Home Tadabbur Al-Quran

Tadabbur Surah Yaasin Siri 24

1256
SHARE

?? Tadabbur Surah Yaasin ??
Siri 24

? Ayat 71-73: Lagi Bukti Kekuasaan Allah: Manfaat dan Nikmat Penciptaan Haiwan

? Firman Allah serta terjemahannya:

أَوَلَمْ يَرَوْا أَنَّا خَلَقْنَا لَهُمْ مِمَّا عَمِلَتْ أَيْدِينَا أَنْعَامًا فَهُمْ لَهَا مَالِكُونَ – ٧١

Tidakkah mereka melihat dan memikirkan, bahawa Kami telah menciptakan untuk mereka binatang-binatang ternak, di antara jenis-jenis makhluk yang telah Kami ciptakan dengan kekuasaan Kami lalu mereka memilikinya?

وَذَلَّلْنَاهَا لَهُمْ فَمِنْهَا رَكُوبُهُمْ وَمِنْهَا يَأْكُلُونَ – ٧٢

Dan Kami jinakkan dia untuk kegunaan mereka; maka sebahagian di antaranya menjadi kenderaan mereka, dan sebahagian lagi mereka makan.

وَلَهُمْ فِيهَا مَنَافِعُ وَمَشَارِبُ ۖ أَفَلَا يَشْكُرُونَ – ٧٣

Dan mereka beroleh berbagai faedah dan kegunaan pada binatang ternak itu dan juga beroleh minuman; maka mengapa mereka tidak mahu bersyukur?

? Tafsir Ringkas:

1. Surah Yaasin terus-menerus membentangkan keesaan Allah SWT dengan memaparkan bukti-bukti yang nyata, iaitu nikmat yang telah Allah SWT limpahkan kepada manusia berupa binatang-binatang ternak. Adakah orang-orang musyrik dan penyembah berhala tidak menyedari hakikat ini? Bahkan Allah juga telah menundukkan binatang tersebut agar manusia dapat menguasai dan mengendalikannya serta berbuat apa sahaja mengikut kehendak mereka.

2. Kemudian Allah SWT menerangkan berbagai manfaat yang boleh diambil secara langsung daripada binatang ternakan tersebut. Ia boleh disembelih untuk dimakan dan dijual. Malah ada juga sebahagiaannya boleh dijadikan tunggangan dan pengangkutan barang-barang seperti kuda, lembu, kerbau, unta dan lain-lain.

3. Bukan itu sahaja bahkan ada lagi pelbagai manfaat secara tidak langsung yang dapat diperolehi dari binatang ternak ini, contohnya bulu yang dapat dibuat menjadi peralatan rumah tangga dan perhiasan yang boleh dipakai. Juga air susu daripada haiwan ternakan ini yang lazat dan menyegarkan.

4. Semua ini merupakan penegasan daripada Allah SWT agar hamba-hambaNya bersyukur dengan mengabdikan diri kepadaNya secara total.

? Pengajaran:

1. Wajiblah beriman kepada Allah yang Maha Esa, Pencipta alam dan seisinya dan Dia lah yang paling berkuasa penuh di alam semesta yang fana ini. Bukti-bukti kekuasaanNya yang sering dibaca dan dilihat sepatutnya sentiasa memperbaharui keimanan kita seterusnya mendorong kita untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT.

2. Jangan sekali-kali mempersekutukan Allah SWT dalam apa jua bentuk perkataan, perbuatan dan niat setelah dikurniakan kepada kita sekian banyak nikmat kesenangan dan kemudahan hidup di dunia ini. Kita tidak patut sama sekali untuk menderhaka kepada Allah SWT. Jika mahu menderhaka juga kepada Allah, maka carilah kehidupan sendiri di dunia atau alam lain.

3. Kewajipan kita terhadap ayat-ayat ini ialah menyuburkan budaya tafakkur dan syukur terhadap kurniaan Allah yang berupa binatang ternakan seperti lembu, kambing dan sebagainya. Begitu banyak manfaat yang manusia telah dapat daripada binatang-binatang ternak ini. Dari zaman dahulu hingga sekarang.

4. Sepatutnya kita menyedari betapa mulia dan hebatnya kewujudan kita di muka bumi ini. Sebagai makhluk yang bergelar manusia, Allah SWT mengurniakan kepada kita kemampuan untuk memiliki binatang ternak sebagai kegunaan kita. Malah Allah telah menundukkan binatang ternakan kepada kita sehinggakan kanak-kanak pun dapat menunggang unta. Bahkan unta yang beratus-ratus pun manusia masih dapat mengawal mereka tanpa mereka berani melawan kehebatan manusia.

5. Budaya ingat-mengingati perlu diaktifkan kerana surah Yaasin secara konsisten mengingatkan manusia tentang nikmat yang telah diberikanNya kepada manusia tapi kebanyakan manusia lupa tentangnya. Mereka lupa daging ternakan yang mereka makan adalah kurniaan Allah. Mereka lupa pakaian dan perkakas yang mereka guna seperti bulu, kulit, tulang, gigi dan lain-lain lagi adalah merupakan pemberian Allah untuk mereka manfaatkan nikmat tersebut sebaiknya.

6. Ayat yang membentangkan nikmat-nikmat ini adalah penegasan daripada Allah SWT agar kita membuang rasa angkuh yang menghalang syukur kita atas segala pemberianNya. Perasaan angkuh inilah yang menghalang kita untuk mengikut ajaran Islam dengan mentaati suruhan Allah dan Nabi.

7. Hitunglah nikmat-nikmat Allah walaupun kita tidak mampu menghitungnya. Nyatakan kesyukuran kita dalam bentuk pengabdian yang tulus serta tidak mempersekutukanNya.

? Rujukan:
Tafsir Ibn Kathir

Disusun oleh:
Lajnah Dakwah DMPM dengan kerjasama Ameerah dan Lajnah Dakwah DMPK Gombak.
14 Disember 2018/ 6 Rabiul Akhir 1440