Home Tadabbur Al-Quran

Tadabbur Surah As-Sajdah : Siri 8

2155
SHARE

?? Tadabbur Surah As-Sajdah ??
Siri 8

Ayat: 17: Nikmat Syurga Penghargaan Tertinggi

? Firman Allah serta terjemahannya:

فَلا تَعْلَمُ نَفْسٌ مَا أُخْفِيَ لَهُمْ مِنْ قُرَّةِ أَعْيُنٍ جَزَاءً بِمَا كَانُوا يَعْمَلُونَ – ١٧-

Maka tidak ada seseorang pun yang mengetahui satu persatu persediaan yang telah dirahsiakan untuk mereka (dari segala jenis nikmat) yang amat indah dipandang dan mengembirakan, sebagai balasan bagi amal-amal soleh yang mereka telah kerjakan.

? Tafsir ringkas:

1. Pada ayat yang terdahulu Allah telah menyebut keadaan orang mukmin iaitu mereka yang mereka tunduk sujud kepada Allah, bertasbih memuji-Nya, mendirikan qiamullail serta menginfakkan sebahagian harta mereka ke jalan Allah.

2. Selanjutnya melalui ayat 17 pula menjelaskan ganjaran yang Allah sediakan untuk orang-orang mukmin yang melakukan amal soleh iaitu syurga sebagai ganjaran terindah yang sangat istimewa menjadi hadiah khusus untuk mereka.

3. Tiada siapa di kalangan malaikat mahupun manusia mengetahui satu persatu keadaan nikmat syurga kerana keadaan nikmat syurga itu disembunyikan oleh Allah sebagai balasan kepada manusia yang menyembunyikan amal soleh mereka dari pengetahuan orang lain.

4. Allah telah menyediakan untuk hambanya yang soleh ganjaran syurga yang belum pernah dilihat oleh mata, tidak pernah didengar oleh telinga serta tidak pernah terlintas di hati manusia.

5. Orang yang telah menyempurnakan imannya dengan beribadat yang ikhlas penuh rasa cinta kepada Allah antara takut dan berharap kepada-Nya, akan diterima amalan ikhlas itu dan disambut dengan kejutan hadiah syurga yang merupakan satu kemuliaan Allah kepada para ahli syurga.

? Pengajaran:

1. Kita hendaklah beramal dengan penuh keikhlasan tanpa perlu memikirkan tentang balasan yang Allah akan kurniakan kepada kita di akhirat kelak. Antara caranya ialah berusaha mendidik jiwa agar menjadi ikhlas ialah dengan memperbanyakkan amalan sunat yang kita lakukan tanpa diketahui orang lain. Perlunya memaksa diri dan memberi motivasi buat hati yang sering berbolak balik.

2. Kita mestilah meyakini bahawa balasan Allah itu bergantung kepada jenis amalan yang dilakukan. Seandainya kita melakukan kebaikan balasannya adalah baik. Namun sekiranya kita melakukan kejahatan maka kita akan menerima balasan buruk.

3. Kita hendaklah melakukan sesuatu kerja dengan terbaik; tetapi janganlah mengharapkan pujian daripada manusia atau apa-apa imbuhan.

4. Umat Islam perlu berusaha bersungguh-sungguh dan berdoa untuk meraih syurga kerana itulah harapan tertinggi kehidupan kita.

5. Kita dianjurkan bermuhasabah terhadap amalan seharian kita agar bertepatan dengan Syariat serta tiada unsur riak dan sebagainya yang menyebabkan amalan kita ditolak oleh Allah.

6. Beramallah dengan amalan ahli syurga. Bersifatlah dengan sifat ahli syurga yang terlalu banyak dicontohkan dalam Al-Quran. Sesungguhnya nikmat syurga dibayangkan sentiasa bertambah setiap detik. Inilah perkara yang Allah rahsiakan agar kita tercari-cari dan terkejar-kejar untuk mendapatkannya.

7. Bagi orang beriman, perkara yang perlu diimani sedalamnya ialah ganjaran di akhirat itulah yang lebih utama. Keimanan ini memerlukan mujahadah dan rasa cinta. Ia mesti dipupuk dengan ilmu, amal dan kekuatan dalam menjalani ujian kehidupan.

? Rujukan:
Tafsir Ibnu Kathir
Tafsir Al Azhar
Tafsir Al Munir

Disusun oleh:
Lajnah Dakwah DMPM dengan kerjasama Ameerah dan Lajnah Dakwah DMPK Gombak
8 Mac 2019 / 1 Rejab 1440