Home Tadabbur Al-Quran

Tadabbur Surah Al-Anfal: Siri 5

608
SHARE

??Tadabbur Al Quran ??
Surah Al-Anfal: Siri 5

Ayat: 12-14 : Pertolongan Allah dalam Perang Badar – Meneguhkan Hati Tentera Islam dan Menggoyahkan Hati Tentera Musyrikin

? Firman Allah serta terjemahannya:

إِذۡ يُوحِي رَبُّكَ إِلَى ٱلۡمَلَٰٓئِكَةِ أَنِّي مَعَكُمۡ فَثَبِّتُواْ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْۚ سَأُلۡقِي فِي قُلُوبِ ٱلَّذِينَ كَفَرُواْ ٱلرُّعۡبَ فَٱضۡرِبُواْ فَوۡقَ ٱلۡأَعۡنَاقِ وَٱضۡرِبُواْ مِنۡهُمۡ كُلَّ بَنَانٖ (١٢)

(Ingatlah) ketika Tuhanmu wahyukan kepada malaikat: “Sesungguhnya Aku menyertai kamu (memberi pertolongan), maka tetapkanlah (hati) orang-orang yang beriman. Aku akan mengisi hati orang-orang yang kafir dengan perasaan gerun; oleh itu, pancunglah leher mereka (musuh) dan potonglah tiap-tiap anggota mereka”

ذٰلِكَ بِأَنَّهُم شاقُّوا اللَّهَ وَرَسولَهُ ۚ وَمَن يُشاقِقِ اللَّهَ وَرَسولَهُ فَإِنَّ اللَّهَ شَديدُ العِقابِ (١٣)

(Perintah) yang demikian ialah kerana sesungguhnya mereka menentang Allah dan RasulNya; dan sesiapa yang menentang Allah dan RasulNya, maka sesungguhnya Allah Maha berat azab seksaNya.

ذٰلِكُم فَذوقوهُ وَأَنَّ لِلكافِرينَ عَذابَ النّارِ (١٤)

Itulah (azab dunia) maka rasalah dia (hai orang-orang kafir). Sesungguhnya orang-orang yang kafir disediakan baginya azab neraka (di akhirat).

? Tafsir ringkas:

1. Setelah memperkenankan permohonan Rasulullah SAW dan menghantar pertolongan-Nya kepada tentera Islam, dalam ayat 12 ini Allah SWT menerangkan lagi nikmat tersembunyi yang dianugerahkan kepada mereka.

2. Allah SWT memerintahkan malaikat agar menyampaikan kepada orang-orang beriman bahawa Allah bersama-sama mereka dan menetapkan hati tentera-tentera Islam dengan keberanian untuk berperang dan terus yakin terhadap pertolongan-Nya. Dalam masa yang sama, Allah SWT menjatuhkan semangat tentera musyrikin dengan menimbulkan perasaan takut dan gerun dalam hati mereka. Dengan semangat perjuangan yang tinggi, bantuan daripada malaikat dan keyakinan bahawa Allah bersama-sama mereka, maka tentera Islam diperintahkan agar tangkas melawan tentera musuh sama ada membunuh mereka dengan memancung leher atau memotong tangan mereka agar mereka tidak mampu melawan lagi.

3. Allah SWT menegaskan bahawa orang-orang kafir itu perlu diperangi dan dibunuh adalah kerana mereka telah memusuhi dan memerangi Allah dan Rasul-Nya. Golongan yang melanggar perintah Allah dan RasulNya akan mendapat siksaan yang sangat berat. Penegasan ini dinyatakan lagi dalam ayat 14, bahawa orang-orang kafir merasai siksaan yang pedih itu dengan kekalahan dalam peperangan semasa di dunia dan mendapat azab neraka di akhirat kelak.

? Pengajaran

1. Mohonlah doa kepada Allah SWT agar diberikan ketetapan hati, keyakinan dan keberanian dalam melakukan sesuatu perkara agar beroleh kejayaan dan kemenangan.

2. Usahlah takut dan gerun kepada musuh-musuh Allah SWT kerana kekuatan mereka hanyalah pada luaran sahaja sedangkan dalaman mereka sebenarnya goyah kerana Allah SWT tidak bersama dengan perjuangan mereka.

3. Islam sebagai agama yang rahmah, bukan bermaksud berlemah lembut sentiasa kepada musuh-musuh Islam. Apabila mereka menunjukkan penentangan yang jelas terhadap Islam, maka ia perlu ditangani dengan tegas sebagaimana tindakan yang mereka lakukan. Itulah hikmah atau kebijaksanaan dalam Islam.

4. Perbetulkan niat kita apabila berjihad melawan musuh dan kenalpasti musuh yang sebenar. Kita melawan mereka bukan kerana dendam atau kepuasan peribadi. Sebaliknya, kita melawan mereka semata-mata kerana menunaikan perintah Allah SWT agar memerangi golongan yang memusuhi Allah dan Rasul-Nya.

? Rujukan:
1. Tafsir Ibnu Katsir
2. Tafsir Al Azhar
3. Tafsir Al Munir

Disusun oleh:
Lajnah Dakwah DMPM dengan kerjasama Ameerah dan Lajnah Dakwah DMPK Gombak.
17 April 2021 / 5 Ramadhan 1442