Home Kenyataan Media Dewan Muslimat PAS Malaysia

Tadabbur Surah Yaasin (Siri 12)

1081
SHARE

? Tadabbur Surah Yaasin ?

Siri 12

? Ayat 36: Gesaan Menyelidiki Rahsia Alam.

? Firman Allah serta terjemahannya:

سُبْحَانَ الَّذِي خَلَقَ الأزْوَاجَ كُلَّهَا مِمَّا تُنْبِتُ الأرْضُ وَمِنْ أَنْفُسِهِمْ وَمِمَّا لَا يَعْلَمُونَ – ٣٦

Mahasuci Tuhan yang telah menciptakan (makhluk-makhluk) berpasang-pasangan semuanya, baik dari apa yang ditumbuhkan oleh bumi, dan dari diri mereka sendiri, dan dari apa yang tidak mereka ketahui.

? Tafsir ringkas:

1. Ayat ini merupakan ayat tasbih atas keunggulan Allah SWT bahawa hanya Dia sahaja yang Maha Tunggal. Manakala semua makhluk yang wujud pasti berbilang-bilang jumlahnya, berlainan jenisnya (ada laki-laki, ada wanita) dan berbagai-bagai sifatnya (seperti suka dan benci, kuat dan lemah dan sebagainya). Tidak ada yang tunggal kecuali Allah.

2. Perkataan ( الأزْوَاجَ ) dalam ayat ini dijelaskan oleh para ahli tafsir bermakna bermacam-macam atau berjenis-jenis. Maha Suci Allah yang telah menciptakan makhluk semuanya berpasang-pasangan dan berjenis-jenis. Antaranya ialah tumbuh-tumbuhan yang keluar mekar dari bumi, iaitu berupa pelbagai jenis tanaman dan pohon-pohonan yang berbuah. Sebagai contoh: tumbuhan kurma dipercayai memiliki sekitar 1400 spesies.

3. Allah SWT juga telah menjadikan manusia daripada diri mereka sendiri (iaitu dari keturunan manusia yang sama), ada yang lelaki dan ada yang wanita. Dari keturunan manusia juga lahirnya bermacam-macam kaum, bentuk dan keadaannya. Ada yang berkulit putih, hitam, sawo matang dan kuning. Ada yang berambut lurus, ikal dan kerinting. Ada yang tinggi ada yang rendah.

4. Selain itu, Allah juga mencipta makhluk-makhluk lain juga berpasangan dan beraneka ragam tetapi kita tidak mengetahui pun kewujudannya. Dalam ayat ini juga terkandung dalil terbatasnya pengetahuan manusia. Ada banyak lagi perkara yang tidak diketahui oleh manusia. Kerana itu pada kalimat terakhir, Allah menyatakan: mahupun dari apa yang tidak mereka ketahui.

5. Ucapan tasbih ini bergema tepat pada waktu dan tempatnya dan bersama-sama ucapan tasbih itu terlukislah satu hakikat agung dari hakikat alam iaitu hakikat persamaan penciptaan dan persamaan asas dan struktur. Allah telah menciptakan segala makhluk yang hidup secara berpasang-pasangan sama ada pada tumbuh-tumbuhan atau pada manusia atau pada makhluk-makhluk yang lain dari kedua-duanya yang tidak diketahui mereka.

? Pengajaran:

1. Hendaklah kita memperhatikan, meneliti dan menyelidiki dengan yakin tentang kejadian alam (supaya dapat mengambil hikmah dan pengajaran) bahawa sesunggguhnya Maha Suci dan Agungnya Allah yang berkuasa menciptakan semua makhluk secara berpasang-pasangan. Ini termasuklah pada tumbuhan, alam manusia dan bahkan sesuatu yang kita tidak ketahui dan tidak terjangkau oleh pemikiran kita. Inilah salah satu tanda keEsaan Allah yang mana tidak akan pernah sama dengan makhluk yang lain, yang bersifat berpasangan. Ayat ini sesungguhnya menguatkan simpulan aqidah dan keyakinan kita kepada Allah.

2. Kita perlulah yakin dengan janji Allah yang menciptakan sesuatu secara berpasangan.
Dengan itu, hati kita akan menjadi tenang kerana yakin akan janji dan kuasa Allah yang berkuasa menciptakan pasangan pada semua perkara. Jika jodoh lambat tiba, atau tidak kunjung tiba, maka tentunya ia tersimpan dalam rahsia Allah, dan keyakinan padaNya tidak pernah luntur. Dalam hal ini, telah diterangkan dalam nas, bahawa jika tiada jodoh di dunia ini, maka jodohnya akan bertemu di akhirat sana.

3. Hiduplah mengikut fitrah yang Allah ditentukan kepada kita. Dia menciptakan kita dan alam ini dengan secukupnya, pelbagai jenis, berpasangan juga sifat berlawanan namun saling melengkapi sekiranya mengikut aturan fitrah-Nya. Contohnya benih tumbuhan jantan dan betina akan membuahkan pokok baru. Begitu juga lelaki dan wanita, akan melahirkan anak dan zuriat keturunan. Begitu juga cas positif dan negatif, kutub utara dan selatan, yang saling bertarikan. Justeru, ini menolak sama sekali amalan homoseksual (LGBTQ) yang bersikap songsang dan menyalahi fitrah kejadian dirinya sendiri. Ini kerana, dari dua hubungan kelamin yang sama, sama sekali tidak akan membuahkan hasil apa pun, dan ini akan merugikan dan memusnahkan tamadun bangsa manusia.

4. Luaskan pembacaan dan pengkajian kerana dalam ayat ini telah menunjukkan bahawa setiap dari makhluk mempunyai pasangan masing-masing. Justeru, para pengkaji bolehlah meneliti ayat ini dan membuat penyelidikan lanjut tentangnya, sepertimana penemuan zarah atom yang disangka tunggal tapi rupanya berpadu dari dua pasangan. Begitu juga dalam bidang kajian lain, seperti anatomi, astronomi, zoologi, botani, dan sebagainya. Semua bidang ini boleh dikaji untuk diambil hikmah dan dimanfaatkan untuk kegunaan dan tujuan yang baik.

5. Sentiasa bersyukur, merasa kaya dan mencukupi setelah sekian lama kita hidup di alam yang indah dan pelbagai warna ini. Jangan bersedih dan putus asa kerana Allah sentiasa menyediakan yang terbaik buat kita dan alam ini. Teruskan amal soleh dan hidup bermotivasi kerana terlalu banyak nikmat di sekeliling kita.

?Rujukan:
Tafsir Ibnu Kathir.
Tafsir Fi Zhilal
Tafsir at Thobary, al-Baghowy, al-Jalalain, dan as-Sa’di

Disusun oleh:
Lajnah Dakwah DMPM dengan kerjasama Ameerah dan Lajnah Dakwah DMPK Gombak.
21 September 2018