Home Tadabbur Al-Quran

Tadabbur Surah al Waqiah Siri 8

1328
SHARE

?? Tadabbur Al Quran ??
Surah Al-Waqi’ah: Siri 8

Ayat: 20-21: Makanan Syurga untuk Para Al-Sabiqun.

? Firman Allah serta terjemahannya:

وَفَاكِهَةٍ مِمَّا يَتَخَيَّرُونَ – ٢٠

Dan juga (dibawakan kepada mereka) buah-buahan dari jenis-jenis yang mereka pilih,

وَلَحْمِ طَيْرٍ مِمَّا يَشْتَهُونَ – ٢١

Serta daging burung dari jenis-jenis yang mereka ingini.

? Tafsir ringkas:

1. Setelah dihidangkan minuman yang sedap, maka pada ayat-ayat ini digambarkan pula bahawa para penghuni syurga dari kalangan al-sabiqun akan dihidangkan dengan aneka pilihan makanan yang mereka sukai.

2. Mereka akan dihidangkan buah-buahan mengikut pilihan mereka. Ini menunjukkan bahawa di dalam syurga tersedia lengkap pelbagai jenis buah-buahan dan penghuni syurga boleh memilih mana-mana yang mereka sukai. Buah-buahan di syurga tidak terbatas seperti buah-buahan di dunia yang bergantung kepada tempat, cuaca dan musim.

3. Mereka juga akan dihidangkan daging burung yang mereka ingini. Disebut daging burung kerana ia lebih baik dan lebih enak berbanding daging lain. Diriwayatkan bahawa Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya burung syurga itu besarnya seperti unta; burung-burung itu terbang dengan bebasnya di pohon-pohon syurga.” Lalu Saidina Abu Bakar berkata: “Wahai Rasulullah, sesungguhnya burung-burung itu sungguh lazat.” Rasulullah SAW menjawab: “Memakannya lebih ni’mat lagi (Baginda mengulanginya 3 kali). Dan sesungguhnya aku sangat berharap engkau termasuk orang yang memakannya.”

? Pengajaran

1. Makanan adalah salah satu ni’mat yang utama bagi manusia semasa hidup di dunia. Tetapi keni’matan makanan di dalam syurga jauh lebih sempurna dan lazat. Justeru itu, usahlah kita menghabiskan masa, terutamanya di bulan Ramadhan ini, dengan melayan selera dan nafsu makan. Sebaliknya bersederhanalah dan manfaatkanlah masa yang ada untuk memperbanyakkan amalan soleh yang boleh membantu kita untuk masuk ke syurga Allah yang penuh keni’matan.

2. Makanlah buah-buahan dahulu sebelum mengambil makanan berat yang lain seperti nasi dan lauk-pauk kerana buah-buahan itu baik untuk proses percernaan dan berfungsi sebagai pembuka selera.

3. Jagalah kesihatan tubuh badan kita dengan mengambil diet yang seimbang dalam amalan pemakanan seharian kita. Minumlah air yang mencukupi dan makanlah buah-buahan dan daging secara seimbang agar ia dapat membekalkan zat-zat yang baik untuk tubuh dan kesihatan kita. Kesihatan tubuh badan yang baik akan memudahkan kita mengerjakan pelbagai amalan kebaikan.

? Rujukan:
Tafsir Ibn Kathir
Tafsir Al Munir
Tafsir Al Azhar

Disusun oleh:
Lajnah Dakwah DMPM dengan kerjasama Ameerah dan Lajnah Dakwah DMPK Gombak.
13 Mei 2019 / 8 Ramadhan 1440