Surah al-Maidah: Ayat 8-11: Kewajipan Berlaku Adil dan Jujur
Firman Allah serta terjemahannya:
يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ كُونُوا۟ قَوَّٰمِينَ لِلَّهِ شُهَدَآءَ بِٱلْقِسْطِ وَلَا يَجْرِمَنَّكُمْ شَنَـَٔانُ قَوْمٍ عَلَىٰٓ أَلَّاتَعْدِلُوا۟ ٱعْدِلُوا۟ هُوَ أَقْرَبُ لِلتَّقْوَىٰ وَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ إِنَّ ٱللَّهَ خَبِيرٌۢ بِمَا تَعْمَلُونَ (٨)
Wahai orang-orang yang beriman! Jadilah kamu sebagai penegak keadilan kerana Allah, (ketika) menjadi saksi dengan adil. Dan janganlah kebencianmu terhadap suatu kaum mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Berlaku adillah. Kerana (adil) itu lebih dekat kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha teliti terhadap apa yang kamu kerjakan.
وَعَدَ ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ وَعَمِلُوا۟ ٱلصَّٰلِحَٰتِ لَهُم مَّغْفِرَةٌ وَأَجْرٌ عَظِيمٌ (٩)
Allah telah menjanjikan kepada orang-orang yang beriman dan beramal soleh, (bahawa) mereka akan mendapat ampunan dan pahala yang besar.
وَٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟ وَكَذَّبُوا۟ بِـَٔايَٰتِنَآ أُو۟لَٰٓئِكَ أَصْحَٰبُ ٱلْجَحِيمِ (١٠)
Adapun orang-orang yang kafir dan mendustakan ayat-ayat Kami, mereka itulah penghuni neraka.
يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ ٱذْكُرُوا۟ نِعْمَتَ ٱللَّهِ عَلَيْكُمْ إِذْ هَمَّ قَوْمٌ أَن يَبْسُطُوٓا۟ إِلَيْكُمْ أَيْدِيَهُمْ فَكَفَّ أَيْدِيَهُمْ عَنكُمْ وَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ وَعَلَى ٱللَّهِ فَلْيَتَوَكَّلِ ٱلْمُؤْمِنُونَ (١١)
Wahai orang-orang yang beriman! Ingatlah ni’mat Allah (yang diberikan) kepadamu, ketika suatu kaum bermaksud hendak menyerangmu dengan tangannya, lalu Allah menahan tangan mereka daripada kamu. Dan bertakwalah kepada Allah, dan hanya kepada Allah-lah hendaknya orang-orang beriman itu bertawakal.
Tafsir ringkas:
1. Allah SWT memerintah kepada orang-orang mukmin supaya sentiasa menegakkan kebenaran dan keadilan keranaNya, bukan kerana manusia atau untuk menjaga harga diri.
2. Allah SWT juga melarang kita membiarkan perasaan benci terhadap orang lain sehingga terdorong untuk tidak berlaku adil kepada mereka, bahkan kita disarankan agar mengamalkan keadilan terhadap setiap orang, baik terhadap teman ataupun musuh kerana sikap adil itu lebih dekat kepada takwa. Allah akan membalas atas apa yang telah Dia ketahui dari amal perbuatan yang kita kerjakan. Jika amal itu baik, maka balasannya baik; dan jika amal itu buruk, maka balasannya akan buruk pula.
3. Allah memberi keampunan bagi dosa-dosa mereka dan pahala yang besar, iaitu syurga yang merupakan rahmat Allah kepada hamba-hamba-Nya. Syurga tidak dapat diperoleh disebabkan amal perbuatan mereka, melainkan hanya semata-mata sebagai rahmat dan kemurahan dari-Nya. Walaupun penyebab sampainya rahmat tersebut kepada mereka adalah disebabkan amal perbuatan mereka, hakikatnya Allah SWT sendirilah yang menjadikan penyebab-penyebab untuk memperoleh rahmat, kemurahan, ampunan, dan redha-Nya. Segala sesuatunya dari Allah dan milik Allah, segala puji dan anugerah adalah milik Allah.
4. Adapun orang kafir dan yang mendustakan ayat-ayat Allah, mereka itu dimasukkan ke dalam neraka. Perkara ini merupakan sifat adil Allah dan hikmah serta keputusan-Nya yang tiada kezaliman padanya, bahkan Dia Pemberi keputusan Yang Maha Adil lagi Maha Bijaksana serta Maha Kuasa.
5. Qatadah menyebutkan bahawa ada suatu kaum dari kalangan orang Arab Badwi yang berniat membunuh Rasulullah saw, lalu mereka mengutus orang Arab Badwi itu (salah seorang dari mereka yang berani). Namun rancangan tersebut telah digagalkan oleh Allah SWT. Ini merupakan satu nikmat besar dari Allah yang wajib disyukuri dengan penuh ketaqwaan.
Pengajaran
1. Setiap jiwa yang beriman hendaklah sentiasa berlaku adil sesama manusia meskipun terhadap mereka yang tidak disukai atau yang pernah melukai diri.
2. Ukurlah ketaqwaan yang ada pada dalam diri, mampukah kita berlaku adil dengan semua pihak tanpa mengira kedudukannya di dalam hati kita.
3. Pemimpin dan orang bijak pandai dalam masyarakat sepatutnya lebih tahu menjiwai makna adil. Ketika berbicara, membuat keputusan dan bertindak, bebaskanlah diri dari sikap diskriminasi, pilih bulu dan pendendam sehingga menampakkan ketidakjujuran.
4. Neraca keadilan mestilah bersendikan hukum agama, undang-undang negara, mahupun hukum sosial (adat) yang berlaku. Ia tidak akan memihak kecuali kepada kebenaran.
5. Jika diminta pandangan dan pendapat ataupun kesaksian, nyatakanlah yang benar iaitu yang adil. Katakan apa yang diketahui dalam isu-isu yang disentuh dengan sebenarnya, walaupun ia akan menguntungkan orang yang tidak engkau senangi, atau merugikan orang yang engkau senangi.
6. Pemimpin negara adalah yang paling diberatkan untuk berlaku adil dan wajib menunaikan hak-hak rakyat. Hak rakyat juga adalah hak-hak asasi manusia. Ia bukan pemberian seseorang, organisasi atau negara, tapi adalah anugerah Allah yang sudah dibawa sejak lahir ke dunia.
7. Sebagai rakyat, penting bagi kita untuk mengetahui dan menyedari akan hak-hak asasi kita sebagai manusia dan sebagai rakyat kerana kebebasan bernegara merupakan salah satu hak yang kita miliki.
8. Pihak pemerintah berilah ruang yang seadilnya untuk rakyat memberi pandangan dan bertukar-tukar fikiran. Jangan amalkan budaya menghentam sesuatu pihak sedangkan di satu pihak tiada peluang untuk mempertahankan hakikat kebenaran yang ada padanya.
9. Bersyukurlah dan kenangilah setiap kurniaan Allah dan segala pertolonganNya yang pernah berlaku terhadap diri kita, ia akan menjadikan kita lebih kuat bertawakkal kepada Allah SWT.
Rujukan:
Tafsir Ibnu Kathir
Disusun oleh:
Lajnah Dakwah DMPM dengan kerjasama Ameerah dan Lajnah Dakwah DMPK Gombak.
6 Ramadhan 1439 / 22 Mei 2018