Home Tadabbur Al-Quran

Tadabbur Ramadhan (Siri 10/1439H)

988
SHARE

Surah At Taubah: Ayat 24: Alasan-alasan Dalam Perjuangan

? Firman Allah SWT serta terjemahannya:

قُلْ إِنْ كانَ آباؤُكُمْ وَأَبْناؤُكُمْ وَإِخْوانُكُمْ وَأَزْواجُكُمْ وَعَشِيرَتُكُمْ وَأَمْوالٌ اقْتَرَفْتُمُوها وَتِجارَةٌ تَخْشَوْنَ كَسادَها وَمَساكِنُ تَرْضَوْنَها أَحَبَّ إِلَيْكُمْ مِنَ اللَّهِ وَرَسُولِهِ وَجِهادٍ فِي سَبِيلِهِ فَتَرَبَّصُوا حَتَّى يَأْتِيَ اللَّهُ بِأَمْرِهِ وَاللَّهُ لا يَهْدِي الْقَوْمَ الْفاسِقِينَ (٢٤)

Katakanlah, “Jika bapa-bapa, anak-anak, saudara-saudara, isteri-isteri, kaum keluarga kalian, harta kekayaan yang kalian usahakan, perniagaan yang kalian khuatir akan kerugiannya, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kalian sukai, adalah lebih kalian cintai daripada Allah dan RasulNya dan (daripada) berjihad di jalanNya, maka tunggulah sampai Allah mendatangkan keputusanNya.” Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang fasik.

? Tafsir ringkas

1. Ada yang berpendapat, bahawa ayat ini turun berkenaan orang-orang yang enggan berhijrah kerana mengutamakan keluarga dan harta perniagaan.

2. Secara asasnya ayat ini menjelaskan beberapa alasan yang membelenggu diri orang-orang yang beriman dari keluar berjuang dan berjihad. Antaranya ialah:

i. Alasan keluarga sama ada ibu ayah, sanak saudara, anak-anak dan suami atau isteri.

ii. Belenggu harta dan kemewahan.

iii. Kesibukan dengan perniagaan dan kerjaya.

iv. Terikat dengan keselesaan dan mengutamakan kerehatan dan kehidupan di rumah.

3. Kepada mereka yang tidak berhijrah dan berjuang atas alasan-alasan tersebut, maka Allah SWT mengancam hukuman kepada golongan ini. Iaitu mereka dianggap telah keluar daripada ketaatan dan kecintaan kepada Allah, RasulNya, serta berjihad di jalanNya. Mereka juga telah ditarik hidayah sehingga mendekati taraf orang-orang yang fasik.

Pengajaran

1. Kejarlah cinta Allah dan RasulNya. Jangan sekali-kali semua yang disebutkan di atas boleh mengalihkan cinta kita daripada Allah dan Rasul serta jangan ia menjadikan kita lalai daripada mematuhi perintah Allah dan RasulNya.
Bukanlah bermaksud kita perlu membuang kasih kita daripada semua itu, tetapi yang dimaksudkan ialah jangan kita mengasihi semua itu lebih daripada Allah, RasulNya dan berjuang ke jalan Allah kerana ia akan menjauhkan kita daripada Allah dan RasulNya.

2. Renunglah diri dan muhasabah sentiasa, andai kita pernah menangguhkan kerja mentaati Allah atau beralasan untuk tidak keluar berjuang kerana sibuk melayani kerenah anak isteri, suami dan keluarga. Kita mungkin lupa membela Rasulullah SAW apabila kita leka dengan komitmen-komitmen yang lain. Kita juga mungkin akan lupa dengan tugasan jihad, iaitu berjuang ke jalan Allah, kerana leka dengan urusan perniagaan serta harta benda dunia, sehingga tidak mahu mengeluarkan sumbangan kepada jihad fi sabilillah.

3. Para pejuang Islam mestilah mengharmonikan semua kewajipan jika berlaku pertembungan dan bukan menggugurkan salah satu tanggungjawabnya. Kita hendaklah bijaksana menggunakan fiqh aulawiyat dan fiqh muwazanat dalam menyelesaikan permasalahan ini.

4. Para pejuang Islam mestilah profesional dan ‘smart’ dalam setiap bidang yang diceburi. Tiada pilihan kepada pejuang Islam melainkan hebat dalam mengurus keluarga dan kerjaya serta hebat dalam perjuangan di jalan Allah.

5. Uruslah diri, keluarga dan masa dengan baik agar kita juga boleh menyumbang untuk kerja-kerja Islam, amal jamaie dan kemasyarakatan. Dengan itu kita akan menjadi insan yang bermanfaat kepada semua.

6. Takutilah akibat daripada ancaman Allah jika kita sering beralasan dan mengutamakan dunia lebih dari urusan agama Allah.

Rujukan
Tafsir Ibn Kathir dan lainnya

Disusun oleh: Lajnah Dakwah DMPM dengan kerjasama Ameerah Dan Lajnah Dakwah DMPK Gombak
10 Ramadhan 1439H / 26 Mei 2018