?? Tadabbur Surah Yaasin ??
Siri 09
Ayat 26-27: Balasan Keimanan Lelaki Dari Hujung Negeri Itu
? Firman Allah serta terjemahannya:
قِيلَ ادْخُلِ الْجَنَّةَ ۖ قَالَ يَا لَيْتَ قَوْمِي يَعْلَمُونَ (٢٦)
(Setelah ia mati) lalu dikatakan kepadanya: “Masuklah ke dalam Syurga”. Ia berkata; “Alangkah baiknya kalau kaumku mengetahui
بِمَا غَفَرَ لِي رَبِّي وَجَعَلَنِي مِنَ الْمُكْرَمِينَ (٢٧)
“Tentang perkara yang menyebabkan daku diampunkan oleh Tuhanku, serta dijadikannya daku dari orang-orang yang dimuliakan”.
? Tafsir ringkas:
1. Lelaki dari hujung negeri itu maut akibat didera oleh penduduk negeri tersebut, semata-mata dakwah tauhid yang diserunya.
2. Kematian mempertahankan agama adalah satu kemulian dan mendapat jaminan Allah SWT. Allah terus menjemputnya masuk ke syurga yang tidak terperi nikmatnya.
2. Apabila lelaki itu melihat pahala dan balasan syurga yang telah disediakan oleh Allah untuknya yang penuh kenikmatan, beliau mengeluh kerana menyesali nasib kaumnya yang tidak mengetahui akan ganjaran pahala, keampunan dan kemuliaan yang diberikan oleh Allah kepadanya selepas kematiannya.
3. Perkataan ” Ya laita ” yang diungkapkan dalam ayat 26 menunjukkan bahawa harapan lelaki itu untuk kaumnya adalah suatu yang tidak akan tercapai kerana dia telah mati dan mereka telah menolak peringatan yang telah disampaikannya.
? Pengajaran:
1. Umat Islam hendaklah meletakkan agama yang paling hadapan. Sanggup mempertaruh nyawa demi mempertahankan kebenaran di jalan Allah SWT. Ia dikira sebagai mati syahid dan akan ditempatkan di dalam syurga.
2. Sebagai seorang da’ie, kasihi dan kasihanilah golongan yang diseru dan sentiasa berharap agar mereka turut sama mendapat ganjaran baik dan syurga di akhirat nanti.
3. Kuatkan keyakinan dan keimanan terhadap janji pahala dan syurga daripada Allah agar terus istiqamah berjuang menyeru kebenaran dan menyampaikan dakwah.
4. Bersabarlah menanggung penganiayaan, kesusahan, kesakitan dan kematian yang sementara sahaja berbanding nikmat dan rahmat Allah di syurga yang kekal abadi.
5. Manfaatkan masa hidup di dunia untuk melakukan kerja-kerja dakwah, menyeru dan memperjuangkan kebenaran agar tidak menyesal di akhirat nanti.
6. Kerja-kerja dakwah dan amal islami adalah salah satu cara pembersihan jiwa dan penghapusan dosa. Jangan menyempitkan ruang tazkiyah nafsiyah dan dunia tasawuf hanya tertumpu pada biji-biji tasbih dan tikar sejadah semata-mata .
? Rujukan:
Tafsir Al Azhar.
Disusun oleh:
Lajnah Dakwah DMPM dengan kerjasama Ameerah dan Lajnah Dakwah DMPK Gombak.
31 Ogos 2018 / 19 Zulhijjah 1439