Home Tadabbur Al-Quran

Tadabbur Ramadhan Siri 12 /1439H: Penipuan Dalam Perniagaan

1918
SHARE

*??Tadabbur Ramadhan??*
_Siri 12 /1439H_

*Surah Hud : Ayat 84-86: Penipuan dalam Perniagaan*

? *Firman Allah serta terjemahannya:*

وَإِلَىٰ مَدْيَنَ أَخَاهُمْ شُعَيْبًا ۚ قَالَ يَٰقَوْمِ ٱعْبُدُوا۟ ٱللَّهَ مَا لَكُم مِّنْ إِلَٰهٍ غَيْرُهُۥ ۖ وَلَا تَنقُصُوا۟ ٱلْمِكْيَالَ وَٱلْمِيزَانَ ۚ إِنِّىٓ أَرَىٰكُم بِخَيْرٍ وَإِنِّىٓ أَخَافُ عَلَيْكُمْ عَذَابَ يَوْمٍ مُّحِيطٍ (٨٤)

_Dan kepada penduduk “Madyan” Kami utuskan saudara mereka: Nabi Syu’aib. Ia berkata: “Wahai kaumku! Sembahlah kamu akan Allah! (Sebenarnya) tiada Tuhan bagi kamu selain daripadaNya. Dan janganlah kamu mengurangi sukatan dan timbangan. Sesungguhnya aku melihat kamu berada dalam kemewahan; dan sesungguhnya aku bimbang, kamu akan ditimpa azab hari yang meliputi (orang-orang yang bersalah)._

وَيَا قَوْمِ أَوْفُوا الْمِكْيَالَ وَالْمِيزَانَ بِالْقِسْطِ وَلا تَبْخَسُوا النَّاسَ أَشْيَاءَهُمْ وَلا تَعْثَوْا فِي الأرْضِ مُفْسِدِينَ (٨٥)

_Dan wahai kaumku! Sempurnakanlah sukatan dan timbangan dengan adil dan janganlah kamu kurangkan manusia akan benda-benda yang menjadi haknya, dan janganlah kamu merebakkan bencana kerosakan di muka bumi._

بَقِيَّةُ اللَّهِ خَيْرٌ لَكُمْ إِنْ كُنْتُمْ مُؤْمِنِينَ وَمَا أَنَا عَلَيْكُمْ بِحَفِيظٍ (٨٦)

_Limpah kurnia Allah kepada kamu lebih baik bagi kamu (daripada yang kamu ambil secara haram itu), jika betul kamu orang-orang yang beriman. Dan aku bukanlah orang yang menjaga dan mengawas perbuatan kamu”._

? *Tafsir ringkas:*

1. Allah SWT telah mengutus nabi Syu’aib kepada kaum Madyan. Pada ayat ini dibentangkan dialog antara Nabi Syu’aib as dengan kaumnya itu yang berkisar tentang dakwah Nabi Syu’aib AS yang mengajak kaumnya beriman kepada Allah dan memberi peringatan agar tidak mengurangi timbangan sedangkan kaum Madyan sudah hidup dalam keadaan senang (kaya) serta baginda bimbang jika Allah SWT menimpakan azab ke atas kaumnya.

2. Dalam ayat seterusnya, sekali lagi Nabi Syu’aib AS menyeru kaumnya agar menyempurnakan timbangan dalam urusan jual beli dengan adil dan tidak mengurangi hak-hak mereka, serta tidak melakukan kejahatan di muka bumi dengan berbuat kerosakan.

3. Nabi Syu’aib AS menerangkan kepada kaumnya bahawa lebihan keuntungan dari Allah (rezeki) yang masih berbaki sesudah mencukupkan timbangan adalah lebih baik daripada perbuatan mengurangi timbangan. Nabi Syu’aib AS bukanlah seorang pengawas yang membalas amal perbuatan kaumnya akan tetapi sebagai pembawa peringatan.

? *Pengajaran*

1. Dalam perniagaan, kita mestilah bersikap adil dan saksama dalam setiap urusannya walaupun sekecil-kecil perkara. Elakkan daripada bersikap tidak jujur seperti mengurangkan sukatan dalam urusan jual beli.

2. Seorang peniaga yang benar-benar beriman kepada Allah SWT akan menjaga batas syari’at Islam dalam perniagaan serta takut kepada azabNya.

3. Allah memberi balasan sesuai dengan amalan. Oleh itu, sesiapa yang mengurangi harta orang lain, dengan maksud agar hartanya bertambah, maka ia akan dibalas dengan yang serupa dengan dicabutnya kebaikan atau keberkatan pada rezeki tersebut.

4. Seorang hamba seharusnya _qana’ah_ (menerima seadanya) pemberian Allah, mencukupkan diri dengan yang halal dan melakukan usaha yang halal, dan hal tersebut lebih baik baginya, kerana yang demikian akan diberikan berkat dan tambahan rezeki. Selalulah berdoa kepada Allah SWT agar diberi kecukupan dengan rezeki yang halal:

اللَّهُمَّ اكْفِنِي بِحَلَالِكَ عَنْ حَرَامِكَ، وَأَغْنِنِي بِفَضْلِكَ عَمَّنْ سِوَاكَ
_”Ya Allah, cukupkan aku dengan rezeki-Mu yang halal hingga aku terhindar dari yang Engkau haramkan, Ya Allah kayakanlah aku dengan kurnia-Mu hingga aku tidak minta kepada selain Engkau.”_

5. Unsur-unsur penipuan dalam perniagaan merupakan dosa yang nanti akan dibalas dengan azab neraka. Sentiasalah berlaku jujur dalam setiap kerja yang dilakukan, moga-moga kita menjadi umat yang berjaya, bertamadun dan dihormati.

? *Rujukan*: Tafsir Al Jalalain

*Disusun oleh:*
*Lajnah Dakwah DMPM dengan kerjasama Ameerah dan Lajnah Dakwah DMPK Gombak.*
_12 Ramadhan 1439_ / _28 Mei 2018_