Home Tadabbur Al-Quran

Tadabbur Surah Al-Anfal: Siri 23

3923
SHARE

?? Tadabbur Al Quran ??
Surah Al-Anfal: Siri 23

Ayat: 60: Bersiap Sedia Dengan Segala Kekuatan Untuk Menggerunkan Musuh Allah

? Firman Allah serta terjemahannya:

وَأَعِدُّوا لَهُم مَّا اسْتَطَعْتُم مِّن قُوَّةٍ وَمِن رِّبَاطِ الْخَيْلِ تُرْهِبُونَ بِهِ عَدُوَّ اللَّهِ وَعَدُوَّكُمْ وَآخَرِينَ مِن دُونِهِمْ لَا تَعْلَمُونَهُمُ اللَّهُ يَعْلَمُهُمْ وَمَا تُنفِقُوا مِن شَيْءٍ فِي سَبِيلِ اللَّهِ يُوَفَّ إِلَيْكُمْ وَأَنتُمْ لَا تُظْلَمُونَ (٦٠)

Dan bersiap sedialah untuk menentang mereka (musuh) dengan segala keupayaan kamu dari kekuatan dan juga kuda-kuda tambatan (supaya) dengan persediaan itu, kamu menggerunkan musuh Allah dan musuh kamu serta musuh yang lain daripada mereka, yang tidak kamu ketahui, sedang Allah mengetahuinya. Dan apa jua yang kamu belanjakan pada jalan Allah akan disempurnakan balasannya kepada kamu dan kamu tidak akan dianiaya.

? Tafsir ringkas:

1. Setelah memberikan panduan tentang menghadapi orang kafir yang melanggar perjanjian, Allah SWT memerintahkan supaya orang beriman membuat persediaan dalam menghadapi musuh dengan segala kekuatan yang dimiliki. Persiapan itu adalah perintah wajib daripada Allah SWT.

2.”Quwwah” dalam ayat ini disebut dengan lafaz “an nakirah”, bererti sebarang kekuatan yang dapat disediakan. Perkataan “ribath” pula disebut dengan “sighah masdar”, ia bermaksud kekuatan itu juga termasuk kuda yang telah disiapkan untuk dipacu ke medan perang.

3. Imam Muslim, Abu Daud dan yang lainnya meriwayatkan hadits dari Uqbah bin Amir bahawa Nabi SAW pernah berkhutbah lalu membaca surah Al-Anfal: 60, kemudian baginda bersabda :

أَلاَ إِنَّ القُوَّةَ الرَّمْيُ ، أَلاَ إِنَّ القُوَّةَ الرَّمْيُ ، أَلاَ إِنَّ القُوَّةَ الرَّمْيُ

Ketahuilah, bahawa sesungguhnya kekuatan itu adalah pemanah, Ketahuilah, bahawa sesungguhnya kekuatan itu adalah pemanah, Ketahuilah, bahawa sesungguhnya kekuatan itu adalah pemanah.

4. Persiapan dan persediaan kekuatan itu adalah untuk menggerunkan musuh Allah SWT juga musuh umat Islam yang nyata, terdiri daripada golongan musyrikin dan munafik.

5. Perbelanjaan yang dilaburkan untuk mempersiapkan sebuah pasukan yang kuat adalah satu pengorbanan yang akan disempurnakan ganjarannya oleh Allah SWT.

? Pengajaran:

1. Kita mesti memahami Feqh Al Isti’dad (Feqah Persiapan) bagi menyediakan sebuah pergerakan atau perjuangan yang kuat dan berkesan untuk menegakkan agama Allah SWT.

2. Umat Islam seharusnya mengembeling kekuatan yang terdiri dari kekuatan ruhiyyah, kekuatan jasadiah, kekuatan maaliah (harta), kekuatan persenjataan dan selainnya.

3. Bersedialah dengan kekuatan yang sesuai dengan zaman dan keadaan semasa kerana hal yang demikian mampu menggerunkan musuh-musuh Allah SWT termasuk musuh yang tersembunyi.

4. Jangan cuak dan bosan untuk terus berkorban dan membelanjakan harta di jalan Allah SWT. Segalanya dijanjikan ganjaran setimpal oleh-Nya yang akan disempurnakan di akhirat kelak. Setiap satu sen yang dibelanjakan, dijanjikan pahala oleh Allah SWT.

? Rujukan:
Tafsir Ibn Kathir
Tafsir Jalalain
Tafsir Quraish Shihab
Tafsir al-Munir

Disusun oleh:
Lajnah Dakwah DMPM dengan kerjasama Ameerah dan Lajnah Dakwah DMPK Gombak
5 Mei 2021 / 23 Ramadhan 1442