Home Artikel Dewan Muslimat PAS Malaysia

Tadabbur Surah As-Soff: Siri 6

519
SHARE

📓📓 Tadabbur Al Quran 📓📓
Surah As-Soff: Siri 6

Ayat: 7-8 : Usaha Berterusan Orang Kafir Menentang Islam

🖋 Firman Allah serta terjemahannya:

وَمَنْ اَظْلَمُ مِمَّنِ افْتَرٰى عَلَى اللّٰهِ الْكَذِبَ وَهُوَ يُدْعٰٓى اِلَى الْاِسْلَامِۗ وَاللّٰهُ لَا يَهْدِى الْقَوْمَ الظّٰلِمِيْنَ (٧)

Dan siapakah yang lebih zalim daripada orang yang mengada-adakan dusta terhadap Allah sedang dia diajak kepada Islam? Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang zalim.

يُرِيْدُوْنَ لِيُطْفِـُٔوْا نُوْرَ اللّٰهِ بِاَفْوَاهِهِمْۗ وَاللّٰهُ مُتِمُّ نُوْرِهٖ وَلَوْ كَرِهَ الْكٰفِرُوْنَ (٨)

Mereka ingin memadamkan cahaya Allah dengan mulut (tipu daya) mereka, tetapi Allah menyempurnakan cahaya-Nya, meskipun orang-orang kafir membencinya.

📖 Tafsir ringkas:

1. Lanjutan daripada ayat sebelum ini yang menjelaskan penolakan kaum Yahudi dan Nasrani risalah yang dibawa oleh Nabi Musa dan Isa, ayat ini menjelaskan begitulah juga sikap dan penentangan mereka terhadap Nabi Muhammad SAW. Walaupun mereka maklum tentang kedatangan baginda sebagai nabi terakhir, namun mereka menyembunyikannya dan tidak mahu mengakuinya. Mereka tidak mahu menerima ajaran Islam, satu-satunya agama yang benar, penamat bagi agama-agama sebelumnya. Mereka berterusan merancang tindakan-tindakan jahat, usaha-usaha menyesatkan dan mengelirukan sehingga zaman kini.

2. Mereka ini terlebih zalim daripada orang yang tidak pernah diseru kepada agama Islam dan orang kafir yang tidak menentang Islam. Allah SWT sesekali tidak akan memberi petunjuk kepada mereka, malah menyesatkan hati mereka akibat kekufuran mereka sebagaimana firmanNya:

كَذَٰلِكَ يُضِلُّ ٱللَّهُ ٱلْكَٰفِرِينَ

Seperti demikianlah Allah menyesatkan orang kafir. (Surah Al-Ghafir : 74).

3. Mereka ingin menolak hidayah dan agama yang hak ini dengan perkara yang batil, iaitu dengan kedustaan dan bantahan yang mereka ada-adakan. Allah SWT mengumpamakan perbuatan mereka itu dengan seseorang yang berkeinginan memadamkan sinar matahari atau cahaya rembulan dengan tiupan. Maka sudah tentulah ia tidak mungkin berlaku.

4. Hakikat agama ini akan terus bersinar walaupun Islam dan umat Islam diperangi, ditindas, dizalimi dan ditipudaya dengan berbagai cara, diperintah oleh pemerintah yang kejam, jatuh dan bangkit berulang kali, tetap tidak akan dapat dihapuskan oleh mereka.

🎀 Pengajaran:

1. Kita hendaklah sentiasa memohon perlindungan daripada Allah SWT agar dijauhkan daripada terjebak dalam sebarang agenda jahat gerakan zionis dan gerakan salib antarabangsa. Sentiasa memohon petunjuk, taufiq, pertolongan dan rahmat-Nya agar dapat memandu kita di dalam kehidupan seharian.

2. Kita juga harus berusaha meningkatkan iman melalui ibadah agar kita kuat menghadapi cubaan arus dunia yang banyak menguji keimanan kita.

3. Walaupun berdepan dengan ujian atau cabaran yang besar, jangan sesekali berputus asa. Perjuangan menegakkan Islam atau menyebarkan dakwah bukan dimulai oleh kita; kita cuma meneruskan apa yang ditinggalkan oleh Rasulullah SAW, dan perjuangan ini akan terus menerus diwarisi oleh pejuang-pejuang Islam hingga ke akhirnya.

4. Jadikan kehidupan Rasulullah SAW dan para sahabat sebagai rujukan atau role model di dalam kehidupan kita.

📚 Rujukan:
Tafsir Ibnu Katsir
Tafsir fi zilal Al Quran

Disusun oleh:
Lajnah Dakwah DMPM dengan kerjasama Ameerah dan Lajnah Dakwah DMPK Gombak
5 Februari 2021 / 23 Jamadilakhir 1442