Home Tadabbur Al-Quran

Tadabbur Surah Al-Waqi’ah : Siri 18

2258
SHARE

?? Tadabbur Al Quran ??
Surah Al-Waqi’ah : Siri 18

Ayat: 60-62 : ALLAH Berkuasa Mencipta Kehidupan dan Kematian Silih Berganti

? Firman Allah serta terjemahannya:

نَحْنُ قَدَّرْنَا بَيْنَكُمُ الْمَوْتَ وَمَا نَحْنُ بِمَسْبُوقِينَ – ٦٠

Kami lah yang menentukan kematian untuk kamu, tidak lah Kami dapat dikalahkan

عَلَىٰ أَنْ نُبَدِّلَ أَمْثَالَكُمْ وَنُنْشِئَكُمْ فِي مَا لَا تَعْلَمُونَ – ٦١

Untuk menukar rupa kamu dan akan menciptakan kamu dalam hal yang tidak kamu ketahui

وَلَقَدْ عَلِمْتُمُ النَّشْأَةَ الْأُولَىٰ فَلَوْلَا تَذَكَّرُونَ – ٦٢

Dan sesungguhnya telah kamu ketahui kejadian pertama. Tidakkah kamu ingat itu?

? Tafsir ringkas:

1. Sebagaimana Allah yang menentukan penciptaan dan kelahiran manusia maka kematian manusia juga Allah yang tentukan. Maka pada ayat-ayat ini Allah SWT menegaskan bahawa setiap yang bernyawa pasti akan merasai mati. Ketetapan matinya seseorang itu sudah tertulis sedari awal penciptaan manusia.
Malah Allah SWT tidak akan dilemahkan oleh sesiapapun dalam urusanNya mencabut nyawa manusia. Tidak ada sesiapa yang dapat menghalang Allah. Kalau Allah menghendaki untuk menghidupkan seseorang, dia pasti hidup; kalau Allah hendak matikan seseorang, dia tetap mati walaupun satu dunia menahannya daripada mati. Tidak ada yang diawalkan atau dilambatkan kematian seseorang daripada masa yang ditentukan oleh Allah SWT.

2. Allah juga menegaskan kepada golongan yang ingkar akan hakikat ini bahawa Dia tidak lemah untuk menciptakan makhluk pengganti manusia ini atau yang serupanya dengannya. Bahkan Allah SWT juga mampu menciptakan makhluk yang lebih baik dari manusia ini. Dia juga berkuasa untuk menjadikan mereka dengan rupa yang buruk, yang bahkan mereka sendiri tidak mampu menggambarkan keburukannya. Sungguh, indah atau buruknya keadaan diri seorang hamba saat dibangkitkan itu adalah diluar pengetahuan manusia. Hanya Allah sahaja yang Maha Mengetahui.

3. Seterusnya Allah SWT mencela mereka kerana tidak menggunakan akal-akal mereka. Sedangkan ALLAH telah memberikan pengetahuan tentang kejadian pertama manusia, sebagaimana terciptanya seorang manusia bermula daripada air mani seorang lelaki dan seorang perempuan. Daripada situ, terjadi perubahan-perubahan diri seorang manusia. Dari nutffah, kepada ‘alaqah dan mudhghah. Seterusnya menjadi bayi yang lemah, membesar menjadi kanak-kanak, seterusnya dewasa, sehingga ke peringkat lemah kembali iaitu tua. Dengan itu, Allah bertanyakan pada manusia, mengapa tidak kita mengambil pengajaran akan hal itu? Seterusnya beriman akan penciptaan yang kedua saat Hari Kebangkitan nanti?

? Pengajaran

1. Kematian itu satu kepastian.
Lahir sahaja kita ke dunia, maka telah tertulis sama akan takdir seorang hamba. Sebanyak mana rezekinya, sepanjang mana hayatnya, dan ini termasuk saat bila dia akan dimatikan. Tiada daya kita seorang hamba yang bernafaskan nikmat udara Allah ini, untuk ‘tawar menawar’ soal mati. Saat tertulis si fulan akan mati pada hari sekian dan sekian, tidak akan ada sebarang doktor mampu merawat ‘penyakit’ mati ini. Lantaran itu, kita harus sedar diri. Bahawasanya kita adalah manusia lemah walau setinggi mana pun pangkat di dunia dan hanya kepada ALLAH Maha Berkuasa, kita kembali.

2. Kehidupan selepas kematian juga adalah pasti. Oleh kerana itu, tidak mustahil bagi Allah SWT untuk mencipta manusia buat kali ke-2 yakni selepas kematian. Lantaran itu, kehidupan selepas mati itu juga adalah pasti. Mohonlah kepada Allah kematian yang baik iaitu husnul khatimah. Ia merupakan detik awal yang menentukan baik buruknya kehidupan kedua kita di akhirat.

3. Tegasnya Allah memberi khabar kepada manusia akan kekuasaan-NYA memberikan kehidupan dan menetapkan kematian kepada manusia, adalah merupakan peringatan buat kita untuk beramal soleh. Di saat jasad dibangkitkan kembali, maka bermulalah episode pembalasan untuk setiap amal yang telah kita kerjakan saat di dunia. Beruntung lah mereka yang saat di dunia, mengambil pengajaran setiap kalimat dalam al-Quran, meramal dengannya, dan melaksanakan perintah-Nya. Dan alangkah celaka lah mereka yang saat di dunia, sombong dengan peringatan Allah lalu ingkar dengan perintah-NYA.

? Rujukan:
Tafsir Ibnu Kathir
Tafsir al-Azhar, Prof. Dr. Hj. Abdul Karim Amrullah (HAMKA)

Disusun oleh:
Lajnah Dakwah DMPM dengan kerjasama Ameerah dan Lajnah Dakwah DMPK Gombak.
23 Mei 2019 / 18 Ramadhan 1440