Home Tadabbur Al-Quran

Tadabbur Surah As-Sajdah : Siri 10

1521
SHARE

?? Tadabbur Surah As-Sajdah ??
Siri 10

Ayat: 20-21: Posisi orang-orang musyrik dan gambaran azab di akhirat

? Firman Allah serta terjemahannya:

وَأَمَّا الَّذِينَ فَسَقُوا فَمَأْوَاهُمُ النَّارُ ۖ كُلَّمَا أَرَادُوا أَنْ يَخْرُجُوا مِنْهَا أُعِيدُوا فِيهَا وَقِيلَ لَهُمْ ذُوقُوا عَذَابَ النَّارِ الَّذِي كُنْتُمْ بِهِ تُكَذِّبُونَ – ٢٠

Dan adapun orang-orang yang fasiq (kafir), maka tempat kediaman mereka adalah neraka. Setiap kali mereka hendak keluar darinya, mereka dikembalikan semula ke dalamnya dan dikatakan kepada mereka, “Rasakanlah azab neraka yang dahulu kamu dustakan.”

وَلَنُذِيقَنَّهُمْ مِنَ الْعَذَابِ الْأَدْنَىٰ دُونَ الْعَذَابِ الْأَكْبَرِ لَعَلَّهُمْ يَرْجِعُونَ – ٢١

Dan pasti Kami timpakan kepada mereka sebahagian siksa yang dekat (di dunia) sebelum azab yang lebih besar (di akhirat); agar mereka kembali (ke jalan yang benar)

? Tafsir ringkas:

1. Pada ayat ini Allah menjelaskan kedudukan orang-orang fasiq di mana mereka diletakkan di tempat yang sangat buruk yang tersedia di dalamnya siksaan yang amat dahsyat.

2. Mereka digambarkan tersangat menderita kerana azab yang pedih dan berusaha untuk keluar dari gawang kesiksaan itu, namun hanya sia-sia. Mereka tetap juga diheret semula ke dalamnya.

3. Itulah padahnya dan balasan atas kederhakaan mereka kepada Allah SWT. Sedangkan semasa di dunia lagi Allah sudah menimpakan azab kepada orang-orang berdosa di atas dunia, sebagai balasan dosa mereka. Jika mereka bertaubat, Allah akan mengampuni dosa mereka tetapi jika terus membuat dosa, maka Allah akan menyiksa mereka di dunia dan akhirat.

4. Ini jelas menunjukkan bahawa balasan dosa itu bukan di akhirat sahaja, tetapi juga dari di atas dunia.

? Pengajaran:

1. Sentiasa mengambil iktibar bahawa musibah dan bala yang menimpa kita di dunia adalah kerana dosa kita sendiri. Dengan harapan bala itu menjadi kafarah dan penyebab untuk diampuni Allah jika manusia bertaubat dan kembali pada Allah. Ada kala manusia terleka dalam dosa, maka datanglah balasan berupa peringatan dari Allah untuk memohon ampun dari -Nya.

2. Manusia tidak akan mampu melawan kekuasaan Allah terutama apabila balasan datang kepada mereka. Maka sebelum kemurkaan Allah datang, kita perlu sentiasa berfikir tentang buruk baik dari setiap perbuatan yang kita lakukan.

3. Ketika mahu berbuat jahat dan bermaksiat cubalah bayangkan jika api diletakkan di tangan kita. Jika kita tak mampu menahan kepanasannya maka sedarlah bahawa di atas dunia sudah tidak tertanggung, apa lagi bila di akhirat kelak. Manusia yang ingkar akan disiksa berkali-kali tanpa henti.

4. Sementara masih berpeluang untuk bertaubat dan memohon ampun ketika di dunia, bersegeralah kepada ampunan Allah. Allah Maha Baik masih membuka pintu taubat setiap masa untuk hamba-Nya. Jika masih ingkar, akan datang peringatan keras dari Allah untuk menyedarkan. Tetapi jika masih berkeras untuk hanyut di dalam dosa dan maksiat, maka siksa neraka akan menunggu.

5. Ciptakan budaya dan disiplin muhasabah dalam hidup kita agar kita nampak sejauhmana hubungan kita dengan Allah SWT.

6. Wajibkan diri untuk memohon supaya Allah menjauhkan kita dari api neraka setiap kali selesai solat dan membimbing kita untuk kekal dalam ketaatan.

? Rujukan:
Tafsir Quran Karim (Prof Dr Hj Mahmud Yunus)

Disusun oleh:
Lajnah Dakwah DMPM dengan kerjasama Ameerah dan Lajnah Dakwah DMPK Gombak
22 Mac 2019 / 15 Rejab 1440