?? *Tadabbur Ramadhan* ??
_Siri 03/1439H_
*Surah Al Baqarah: Ayat: 264: Sedekah yang Sia-Sia*
? *Firman Allah serta terjemahannya:*
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تُبْطِلُوا صَدَقَاتِكُمْ بِالْمَنِّ وَالْأَذَىٰ كَالَّذِي يُنْفِقُ مَالَهُ رِئَاءَ النَّاسِ وَلَا يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ ۖ فَمَثَلُهُ كَمَثَلِ صَفْوَانٍ عَلَيْهِ تُرَابٌ فَأَصَابَهُ وَابِلٌ فَتَرَكَهُ صَلْدًا ۖ لَا يَقْدِرُونَ عَلَىٰ شَيْءٍ مِمَّا كَسَبُوا ۗ وَاللَّهُ لَا يَهْدِي الْقَوْمَ الْكَافِرِينَ (٢٦٤)
_Wahai orang-orang yang beriman! Jangan rosakkan (pahala amal) sedekah kamu dengan perkataan mengungkit-ungkit dan (kelakuan yang) menyakiti, seperti (rosaknya pahala amal sedekah) orang yang membelanjakan hartanya kerana hendak menunjuk-nunjuk kepada manusia (riya’), dan ia pula tidak beriman kepada Allah dan hari akhirat. Maka bandingan orang itu ialah seperti batu licin yang ada tanah di atasnya, kemudian batu itu ditimpa hujan lebat, lalu ditinggalkannya bersih licin (tidak bertanah lagi). (Demikianlah juga halnya orang-orang yang kafir dan riya’ itu) mereka tidak akan mendapat sesuatu (pahala) pun dari apa yang mereka usahakan. Dan (ingatlah), Allah tidak akan memberi petunjuk kepada kaum yang kafir._
? *Tafsir ringkas:*
1. Melalui ayat ini, Allah memberitahu bahawa pahala sedekah akan hilang apabila diikuti dengan perbuatan mengungkit-ungkit dan menyakiti si penerima.
2. Pahala sedekah dan segala amal soleh juga akan terhapus jika dilakukan dengan niat _riya’_ iaitu kerana ingin dilihat manusia, menginginkan pujian dari manusia, ingin dikatakan dermawan dan dengan tujuan-tujuan dunia tanpa membulatkan niat yang ikhlas dan mengharap redha Allah serta pahala yang berlimpah dari-Nya.
3. Allah memberikan perumpamaan bahawa orang yang _riya’_ dalam berinfaq seperti batu licin yang di atasnya ada tanah kemudian batu itu ditimpa hujan lebat lalu batu itu menjadi bersih. Ini bermaksud hujan yang lebat itu menjadikan batu tersebut bersih dan licin, tidak ada tanah sedikit pun yang menempel padanya. Perumpamaan ini ditujukan kepada orang yang _riya’_ dalam beramal bahawa pahala amalnya akan hilang dan tidak ada gunanya di sisi Allah walaupun nampak di mata manusia amalnya begitu banyak.
4. Begitu jugalah amalan orang kafir. Banyak manapun dia beramal baik tetap juga amalannya tidak dikira dan dianggap sia- sia di akhirat kelak kerana aqidah kufurnya telah menafikan haknya untuk mendapat ganjaran dari Allah SWT.
? *Pengajaran*
1. Kita hendaklah sentiasa berhati-hati dan meluruskan niat ketika bersedekah dengan tidak menyebut- nyebut kembali sedekah yang telah kita berikan serta tidak menyakiti hati orang yang menerima sedekah.
2. Elakkan daripada terikut-ikut dengan budaya segelintir manusia pada hari ini yang gemar menunjuk-nunjuk sedekah yang dihulurkan. Ada yang sentiasa kemaskini di dalam facebook, twitter atau instagram amalan-amalan kebaikan yang dilakukan. Segala kebajikan akan menjadi sia-sia jika dilakukan dengan tujuan untuk memperlihatkan sikap dermawan kita kepada orang ramai dan inginkan pujian manusia. Allah melarang perbuatan seperti ini sebaliknya semua kebaikan seharusnya diniatkan semata-mata untuk mendapatkan keredhaan Allah sahaja.
3. Renungilah betapa halusnya perumpamaan yang Allah berikan kepada golongan yang _riya’_ dalam berinfaq iaitu seumpama seperti batu licin yang diatasnya ada tanah dan akan bersih selepas ditimpa hujan lebat. Ini menunjukkan bahawa amalan berserta perasaan _riya’_ adalah rugi dan sia-sia kerana di sisi Allah pahala amalnya akan hilang.
4. Lakukanlah perkara yang baik dan niatkan _lillahi Taala_. Bukan kerana gila ‘glamour’, populariti dan mahukan habuan duniawi semata-mata. Sekiranya terdetik perasaan tersebut, berhenti sebentar dan istighfar banyak-banyak . Namun jangan pula berhenti beramal. Teruskan dan teruskan sehingga ikhlas.
5. Penuhilah syarat-syarat berikut agar sedekah dan amal soleh kita diterima Allah, iaitu (i) akhlak yang mulia, (ii) niat yang ikhlas dan (iii) aqidah yang benar (tauhid).
? *Rujukan*: Tafsir Ibnu Katsir
*Disusun oleh:*
*Lajnah Dakwah DMPM dengan kerjasama Ameerah dan Lajnah Dakwah DMPK Gombak.*
_3 Ramadhan 1439_ / _19 Mei 2018_