Home Berita PAS Wilayah

TAHNIAH KEPIMPINAN DEWAN MUSLIMAT PAS KAWASAN WANGSA MAJU SESI 2025–2027

19
SHARE

Wangsa Maju | 10 Mei 2025 — Dewan Muslimat PAS Kawasan Wangsa Maju telah melakar satu lagi sejarah apabila berjaya melangsungkan Mesyuarat Agung Tahunan kali ke-27 bertempat di Markas PAS Kawasan Wangsa Maju, Melati Utama.

Sebanyak 20 cawangan telah menghantar perwakilan bagi menjayakan mesyuarat tersebut, sekali gus mencerminkan kekuatan akar umbi dan komitmen berterusan Muslimat dalam menerajui gerakan dakwah dan siasah di kawasan ini.

Majlis dirasmikan oleh YBhg. Ustazah Nuridah Mohd Salleh, Penyelaras Parlimen Wangsa Maju merangkap Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat. Dalam ucapan perasmian, beliau menekankan pentingnya peranan Muslimat dalam mendepani cabaran semasa serta memperkukuh gerak kerja parti demi kemenangan Islam yang hakiki.

Turut hadir sebagai pemerhati ialah Saudara Hairul Anuar, Ustaz Abdul Rani Mohamed Daud selaku Yang Dipertua PAS Kawasan Wangsa Maju, serta wakil pemerhati daripada Dewan Muslimat PAS Wilayah Persekutuan yang menyatakan sokongan padu terhadap perjalanan mesyuarat dan agenda pemerkasaan Muslimat di peringkat kawasan.

PAS Kawasan Wangsa Maju merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada barisan kepimpinan Dewan Muslimat PAS Kawasan Wangsa Maju bagi sesi 2025–2027 yang telah dipilih dalam mesyuarat tersebut. Semoga amanah yang diberikan dapat digalas dengan penuh hikmah, kecekalan dan semangat juang demi memartabatkan perjuangan Islam di bumi Wangsa Maju.

Kepimpinan baharu ini diharap mampu menggerakkan agenda tarbiah, kebajikan, dan siasah Muslimat dengan lebih tersusun dan berkesan dalam mendepani cabaran semasa dan PRU akan datang.

“Muslimat Prihatin, Wanita Sejahtera”