Home Tadabbur Al-Quran

Tadabbur Surah Yaasin Siri 22

1037
SHARE

?? Tadabbur Surah Yaasin??
Siri 22

? Ayat 66-68: Pengadilan dan Pembalasan Ditunda ke Akhirat

? Firman Allah serta terjemahannya:

وَلَوْ نَشَاءُ لَطَمَسْنَا عَلَىٰ أَعْيُنِهِمْ فَاسْتَبَقُوا الصِّرَاطَ فَأَنَّىٰ يُبْصِرُونَ – ٦٦

(Matahati orang-orang yang menderhaka itu rosak) dan kalau Kami kehendaki, Kami berkuasa menghapuskan bentuk dan biji mata kepala mereka menjadi rata, sehingga masing-masing menerpa mencari-cari jalan (yang biasa mereka lalui). (Kiranya dijadikan demikian) maka bagaimanakah mereka dapat melihatnya?

وَلَوْ نَشَاءُ لَمَسَخْنَاهُمْ عَلَىٰ مَكَانَتِهِمْ فَمَا اسْتَطَاعُوا مُضِيًّا وَلَا يَرْجِعُونَ – ٦٧

(Kekuatan akal fikiran mereka juga tidak sihat) dan kalau kami kehendaki, kami berkuasa mangubahkan keadaan jasmani mereka (menjadi kaku beku) di tempat yang mereka berada padanya; maka dengan itu, mereka tidak dapat mara ke hadapan dan juga tidak dapat undur ke belakang.

وَمَنْ نُعَمِّرْهُ نُنَكِّسْهُ فِي الْخَلْقِ ۖ أَفَلَا يَعْقِلُونَ – ٦٨

Dan (hendaklah diingat bahawa) sesiapa yang Kami panjangkan umurnya, Kami balikkan kembali kejadiannya (kepada keadaan serba lemah; hakikat ini memang jelas) maka mengapa mereka tidak mahu memikirkannya?

? Tafsir Ringkas:

1. Ayat ini merupakan penegasan untuk direnungi oleh orang-orang yang berdosa dan tidak mengerti tentang amaran-amaran Allah SWT. Allah SWT boleh sahaja menurunkan azab dengan segera dengan menghapuskan mata mereka, sehingga menjadikan mereka buta dan bingung. Allah SWT boleh juga mengubah ciptaan mereka sehingga mereka tidak dapat berjalan lagi, tidak dapat maju mahupun berundur dari tempat asal.

2. Namun, Allah SWT tidak menyegerakan hukuman ke atas dosa-dosa yang dilakukan oleh umat Nabi Muhammad SAW di atas dunia, sebagai tanda rahmat dari-Nya. Allah SWT tetap memberi hambanya kesempatan yang cukup berupa umur di dunia agar mereka dapat bertaubat. Sebaliknya Allah akan memberi hukuman dan pembalasan kepada mereka di akhirat kelak.

3. Dalam ayat 68 pula, Allah SWT terus memberi penjelasan bahawa Dia juga boleh memanjangkan usia manusia, namun semakin panjang umur, fitrahnya manusia itu akan semakin lemah, lelah, lanjut usia, beruban, kurang akal dan nyanyuk sehingga dia tidak mengetahui lagi sesuatu apa pun yang pernah diketahuinya.

4. Orang-orang kafir tetap berkata: “Jika umur kami dipanjangkan Tuhan, tentulah kami berbuat segala macam kebaikan yang diperintahkan Allah”. Allah SWT menjawab ucapan mereka itu dengan mengatakan: “Semakin panjang umur orang-orang kafir itu, maka semakin lemahlah ia dan semakin tidak berdaya melakukan apa yang dikatakannya itu”.

Hakikatnya, mereka tidak mempergunakan umur mereka itu dengan sebaik-baiknya. Walaupun Allah SWT telah mengutuskan para Rasul kepada mereka untuk memberi petunjuk ke jalan yang lurus, tetapi mereka tidak mengikuti Rasul dan petunjuk itu bahkan mereka mendustakan dan mengingkarinya. Maka mereka akan menerima azab dan pembalasan di akhirat kelak.

? Pengajaran:

1. Kita hendaklah sentiasa mengingati bahawa setiap dosa yang dilakukan akan diazab oleh Allah SWT di akhirat kelak. Maka hendaklah kita sentiasa menjauhi perbuatan dosa walaupun sekecil zarah dan segera bertaubat dan menyesali perbuatan dosa yang dilakukan.

2. Sentiasalah bersyukur dengan segala rahmat yang Allah SWT turunkan kepada hambaNya.

3. Allah memberi masa yang cukup untuk hambaNya, maka hendaklah kita sentiasa menggunakan masa kuat dan sihat ini dengan sebaik-baiknya untuk mengabdikan diri kepada Allah SWT. Gunakan setiap saat yang diberi untuk melakukan amal ibadat kepada Allah.

4. Perdalami kefahaman tentang ilmu penyucian jiwa yang sangat mendorong kita untuk selalu bersyukur dan bertaubat dengan betul.

5. Carilah guru yang mursyid bagi membimbing kita bagaimana untuk menjalani kehidupan hamba yang sejati serta bagaimana memenuhi umur ini dengan amalan-amalan penyuburan iman, tazkiyah nafsi dan islah diri .

? Rujukan:
Tafsir Ibnu Katsir

Disusun oleh:
Lajnah Dakwah DMPM dengan kerjasama Ameerah dan Lajnah Dakwah DMPK Gombak.
30 November 2018 / 22 Rabiul Awal 1440