Home Berita Dewan Muslimat PAS Malaysia

Tadabbur Surah Yaasin Siri 01

2965
SHARE

?? Tadabbur Surah Yaasin ??
Siri 01

? Pengenalan Surah:

1. Surah ini adalah pembuka bagi juzuk ke 23, surah ke-36 dalam susunan Al-Quran, mengandungi 83 ayat, dan diturunkan di Makkah sesudah surah al-Jinn.

2. Sebagaimana kebiasaan bagi surah yang diturunkan di Makkah, perkara utama yang dibicarakan ialah aqidah.

3. Tujuan surah ini diturunkan adalah untuk:
i. Menguatkan keyakinan dan semangat Nabi Muhammad SAW terhadap perjuangan khususnya ketika menghadapi cabaran dan tentangan kaum Quraisy.
ii. Menambah ilmu pengetahuan umat Islam sendiri tentang
a. Aqidah tauhid
b. Sejarah perjuangan dan para anbiya & para pengikutnya
c. Fenomena alam semesta serta alam ghaib.

Ayat 1-5: Al-Quran dan Nabi Muhammad Utusan Allah

يس
Yaa-siin

وَالْقُرْآنِ الْحَكِيمِ
Demi Al-Quran yang penuh hikmah

إِنَّكَ لَمِنَ الْمُرْسَلِينَ
Sungguh, engkau (Muhammad) adalah salah seorang dari para rasul

عَلَىٰ صِرَاطٍ مُسْتَقِيمٍ
(yang berada) di atas jalan yang lurus

تَنْزِيلَ الْعَزِيزِ الرَّحِيمِ
(Sebagai wahyu) yang diturunkan oleh (Allah) yang Maha Perkasa, Maha Penyayang

? Tafsir ringkas:

1. Surah ini dimulai dengan huruf Yaa-Siin. Para ulama mengemukakan beberapa pendapat tentang maksud huruf ini, antaranya; nama surah, perkataan bersumpah, salah satu dari nama Allah, atau nama Al-Quran, nama panggilan bagi Nabi Muhammad SAW dan panggilan bagi insan/manusia.

2. Imam al-Razi mengutarakan bahawa ibadah itu terbahagi tiga; hati, lidah, dan anggota. Setiap bahagian pula terkelas kepada dua; dapat dan tidak dapat ditelah akan hikmah, maksud dan hakikatnya. Lalu, sebagai hamba kita membaca setiap huruf dalam Al-Quran, contohnya surah-surah yang dimulai dengan huruf: Haa-Miim, Yaa-Siin, Alif-Laam-Miim dan lain-lain adalah sebagai ibadah dan menurut perintah, dengan tidak memerlukan untuk tahu akan ertinya atau tidak.

3. Ilmu dan pengajaran dari Al-Quran sememangnya tidak dapat disangkal bahawa ia datang dari Allah. Maka dengan sumpah Demi Al-Quran, Allah menguatkan keterangan dan kesaksian bahawa Nabi Muhammad SAW adalah benar-benar utusan Allah, sebagaimana utusan-utusan yang terdahulu.

4. Nabi Muhammad SAW diutuskan untuk memimpin manusia melalui jalan yang lurus dengan berpandukan Al- Quran.

5. Jalan lurus adalah jarak paling dekat di antara dua titik. Titik pertama itu diri kita, dan titik kedua adalah tujuan yang dituju; iaitu Allah. Dari-Nya kita datang dan kepada-Nya kita akan kembali.

6. Ayat kelima menjelaskan sifat Allah dalam membimbing manusia melalui jalan yang lurus iaitu; Maha Perkasa dan Maha Penyayang.
Maha Perkasa bermaksud Allah adalah Tuhan yang tidak boleh dibantah. Barangsiapa sengaja tidak mempedulikan tuntutan Rasul, menyeleweng dari ajaran, dan melanggar peraturan kerana menurut nafsu, dia akan dihukum.
Allah Maha Penyayang (Rahiim) bagi mereka yang jiwanya tetap ikhlas, lurus menuju Tuhan. Walaupun menempuh susah, terjatuh, terhenti, namun tetap bangun dan meneruskan perjalanan tanpa putus asa.

? Pengajaran

1. Marilah kita menggandakan usaha:
i. Membaca dan mentadabbur Al-Quran
ii. Mempelajari hadith dan Sirah Nabi SAW supaya hati kita tetap lurus menuju Allah.

2. Yang membentuk diri kita ialah niat dan kesedaran. Kesedaran kepada hidup dan kesedaran kepada tugas. Niat dan kesedaran ini mesti disambut dengan usaha dan kesungguhan, barulah menjadi amal soleh untuk bekalan akhirat.

3. Tujuan dan jalan lurus mesti dibentuk dalam hati dan jiwa. Ini akan menentukan kita terus istiqamah walaupun secara realiti fizikalnya kita menghadapi jalan yang perlu mendaki, membelok, menuruni cerun, menempuh gelombang dan halangan-halangan.

4. Al-Quran adalah penawar penyakit jiwa, mental juga fizikal. Begitulah surah-surahnya. Ketika menziarahi orang sedang nazak, bacalah surah Yaasin. Mudah-mudahan diringankan penanggungan kesakitan.

5. Bacalah surah ini dalam apa jua keadaan dengan niat ibadah dan taqarrub ilalAllah, bukan kerana meneruskan adat melayu dalam program yasinan semata- mata.

6. Al-Quran itu kitab hikmah penuh kebijaksanaan untuk memandu hidup manusia. Tinggalkanlah kitab-kitab buatan manusia yang banyak merosakkan kehidupan dan aqidah , kembalilah kepada al-Quran.

7. Yakinilah dan kembalilah kepada ajaran al-Quran dalam mencari penyelesaian kepada segala permasalahan hidup. Jangan terpedaya dengan gerakan prejudis yang menganggap seruan ke arah penyelesaian Islam sebagai satu retorik semata-mata.

? Rujukan: Tafsir Al-Azhar

Disusun oleh:
Lajnah Dakwah DMPM dengan kerjasama Ameerah dan Lajnah Dakwah DMPK Gombak.
6 Julai 2018 / 22 Syawal 1439