Home Tadabbur Al-Quran

Tadabbur Surah Yaasin Siri 18

158 views
SHARE

📓📓 Tadabbur Surah Yaasin 📓📓
Siri 18

💌 Ayat 51-54: Keadaan dan Suasana Hari Kebangkitan Semula

🖋 Firman Allah serta terjemahannya:

وَنُفِخَ فِي الصُّورِ فَإِذَا هُمْ مِنَ الْأَجْدَاثِ إِلَىٰ رَبِّهِمْ يَنْسِلُونَ – ٥١

Dan sudah tentu akan ditiupkan sangkakala (menghidupkan orang-orang yang telah mati; apabila berlaku yang demikian) maka semuanya segera bangkit keluar dari kubur masing-masing (untuk) mengadap Tuhannya.

قَالُوا يَا وَيْلَنَا مَنْ بَعَثَنَا مِنْ مَرْقَدِنَا ۜ ۗ هَٰذَا مَا وَعَدَ الرَّحْمَٰنُ وَصَدَقَ الْمُرْسَلُونَ – ٥٢

(Pada ketika itu) orang-orang yang tidak percayakan hidup semula berkata: Aduhai celakanya kami! Siapakah yang membangkitkan kami dari kubur tempat tidur kami? (Lalu dikatakan kepada mereka): “Inilah dia yang telah dijanjikan oleh Allah Yang Maha Pemurah dan benarlah berita yang disampaikan oleh Rasul-rasul!”

إِنْ كَانَتْ إِلَّا صَيْحَةً وَاحِدَةً فَإِذَا هُمْ جَمِيعٌ لَدَيْنَا مُحْضَرُونَ – ٥٣

Hanyalah dengan berlakunya satu pekikan sahaja, maka dengan serta merta mereka dihimpunkan ke tempat perbicaraan Kami, semuanya dibawa hadir (untuk menerima balasan).

فَالْيَوْمَ لَا تُظْلَمُ نَفْسٌ شَيْئًا وَلَا تُجْزَوْنَ إِلَّا مَا كُنْتُمْ تَعْمَلُونَ – ٥٤

Maka pada hari itu, tidak ada seseorang yang akan dianiaya sedikitpun, dan kamu pula tidak akan dibalas melainkan menurut amal yang kamu telah kerjakan.

📖 *Tafsir Ringkas:*

1. Setelah seluruh manusia mati pada tiupan sangkakala yang pertama, maka ditiuplah sangkakala kedua untuk membangkitkan seluruh manusia dari kuburnya. Waktu itu bangkitlah seluruh manusia dan mereka bangun serta bergegas-gegas menemui Allah Yang Maha Kuasa untuk melihat dan menerima hisaban amalan mereka.

2. Kemudian Allah SWT menggambarkan kengerian dan ketakutan yang menyelimuti manusia setelah dibangkitkan semula. Orang-orang kafir ketika dibangkitkan merasa terkejut dan mengeluh dan mencelakakan diri sendiri kerana dibangkitkan dari kubur mereka, kerana mereka menganggap setelah dimatikan di dunia mereka tidak akan dibangkitkan kembali. Namun inilah yang telah dijanjikan oleh Allah SWT dan benarlah khabar yang disampaikan oleh para nabi dan rasul. Iaitu satu hakikat yang mereka dustakan ketika hidup di dunia.

3. Seterusnya Allah SWT menjelaskan begitu cepat dan mudahnya proses kebangkitan bagi-Nya. Mudah saja Dia untuk membangkitkan seluruh manusia yang pernah ada dahulu sebelum datangnya Hari Kiamat. Cukup dengan satu bunyi saja, maka hiduplah kembali seluruh manusia, dan berkumpul di hadapan Allah untuk diperhitungkan dan diputuskan perkara yang mereka telah lakukan.

4. Kemudian Allah SWT menerangkan bahawa pada Hari Kiamat itu, setiap manusia akan menerima balasan atas semua perbuatan yang telah dilakukannya selama hidup di dunia, perbuatan baik dibalas dengan pahala yang berlipat ganda dan perbuatan buruk dan jahat akan dibalas dengan siksa yang sesuai dengan perbuatan mereka.

🎀 Pengajaran:

1. Sebagai orang Islam, kita perlu mengimani bahawa tiupan sangkakala adalah sebahagian daripada kesempurnaan kuasa Allah SWT dan ia pasti berlaku pada saat yang hanya Allah sahaja Yang Maha Mengetahuinya.

2. Hayatilah dan banyakkan renungan terhadap alam kubur. Ia adalah alam barzakh yang hanya tempat transit sementara menunggu hari kita dibangkitkan semula. Walaupun kita merasakan betapa takutnya dengan seksaan kubur, ketahuilah sesungguhnya siksaan kubur adalah lebih ringan jika dibandingkan dengan siksaan di Hari Akhirat. Jika seksa kubur pun kita tak mampu untuk menanggungnya bagaimana pula seksaan di akhirat kelak. Maka, sudahkah kita bersedia untuk menghadapi semua ini dengan amalan-amalan yang boleh dipertimbangkan untuk menyelamatkan kita daripada murka dan seksa Allah SWT.

3. Didiklah hati agar timbul rasa takut kepada Allah (خشية الله) dalam jiwa kerana Allah SWT sangat Perkasa dan Maha Berkuasa. Sekali arahan daripada Allah sahaja terhadap tentera-tenteraNya sudah cukup untuk mengotakan perintahnya tanpa lewat walaupun sesaat.

4. Berimanlah dengan sifat Allah yang Maha Adil kerana ia adalah motivasi untuk kita meneruskan kehidupan dengan sebaik-baiknya kerana segala apa yang kita lakukan semata-mata untuk dinilai oleh Allah dengan adil. Justeru itu membawa kita lebih bersedia untuk menghadapi hari perbicaraan di hari kiamat kelak. Ia adalah mahkamah Allah yang agung dan amat adil; tiada siapa pun yang akan dizalimi. Allah akan mengadili mengikut apa yang dilakukan ketika kita hidup di dunia.

5. Selagi Allah masih memberi peluang untuk kita terus bernafas di atas bumiNya ini, istiqamahlah melakukan amal kebaikan demi mengharapkan rahmat dan redhaNya.

6. Ajarkan anak-anak untuk sentiasa melakukan apa sahaja pekerjaan dengan hati yang ikhlas kerana Allah dan kerana akhirat. Peringatkan mereka tentang pahala dan dosa serta akibat atau kebaikan daripada perbuatan yang dilakukan.

📚 Rujukan:
Tafsir Ibnu Kathir
Tafsir Al-Wasith

Disusun oleh :
Lajnah Dakwah DMPM dengan kerjasama Ameerah dan Lajnah Dakwah DMPK Gombak.
2 November 2018 / 24 Safar 1440