Home Tadabbur Al-Quran

Tadabbur Ramadhan (Siri 02 /1439H)

798
SHARE

Surah Al-Baqarah : Ayat 172-173: Makanan yang Halal dan Haram

Firman Allah serta terjemahannya:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُلُوا مِنْ طَيِّبَاتِ مَا رَزَقْنَاكُمْ وَاشْكُرُوا لِلَّهِ إِنْ كُنْتُمْ إِيَّاهُ تَعْبُدُونَ (١٧٢)

Wahai orang-orang yang beriman! Makanlah dari benda-benda yang baik (yang halal) yang telah Kami berikan kepada kamu, dan bersyukurlah kepada Allah, jika betul kamu hanya beribadat kepadanya.

إِنَّمَا حَرَّمَ عَلَيْكُمُ الْمَيْتَةَ وَالدَّمَ وَلَحْمَ الْخِنْزِيرِ وَمَا أُهِلَّ بِهِ لِغَيْرِ اللَّهِ ۖ فَمَنِ اضْطُرَّ غَيْرَ بَاغٍ وَلَا عَادٍ فَلَا إِثْمَ عَلَيْهِ ۚ إِنَّ اللَّهَ غَفُورٌ رَحِيمٌ (١٧٣)

Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan kepada kamu memakan bangkai, dan darah, dan daging babi, dan binatang-binatang yang disembelih tidak kerana Allah maka sesiapa terpaksa (memakannya kerana darurat) sedang ia tidak mengingininya dan tidak pula melampaui batas (pada kadar benda yang dimakan itu), maka tidaklah ia berdosa. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Tafsir ringkas:

1. Allah memerintahkan hamba-hambaNya yang beriman untuk memakan makanan yang baik dari sebahagian rezeki yang dianugerahkanNya serta perlu bersyukur di atas rezeki tersebut jika mereka benar-benar mengaku sebagai hambaNya.

2. Semua makanan yang baik-baik adalah halal melainkan setelah ada pengharamannya antaranya bangkai (binatang yang mati tanpa disembelih, tercekik, terpukul, jatuh, ditanduk atau diterkam oleh binatang buas), daging babi, dan binatang yang disembelih dengan menyebut nama selain Allah.

3. Namun demikian Allah memberi rukhsah (keringanan) untuk makan makanan yang haram dalam keadaan darurat dan sangat mendesak ketika tidak ada lagi makanan yang lain.

Pengajaran

1. Jagalah makanan yang akan masuk ke dalam perut kita dan keluarga kita agar kehidupan yang dilalui menjadi pengabdian sepenuhnya kepada Allah al-Razzaq. Mudahan mendapat rahmat dan keberkatan dariNya.

2. Memakan makanan yang halal termasuk salah satu sebab terkabulnya doa, diterimanya ibadah serta pengampunan dari Allah SWT.

3. Menjadi kewajipan bagi kita sebahagian dari umat Islam ( fardhu kifayah ) mempunyai ilmu dan kepakaran dalam menentukan halal dan haram dalam sesuatu perkara, lebih-lebih lagi dalam hal makanan memandangkan ianya akan menjadi darah daging kita.

4. Sesuatu benda haram yang diambil ketika darurat, hendaklah diambil sekadarnya sahaja, cukup untuk menyelamatkan nyawa dan bukan untuk kenyang dengannya.

Rujukan:
Tafsir Ibnu Kathir

Disusun oleh:
Lajnah Dakwah DMPM dengan kerjasama Ameerah dan Lajnah Dakwah DMPK Gombak.
2 Ramadhan 1439 / 18 Mei 2018