Home Tadabbur Al-Quran

Tadabbur Surah Yaasin Siri 19

1183
SHARE


?? Tadabbur Surah Yaasin ??
Siri 19

? Ayat 55-58 : Pembalasan dan Keberuntungan Golongan Beriman yang Soleh

?Firman Allah serta terjemahannya :

إِنَّ أَصْحَابَ الْجَنَّةِ الْيَوْمَ فِي شُغُلٍ فَاكِهُونَ – ٥٥

Sesungguhnya penghuni-penghuni syurga pada hari itu, dalam keadaan sibuk leka menikmati kesenangan

هُمْ وَأَزْوَاجُهُمْ فِي ظِلَالٍ عَلَى الْأَرَائِكِ مُتَّكِئُونَ – ٥٦

Mereka dan pasangan-pasangan mereka berada di tempat yang teduh, sambil duduk dan berbaring di atas singgahsana

لَهُمْ فِيهَا فَاكِهَةٌ وَلَهُمْ مَا يَدَّعُونَ – ٥٧

Mereka beroleh dalam syurga itu pelbagai jenis buah-buahan, dan mereka beroleh apa sahaja yang dikehendaki

سَلَامٌ قَوْلًا مِنْ رَبٍّ رَحِيمٍ – ٥٨

Mereka juga beroleh ucapan “Selamat Sejahtera!” daripada Tuhan Yang Maha Penyayang

? Tafsir Ringkas :

1. Setelah menggambarkan tentang hari kebangkitan, Allah SWT memaparkan pula tentang layanan-Nya yang istimewa kepada ahli syurga. Mereka digambarkan begitu sibuk dan disibukkan dengan segala jenis kesenangan; makan-minum, istirehat dan senda-gurau bersama orang-orang yang dikasihi.

2. Orang-orang yang dikasihi itu sama ada anak-isteri yang turut menjadi ahli syurga atau sahabat-handai yang bersama bekerja dalam menjalankan amanah sebagai khalifah Allah semasa di dunia. Ada juga bidadari dan anak-anak yang tersedia di syurga khusus untuk mereka. Pada peringkat awal ini, para ahli syurga tidak sempat memikirkan tentang perkara lain, atau orang lain yang tiada di syurga (ke neraka).

3. Di syurga tempatnya teduh, tiada lagi sinaran terik matahari, nyaman dan aman. Bersama pasangan-pasangan masing-masing, mereka duduk dan berbaring di atas singgahsana lengkap tilaman dan bantal bersandar seenaknya.

4. Tersedia di syurga segala buah-buahan yang pernah dimakan di dunia atau tidak. Malah segala yang diingini dan diidamkan boleh diperolehi. Istimewanya nikmat di syurga sehingga tidak terlintas di hati dan fikiran ketika di dunia ini.

5. Allah SWT akan membuka hijab lalu memperlihatkan wajahNya serta memberi penghormatan dengan ucapan salam dan memandang kepada mereka. Mereka juga memandang kepada Allah, sehingga tidak diingat lagi pada nikmat yang lain selain pandangan tersebut.

? Pengajaran :

1. Untuk membangkitkan rasa gemar melakukan amal soleh dan menumbuhkan rasa takut berbuat jahat, tekunilah ayat-ayat tentang syurga yang tidak terperi indahnya. Bagi ahli syurga, Allah menjanjikan nikmat yang sepenuhnya, tidak terhingga di akhirat kelak. Itulah ganjaran bagi hamba yang berserah diri kepada Allah. Bersaksi menjadi muslim itulah maksud berserah diri kepada Tuhan.

2. Pujuklah hati dan diri untuk bersabar agar nikmat syurga dapat diperolehi di akhirat nanti. Dunia adalah tempat ujian. Apakah kita berusaha, bekerja, bertabah dalam ketaatan dan beramal soleh? Atau kita tewas mengikut kehendak nafsu dan akal yang pendek.

3. Kita mesti belajar apakah petunjuk Allah dalam Al-Quran, lalu dilaksanakan suruhan dan ditinggalkan larangan seperti yang diarahkan.

4. Nikmat-nikmat syurga yang diceritakan, sebenarnya lebih hebat daripada apa yang mampu kita bayangkan di dunia ini. Gambaran kehebatan itu dapat dilihat melalui sedutan daripada maksud sabda Nabi SAW: “Seluruhnya adalah Nur gilang-gemilang, segar wangi, gedung bertingkat, sungai mengalir, hasil bumi subur, isteri rupawan, perhiasan, kediaman abadi di negeri yang damai, buah-buahan, dan berbagai kebaikan serta nikmat di tempat yang tinggi dan mulia!”

5. Terdapat satu nikmat yang tidak terbandingkan, iaitu dapat melihat wajah Allah SWT. Nikmat itu hanya diberikan sewaktu berada di syurga. Di dunia ini kita tidak dapat melihat-Nya. Oleh itu, berdoalah agar kita juga terpilih mendapat nikmat ini.

6. Sentiasalah istiqamah dalam memburu misi tertinggi dalam hidup seorang mukmin, iaitu menerima ucapan salam serta dipandang oleh Allah. Ahli syurga sungguh gembira, khusyuk memandang wajah Allah dengan perasaan rendah diri dan membesarkan Allah SWT.

7. Lakukan muhasabah diri tentang bagaimanakah keadaan hati kita ketika menghadap Allah semasa solat di dunia ini. Bandingkan dengan layanan Allah kepada ahli syurga. Adakah kualiti solat kita mampu melarutkan kita dalam lautan ehsan ketika sujud dan ruku’?

8. Jagalah diri, ahli keluarga dan sahabat kita dari maksiat dan mungkar. Bimbingi mereka dan jalani hidup kehambaan secara berjemaah. Itulah antara tanda kita bersungguh-sungguh untuk ditemukan dan dikumpulkan kembali di syurga sebagaimana yang Allah janjikan.

? Rujukan :
Tafsir At Tibyan
Tafsir Al Azhar

Disusun oleh :
Lajnah Dakwah DMPM dengan kerjasama Ameerah dan Lajnah Dakwah DMPK Gombak.
9 November 2018 / 1 Rabiul Awal 1440