadapan perumahan Taman Indah Jaya.
Menurut keterangan dari jurutera, nilai projek untuk penyelenggaraan jalan di pekan Semanggol berjumlah RM350 ribu sementara sebanyak RM500 ribu diperuntukkan bagi penyelenggaraan Jalan Kerian berhadapan Taman Indah Jaya dan SJKT Ladang Yam Seng.
Kemudian YB dan rombongan diiringi Penghulu Mukim Semanggol Mohamad Abdul Razak Mohd Yunus menuju ke arah Kampung Selamat di mana penyelenggaraan Jalan berhadapan SMKA Kerian sehingga ke Simpang menuju Bukit Merah Laketown Resort yang bernilai RM350 ribu turut dijalankan.
Ketika berada di lokasi tersebut YB sempat menjawab soalan pihak media yang hadir berkait perkembangan terkini sekolah sekolah dalam negeri Perak sempena tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat’ (PKPB) yang sedang berjalan.
Dalam jawapannya YB memaklumkan terdapat sebuah lagi sekolah ditutup pada hari ini iaitu di SMK Dato’ Haji Mohd Taib, Chemor.
Sejurus pemberitaan dilakukan, maklumat menyusul dari Encik Ahmad Rosman yang merupakan Pegawai Khas ADUN Gunung Semanggol memaklumkan bahawa sebuah lagi sekolah iaitu SMK Raja Lope di Tanjung Piandang, Parit Buntar turut ditutup hari ini.
Lawatan diakhiri dengan tinjauan di lokasi terakhir projek dengan kos berjumlah RM800 ribu di dua lokasi berasingan di jalan Kubu Gajah Semanggol berhadapan SK Gunung Semanggol dan SK tebok Panchor.