Home Artikel Dewan Muslimat PAS Malaysia

Tadabbur Surah Yaasin Siri 05

155 views
SHARE

📓📓 Tadabbur Surah Yaasin 📓📓
Siri 05

Ayat 15-17: Dialog & Perdebatan antara Penduduk Negeri ( Al-Qaryah ) dengan Para Utusan Allah – Bahagian 1

🖋 Firman Allah serta terjemahannya:

قَالُواْ مَآ أَنتُمۡ إِلَّا بَشَرٌ۬ مِّثۡلُنَا وَمَآ أَنزَلَ ٱلرَّحۡمَـٰنُ مِن شَىۡءٍ إِنۡ أَنتُمۡ إِلَّا تَكۡذِبُونَ ١٥

Penduduk bandar itu menjawab: “Kamu ini tidak lain hanyalah manusia seperti kami juga, dan Tuhan Yang Maha Pemurah tidak menurunkan sesuatupun (tentang agama yang kamu dakwakan); Kamu ini tidak lain hanyalah berdusta”

قَقَالُواْ رَبُّنَا يَعۡلَمُ إِنَّآ إِلَيۡكُمۡ لَمُرۡسَلُونَ ١٦

“Rasul-rasul berkata: Tuhan Kami mengetahui bahawa sesungguhnya Kami adalah rasul-rasul yang diutus kepada kamu”

وَمَا عَلَيۡنَآ إِلَّا ٱلۡبَلَـٰغُ ٱلۡمُبِينُ ١٧

“Dan tugas Kami hanyalah menyampaikan perintah-perintahNya dengan cara yang jelas nyata”

📖 Tafsir ringkas:

1. Ayat ini menzahirkan penolakan dan keingkaran penduduk negeri Antokiyah terhadap para utusan Allah itu dengan memaparkan dialog dan perdebatan di antara mereka.

2. Antara alasan penolakan mereka:

a) Rasul yang diutuskan itu hanyalah manusia biasa seperti mereka.

b) Tiada wahyu yang diturunkan kepada para utusan itu yang mengiktiraf mereka sebagai rasul.

c) Para utusan tersebut adalah pembohong & pendusta. Pada anggapan mereka setiap apa yang dijanjikan boleh terjadi secara spontan. Mereka mahukan benda ajaib dan pelik-pelik, tetapi bila rasul itu menunjukkan perkara ajaib dan pelik, mereka mengemukakan alasan lain pula untuk mengingkari perintah rasul.

3. Para utusan terus melayani dakyah dan tuduhan penduduk tersebut. Mereka berdialog secara berhikmah dan bijaksana dengan:

a) menegaskan dengan jujur tanpa rasa takut bahawa mereka sememangnya utusan Allah yang dihantar untuk menyampaikan dakwah kepada penduduk negeri itu.

b) menjelaskan dengan terang bahawa misi perutusan mereka adalah menyampaikan risalah yang diamanahkan oleh Allah SWT. Sama ada umat mereka mahu ikut atau tidak, itu bukanlah persoalannya. Kewajipan berdakwah perlu dilaksanakan dan hasilnya terserah kepada Ilahi.

4. Peranan rasul bukan sekadar menyampaikan risalah, tetapi juga sebagai role model kepada manusia di dalam menjelaskan ajaran Allah itu dan dijelmakan dalam kehidupan. Oleh kerana itu Allah menurunkan rasul di kalangan manusia, bukan malaikat.

5. Kewajipan berdakwah inilah yang dikehendaki oleh Islam. Tetapi mereka yang sesat tetap tidak senang dengan orang-orang yang menjalankan kerja-kerja Islam ini walaupun usaha dakwah itu tidak mengganggu mereka pada zahirnya.

🎀 Pengajaran:

1. Para pejuang dan pendakwah perlu memahami kepelbagaian penerimaan orang terhadap dakwah Islam. Hakikatnya orang kafir tetap akan mendustakan ajaran Allah dengan pelbagai alasan walau segala mukjizat dan bukti dibentangkan di hadapan mereka. Justeru itu janganlah rasa lemah dan segan silu untuk terus menyatakan kebenaran kerana ia tetap menjadi tanggunjawab kita pada agama Allah ini.

2. Kita para pendakwah adalah mata rantai perjuangan para rasul yang bertanggungjawab untuk menyampaikan ajaran Islam sepertimana yang telah diamanahkan oleh Allah SWT; manakala hasilnya terserahlah kepada Allah.

3. Kita tidak sepatutnya merasa lemah dan kecewa kerana usaha dakwah tidak akan terlepas dari gangguan dan tentangan pihak musuh walaupun pada hakikatnya ia tidak memudaratkan para pejuang kebenaran. Allah tidak menilai hasil dakwah dan perjuangan tersebut, tetapi Allah menilai dan memberi ganjaran kepada usaha dakwah yang dilakukan.

4. Pejuang Islam mestilah berani, jujur dan merasa ‘izzah dalam menyebarkan risalah Islam dan menyampaikan dakwah.

📚 Rujukan:
Tafsir At-Tibyan

Disusun oleh:
Lajnah Dakwah DMPM dengan kerjasama Ameerah dan Lajnah Dakwah DMPK Gombak
3 Ogos 2018 / 21 Zulkaedah 1439