Home Tadabbur Al-Quran

Tadabbur Surah Al-Anfal: Siri 3

334
SHARE

?? Tadabbur Al Quran ??
Surah Al-Anfal: Siri 3

Ayat: 5-8: Gambaran Perasaan Sebahagian Tentera Islam Sebelum ke Medan Perang

?Firman Allah serta terjemahannya:

كَمَآ أَخۡرَجَكَ رَبُّكَ مِنۢ بَيۡتِكَ بِٱلۡحَقِّ وَإِنَّ فَرِيقٗا مِّنَ ٱلۡمُؤۡمِنِينَ لَكَٰرِهُونَ (٥)

Sebagaimana (harta rampasan perang ditentukan pembahagiannya dengan kebenaran, maka) Tuhanmu (wahai Muhammad) mengeluarkanmu dari rumahmu (untuk pergi berperang) dengan kebenaran juga, sedang sebahagian daripada orang-orang yang beriman itu (sebenarnya) tidak suka (turut berjuang).

يُجَٰدِلُونَكَ فِي ٱلۡحَقِّ بَعۡدَ مَا تَبَيَّنَ كَأَنَّمَا يُسَاقُونَ إِلَى ٱلۡمَوۡتِ وَهُمۡ يَنظُرُونَ (٦)

Mereka membantahmu tentang kebenaran (berjihad) setelah nyata (kepada mereka kemenangan yang engkau janjikan), seolah-olah mereka dihalau kepada kematian, sedang mereka melihat (sebab-sebabnya).

وَإِذۡ يَعِدُكُمُ ٱللَّهُ إِحۡدَى ٱلطَّآئِفَتَيۡنِ أَنَّهَا لَكُمۡ وَتَوَدُّونَ أَنَّ غَيۡرَ ذَاتِ ٱلشَّوۡكَةِ تَكُونُ لَكُمۡ وَيُرِيدُ ٱللَّهُ أَن يُحِقَّ ٱلۡحَقَّ بِكَلِمَٰتِهِۦ وَيَقۡطَعَ دَابِرَ ٱلۡكَٰفِرِينَ (٧)

Dan (ingatlah) ketika Allah menjanjikan kepada kamu salah satu daripada dua angkatan, menjadi untuk kamu (menghadapinya), sedang kamu suka kiranya (angkatan perniagaan) bukan angkatan (perang) yang mempunyai kekuatan itu yang dijadikan untuk kamu (menghadapinya). Padahal Allah menghendaki untuk menetapkan yang benar (agama Islam) dengan kalimah-kalimahNya, dan untuk membinasakan kaum yang kafir seluruhnya;

لِيُحِقَّ ٱلۡحَقَّ وَيُبۡطِلَ ٱلۡبَٰطِلَ وَلَوۡ كَرِهَ ٱلۡمُجۡرِمُونَ (٨)

Supaya Allah menegakkan yang benar itu dan menghapuskan yang salah (kufur dan syirik), sekalipun golongan (kafir musyrik) yang berdosa itu tidak menyukainya.

? Tafsir ringkas:

1. Allah SWT telah memberi jalan keluar yang terbaik ketika kaum mukminin berselisih pendapat berkaitan pembahagian harta rampasan perang dengan memberikan hak pembahagiannya kepada Allah dan Rasul, kemudian dibahagikan selebihnya secara adil dan sama rata.

2. Bantahan mereka tentang harta rampasan perang ini sama sepertimana mereka membantah untuk berhadapan dengan kafilah pedagang Quraisy yang pulang dari Syam sebelum tercetusnya peperangan Badar. Sebahagian daripada mereka berasa berat untuk menerima perintah Rasulullah SAW tersebut.

3. Kemudian Allah SWT mendatangkan sesuatu yang lebih besar daripada perkara yang tidak disukai oleh sebahagian orang beriman itu, iaitu pertempuran bersenjata antara kumpulan yang membela agama Allah SWT dan kumpulan yang ingin menyelamatkan kafilah dagang mereka.

4. Nabi SAW menyampaikan berita bahawa Allah SWT telah menjanjikan kemenangan atas salah satu kumpulan, iaitu antara kumpulan kafilah pedagang atau kumpulan musyrikin yang bersenjata. Setelah bermesyuarat, baginda SAW memutuskan untuk memerangi pasukan bersenjata namun keputusan itu tidak disenangi oleh sebahagian daripada mereka. Hal ini berlaku demikian kerana mereka berasa keputusan tersebut seolah-olah sengaja menempah kematian.

5. Mereka tidak menyukainya sedangkan Allah SWT lebih mengetahui hakikat sesuatu kejadian yang berlaku, seperti firman-Nya dalam Surah al-Baqarah, 2:216:

كُتِبَ عَلَيۡكُمُ ٱلۡقِتَالُ وَهُوَ كُرۡهٞ لَّكُمۡۖ وَعَسَىٰٓ أَن تَكۡرَهُواْ شَيۡـٔٗا وَهُوَ خَيۡرٞ لَّكُمۡۖ وَعَسَىٰٓ أَن تُحِبُّواْ شَيۡـٔٗا وَهُوَ شَرّٞ لَّكُمۡۚ وَٱللَّهُ يَعۡلَمُ وَأَنتُمۡ لَا تَعۡلَمُونَ

“Kamu diwajibkan berperang (untuk menentang pencerobohan) sedang peperangan itu ialah perkara yang kamu benci; dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya.”

6. Hikmahnya ialah Allah SWT ingin menunjukkan sesuatu yang lebih besar iaitu menzahirkan kebenaran Islam dan mengangkat darjat orang beriman serta agama-Nya. Dia berkuasa menaikkan izzah Islam dengan memberi kemenangan kepada kumpulan mukmin meskipun jumlah kumpulan musyrikin jauh lebih ramai dan dilengkapi dengan senjata.

? Pengajaran:

1. Sentiasalah kembali kepada Allah SWT dan bertawakkal dengan setiap perancangan dan keputusan yang telah dibuat. Kita selaku hamba perlu berusaha sebaik mungkin, manakala natijahnya hendaklah diserahkan kepada Allah SWT kerana Dia-lah sebaik-baik perancang.

2. Hendaklah sentiasa mengamalkan adab yang tinggi ketika bermesyuarat, sama ada ketika menerima atau membantah sesuatu cadangan.

3. Berusahalah untuk melaksanakan segala perintah Allah SWT dengan ikhlas dan lapang dada meskipun terpaksa mengorbankan diri dan harta. Pasti ada ganjaran yang telah disediakan oleh-Nya di akhirat kelak. Sesungguhnya Allah SWT benar-benar tidak memungkiri janji.

4. Sebagai seorang jundullah (tentara Allah), kita mestilah beristiqamah dan bersabar memperjuangkan dan menyebarkan Islam sebagai syariat yang benar walaupun perjuangan tersebut sangat susah, lama dan tidak disukai oleh orang lain.

? Rujukan:
Tafsir Ibnu Katsir
Tafsir Jalalain

Disusun oleh:
Lajnah Dakwah DMPM dengan kerjasama Ameerah dan Lajnah Dakwah DMPK Gombak.
15 April 2021 / 3 Ramadhan 1442