?? Tadabbur Al Quran ??
Surah Al-Anfal: Siri 1
Pengenalan Surah Al-Anfal:
Surah al-Anfal ini adalah surah ke 8 mengikut tertib susunan dalam mashaf, didahului oleh surah al-Fatihah dan 6 surah panjang. Surah ini termasuk dalam kategori surah Madaniyyah, iaitu diturunkan selepas Rasulullah SAW berhijrah ke Madinah.
Al-Anfal bermaksud ghanimah atau harta rampasan yang diperolehi daripada peperangan. Surah ini dinamakan al-Anfal berdasarkan beberapa ayat yang merujuk tentang persoalan harta rampasan perang khususnya ayat pertama. Riwayat-riwayat berkaitan sebab nuzul juga menunjukkan bahawa ayat 1 hingga 5 surah ini diturunkan kerana berlakunya pertikaian dan perbezaan pandangan antara para sahabat tentang pembahagian harta rampasan perang ini.
Perbincangan utama surah ini adalah tentang peristiwa-peristiwa yang berlaku sebelum, semasa dan selepas berakhirnya Perang Badar. Paparan-paparan peristiwa ini merangkumi situasi-situasi yang zahir berlaku, di samping hikmah ilahiyyah di sebalik peristiwa tersebut yang menunjukkan pertolongan Allah SWT adalah sangat dekat dan jelas kepada Rasulullah SAW dan para tentera Islam dalam peristiwa besar ini.
Selain itu, surah ini turut menyingkap kekuasaan Allah SWT yang ditunjukkan dalam perang Badar ini, serta panduan-panduan dalam peperangan yang perlu diikuti oleh tentera Islam agar mereka mendapat pertolongan Allah SWT dan mendapat kemenangan dan kejayaan mengatasi tentera kuffar.
Ayat 1: Hak Allah dan Rasul dalam Penetapan Hukum Pembahagian Harta Rampasan Perang
? Firman Allah serta terjemahannya:
یَسۡـَٔلُونَكَ عَنِ ٱلۡأَنفَالِۖ قُلِ ٱلۡأَنفَالُ لِلَّهِ وَٱلرَّسُولِۖ فَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ وَأَصۡلِحُوا۟ ذَاتَ بَیۡنِكُمۡۖ وَأَطِیعُوا۟ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُۥۤ إِن كُنتُم مُّؤۡمِنِینَ (١)
Mereka bertanya kepada engkau perihal rampasan perang. Katakanlah, “Rampasan perang adalah untuk Allah dan Rasul-Nya. Maka bertakwalah kepada Allah dan perbaiki keadaan antara kamu dan taatlah kepada Allah serta Rasul-Nya jika benar kamu orang yang beriman.”
? Tafsir ringkas:
1. Ayat pertama surah Al-Anfal ini turun usai selesai peperangan Badar, yang dimenangi oleh kaum Muslimin yang terdiri daripada golongan Muhajirin dan Ansar.
2. Ayat ini menceritakan persoalan dan perbezaan pendapat dalam kalangan para sahabat Rasulullah SAW perihal status harta rampasan perang Badar. Lantaran itu, Allah SWT menurunkan ayat, “Katakanlah rampasan perang adalah bagi Allah dan Rasul-Nya.” Jawapan ini menyelesaikan pertanyaan dan pertelingkahan mereka dengan ketetapan bahawa urusan pembahagian harta rampasan diserahkan kepada pertimbangan Allah SWT dan Rasul.
3. Menurut riwayat Ibnu Hibban daripada Ubadah bin Somit menyatakan, “ayat ini turun untuk kami yang turut serta berperang di Badar. Kerana kami berselisih pendapat tentang harta rampasan perang, yang menyebabkan akhlak kami menjadi buruk. Oleh itu, Allah SWT mencabut harta ini daripada tangan kami dan menyerahkannya kepada Rasulullah SAW, lalu baginda membahagi harta itu antara sesama Muslim.”
4. Keadaan ini bukan bermakna yang para sahabat bernafsu untuk merebut harta rampasan tersebut, tetapi sifat semula jadi manusia yang ingin tahu tentang sesuatu.
? Pengajaran:
1. Apabila berhadapan dengan situasi yang memerlukan penentuan hukum, kita mestilah merujuk kepada pihak yang berautoriti untuk menentukan hukum berdasarkan rujukan utama iaitu Al-Quran dan Sunnah serta sumber-sumber hukum yang lain.
2. Kita mesti beriman dan yakin bahawa Allah Maha Adil dan tahu apa yang terbaik untuk hamba-Nya. Allah SWT memberikan sesuatu sesuai dengan keperluan kita.
3. Kita juga mesti beriman dengan Rasul dengan mematuhi dan melaksanakan syariat yang disampaikan oleh Rasulullah SAW dengan penuh keyakinan bahawa Islam adalah sistem yang lengkap dan terbaik yang menjamin kesejahteraan hidup manusia.
4. Setiap Muslim perlu sentiasa menyucikan hati dan memperbaharui niat dalam setiap perbuatan kebaikan supaya tidak terpesong daripada niat asal.
5. Kita perlu bersyukur atas nikmat rezeki yang Allah SWT kurniakan kepada kita dan tidak berasa tamak dengan harta dunia.
? Rujukan:
1. Tafsir Al-Azhar
2. Tafsir Ibnu Katsir
Disusun oleh:
Lajnah Dakwah DMPM dengan kerjasama Ameerah dan Lajnah Dakwah DMPK Gombak
13 April 2021 / 1 Ramadhan1442
#baca&sebar
#siritadabbursurahalanfal