Home Tadabbur Al-Quran

Tadabbur Surah As-Soff: Siri 7

1350
SHARE

?? Tadabbur Al Quran ??
Surah As-Saff: Siri 7

Ayat 9: Tujuan Risalah Islam yang Disampaikan oleh Rasulullah SAW

? Firman Allah serta terjemahannya:

هُوَ الَّذِي أَرْسَلَ رَسُولَهُ بِالْهُدَىٰ وَدِينِ الْحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّينِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ الْمُشْرِكُونَ (٩)

Dialah yang telah mengutus RasulNya (Muhammad SAW) dengan membawa hidayah petunjuk dan agama yang benar (agama Islam), supaya Ia memenangkannya dan meninggikannya atas segala agama yang lain, walaupun orang-orang musyrik tidak menyukainya.

? Tafsir ringkas:

1. Setelah menceritakan tentang pendustaan orang kafir terhadap risalah tauhid dan usaha mereka untuk memadamkan cahaya Islam dalam ayat yang lepas, dalam ayat ini pula Allah SWT menyatakan bahawa usaha mereka itu hanyalah sia-sia. Hal ini kerana para rasul yang ditentang oleh orang kafir itu adalah utusan daripada Allah SWT, Tuhan Yang Maha Berkuasa dan Yang Maha Bijaksana. Dialah yang mengutuskan para rasul bagi menyampaikan risalah Islam dan menyebarkannya kepada umat manusia, termasuklah Nabi Muhammad SAW nabi terakhir daripada kalangan para rasul.

2. Tujuan utama rasul diutus oleh Allah SWT adalah untuk menyampaikan wahyu dan menunjukkan cara mengamalkannya dalam kehidupan. Dinul Haq adalah cara hidup berasaskan Al-Quran dan hadith yang perlu diamalkan sebagai tanda penghambaan kepada Allah SWT. Cara hidup yang dimaksudkan bukan setakat ibadah sahaja, bahkan ianya meliputi segenap aspek dalam kehidupan manusia.

3. Allah SWT telah menurunkan agama ini untuk menutup agama-agama yang lain. Ini bermakna agama Islam ini adalah agama yang utama dan sepatutnya menjadi pegangan kesemua umat manusia. Allah SWT menjanjikan bahawa Islam tetap akan menang walaupun dibenci oleh orang kafir sepanjang zaman.

? Pengajaran:

1. Pasakkanlah dalam hati bahawa wahyu Al-Quran ini adalah benar dan tiada keraguan padanya. Allah SWT memilih Rasul sebagai manusia yang terbaik untuk menyampaikan kandungan Al-Quran kepada umat masing-masing.

2. Berpegang teguhlah kepada ajaran Rasulullah SAW dan amalkanlah dalam kehidupan seharian kita supaya tidak terpesong ke arah keburukan. Sebagaimana kereta memerlukan manual penggunaan sebelum dipandu ke mana-mana dengan selamat, begitu jugalah manusia memerlukan kepada risalah Islam yang akan membawa ke arah kehidupan yang lebih sempurna.

3. Sentiasalah yakin bahawa Islam akan menang pada suatu hari nanti walaupun sering ditentang oleh orang-orang kafir yang mahu memadamkan cahaya Islam. Inilah jaminan daripada Allah SWT yang perlu dipasak kukuh dalam hati setiap orang yang beriman. Justeru, teruskanlah berdakwah dengan segenap kemampuan yang ada.

? Rujukan:
Tafsir Ibnu Kathir

Disusun oleh:
Lajnah Dakwah DMPM dengan kerjasama Ameerah dan Lajnah Dakwah DMPK Gombak.
12 Februari 2021 / 30 Jamadilakhir 1442

#baca&sebar
#siritadabbursurahassaff