??Tadabbur Al Quran??
Surah Al Anfal: Siri 24
Ayat : 61-63 : Perintah Kepada Mukmin Jika Musuh Ingin Berdamai
? Firman Allah serta terjemahannya:
۞وَإِن جَنَحُواْ لِلسَّلۡمِ فَٱجۡنَحۡ لَهَا وَتَوَكَّلۡ عَلَى ٱللَّهِۚ إِنَّهُۥ هُوَ ٱلسَّمِيعُ ٱلۡعَلِيمُ (٦١)
Dan jika mereka cenderung kepada perdamaian, maka hendaklah engkau cenderungi pula kepadanya. Dan bertawakkallah kepada Allah, sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.
وَإِن يُرِيدُوٓاْ أَن يَخۡدَعُوكَ فَإِنَّ حَسۡبَكَ ٱللَّهُۚ هُوَ ٱلَّذِيٓ أَيَّدَكَ بِنَصۡرِهِۦ وَبِٱلۡمُؤۡمِنِينَ (٦٢)
Dan jika mereka hendak memperdayakan engkau, maka sesungguhnya cukuplah bagi engkau Allah. Dialah yang akan meneguhkan engkau dengan pertolongan-Nya dan dengan orang-orang yang beriman.
وَأَلَّفَ بَيۡنَ قُلُوبِهِمۡۚ لَوۡ أَنفَقۡتَ مَا فِي ٱلۡأَرۡضِ جَمِيعٗا مَّآ أَلَّفۡتَ بَيۡنَ قُلُوبِهِمۡ وَلَٰكِنَّ ٱللَّهَ أَلَّفَ بَيۡنَهُمۡۚ إِنَّهُۥ عَزِيزٌ حَكِيمٞ (٦٣)
Dan Dia telah mempersatukan di antara hati kamu. Kalau engkau belanjakan apa yang ada pada bumi semua, tidaklah engkau dapat mempersatukan di antara hati mereka. Akan tetapi, Allahlah yang telah mempersatukan di antara mereka. Sesungguhnya Dia adalah Maha Gagah, lagi Bijaksana.
? Tafsir ringkas:
1. Selepas menyatakan tentang perintah tentang persediaan dengan segala kekuatan, Allah SWT memberikan panduan kepada orang beriman sekiranya musuh ingin berdamai.
2. Jika musuh cenderung kepada perdamaian, tentera muslimin hendaklah menerima dan menempuh jalan damai itu dengan kewaspadaan yang tinggi. Jalan-jalan menuju damai itu hendaklah dilapangkan, iaitu damai yang tidak akan merugikan atau menjatuhkan maruah Islam. Kemudian bertawakkallah kepada Allah SWT Yang Maha Mengetahui segala yang telah lalu dan yang akan datang.
3. Allah SWT juga meneguhkan keyakinan buat orang beriman bahawa jika musuh ingin mengkhianati perjanjian atau sengaja memperdayakan mereka, sesungguhnya Allah SWT sentiasa ada dan pasti Dia akan mentakdirkan suatu ketetapan dan pertolongan yang terbaik buat umat Islam. Allahlah yang akan menjadi jaminan dan pertolongan kepada tentera muslimin.
4. Allah SWT telah menyatukan hati kaum Ansar dan Muhajirin, kerana sebelumnya kaum Ansar adalah satu kaum yang berbangga-bangga dengan kabilah mereka pada zaman jahiliah dan hanya mementingkan Khazraj dan Ausnya sahaja. Kedatangan Islamlah yang mempersatukan mereka menjadi bulat, serta bersatu dalam iktikad dan kepercayaan, iman dan islam, dan bukannya bersatu atas dasar bangsa dan habuan dunia.
?Pengajaran:
1. Terimalah perdamaian jika pihak musuh memohon sedemikian. Islam sukakan perdamaian berbanding peperangan kerana perdamaian menyelamatkan darah manusia tumpah ke bumi. Namun, pihak Muslimin yang menyambut perdamaian daripada musuh Allah, hendaklah memiliki strategi tersendiri dan waspada yang tinggi agar tidak terpedaya oleh musuh.
2. Kita hendaklah sentiasa yakin bahawa Allah SWT sentiasa menghulurkan pertolongan kepada orang-orang yang beriman. Berusahalah dengan bersungguh-sungguh dan bertawakkallah kepada-Nya setelah usaha itu dilakukan.
3. Binalah ukhwah sesama muslim atas dasar tautan aqidah Islam kerana asas aqidah yang jelas itu akan memberi impak yang sangat besar dalam perpaduan ummah. Ukhwah yang berlandaskan harta tidak akan kekal dan mudah musnah. Namun ukhwah kerana Allah SWT memberi jaminan untuk terus bersatu dalam menegakkan agamaNya.
? Rujukan:
1. Tafsir Al Azhar
2. Tafsir fi zilalil Quran
Disusun oleh:
Lajnah Dakwah DMPM dengan kerjasama Ameerah dan Lajnah Dakwah DMPK Gombak
6 Mei 2021 / 24 Ramadhan 1442H