Home Tadabbur Al-Quran

Tadabbur Ramadhan: Orang Kafir Bersama Sekutu Mereka

997
SHARE

?? Tadabbur Ramadhan ??
Siri 20 /1439H

Surah Al-Qasas: Ayat 62-66: Orang Kafir Bersama Sekutu Mereka

? Firman Allah serta terjemahannya:

وَيَوْمَ يُنَادِيهِمْ فَيَقُولُ أَيْنَ شُرَكَائِيَ الَّذِينَ كُنْتُمْ تَزْعُمُونَ (٦٢)

Dan pada hari (kiamat itu) Allah menyeru mereka lalu bertanya:” Mana dia sekutu-sekutuKu, yang kamu anggap mereka (menjadi tuhan dan dapat memberikan pertolongan)?”

قَالَ الَّذِينَ حَقَّ عَلَيْهِمُ الْقَوْلُ رَبَّنَا هَٰؤُلَاءِ الَّذِينَ أَغْوَيْنَا أَغْوَيْنَاهُمْ كَمَا غَوَيْنَا ۖ تَبَرَّأْنَا إِلَيْكَ ۖ مَا كَانُوا إِيَّانَا يَعْبُدُونَ (٦٢)

Mereka yang berhak menerima hukuman (azab neraka) berkata: “Wahai Tuhan kami, inilah mereka yang kami menyebabkan kesesatannya, kami menyebabkan mereka sesat (dengan pilihan mereka sendiri) sebagaimana kami telah sesat (dengan pilihan kami sendiri); (dengan ini) kami mengakui kepadaMu bahawa kami berlepas diri (dari kekufuran mereka). Bukanlah Kami yang mereka puja dan taati, (bahkan mereka hanya memuja dan mentaati hawa nafsu mereka sendiri)”.

وَقِيلَ ادْعُوا شُرَكَاءَكُمْ فَدَعَوْهُمْ فَلَمْ يَسْتَجِيبُوا لَهُمْ وَرَأَوُا الْعَذَابَ ۚ لَوْ أَنَّهُمْ كَانُوا يَهْتَدُونَ (٦٤)

Dan dikatakan (kepada mereka): Panggilah makhluk-makhluk dan benda-benda yang kamu jadikan sekutu Allah (untuk menolong kamu)”. Lalu mereka memanggilnya, tetapi makhluk-makhluk dan benda-benda itu tidak menyahut panggilan mereka; dan mereka tetap melihat azab (dengan merasa sesal) serta bercita-cita kalaulah mereka di dunia dahulu menurut petunjuk.

وَيَوْمَ يُنَادِيهِمْ فَيَقُولُ مَاذَا أَجَبْتُمُ الْمُرْسَلِينَ (٦٥)

Dan pada hari (kiamat itu) Allah menyeru mereka lalu bertanya: “Apa jawab kamu kepada Rasul-rasul yang diutus kepada kamu dahulu?

فَعَمِيَتْ عَلَيْهِمُ الْأَنْبَاءُ يَوْمَئِذٍ فَهُمْ لَا يَتَسَاءَلُونَ (٦٦)

Maka gelaplah kepada mereka, pada hari itu, segala khabar berita dan peristiwa (yang telah lalu), serta jadilah mereka tidak dapat hendak bertanya-tanya sesama sendiri.

? Tafsir ringkas:

1. Ayat 62 adalah gambaran pada hari kiamat kelak di waktu Allah menempelak orang kafir musyrik, bertanyakan kepada mereka tentang berhala-berhala sembah mereka selain Allah SWT dan adakah sembahan itu dapat membantu mereka atau membela dirinya sendiri. Dapatkah semuanya itu melepaskan dari azab yang menimpa mereka? Sudah pasti mereka tidak mampu mengemukakan jawapan. Pertanyaan ini hanyalah satu celaan dan penghinaan kepada mereka. Sebahagian ahli tafsir menjelaskan orang kafir akan diseret kaki mereka di hadapan mahkamah keadilan Allah sebagai pesalah.

2. Pada ayat 63 mereka mengaku bahawa mereka telah menyesatkan golongan yang mahu mengikuti mereka dan mengiyakan ajakan mereka yang menyesatkan itu, dengan kemahuan sendiri sebagaimana juga mereka sesat dengan kemahuan sendiri, tidak ada paksaan sama sekali. Pengakuan ini jugalah yang diperakui oleh syaitan. Namun syaitan berlepas diri dari penyembahan mereka yang menjadi pengikutnya. Menurut syaitan bukan syaitan yang mereka sembah tetapi mereka menyembah berhala yang mereka ciptakan sendiri.

3. Oleh itu pada ayat 64 Allah meminta golongan itu menyeru berhala-berhala yang mereka sembah untuk menyelamatkan mereka dari azab neraka sebagaimana mereka minta bantuan sekutu-sekutu mereka di dunia, namun berhala-berhala tersebut tidak menjawab pun kerana ia tidak berdaya walau sehingga meyakinkan bahawa mereka pasti dimasukkan ke dalam azab neraka.

Dan setelah melihat azab yang akan menimpa mereka, ketika itu mereka berkeinginan kiranya dahulu waktu masih hidup di dunia mereka menerima petunjuk dan beriman kepada Allah SWT, tetapi keinginan itu, hanya merupakan angan-angan yang tidak mungkin terlaksana.

5. Ayat seterusnya Allah meminta jawapan tentang tanggapan mereka terhadap para rasul yang diutuskan kepada mereka.
Orang mukmin menjawab dengan penyaksian tiada tuhan selain Allah dan Nabi Muhammad adalah hamba dan rasulNya. Sementara orang kafir hanya menyatakan “Saya tidak tahu” menyebabkan di akhirat mereka diam sahaja tanpa dapat menjawab pertanyaan itu.

6. Ayat 66, menyatakan bahawa mereka tidak dapat mengemukakan sebarang alasan malah mereka saling tanya menanya, saling tegur menegur sebagaimana biasanya orang-orang yang menghadapi kesulitan dan kesukaran. Mereka masing-masing dalam keadaan bingung dan ketakutan. Sesama mereka sendiri pun sudah kelu dan tertutup mulut apatah lagi ketika berhadapan dengan Allah SWT.

? Pengajaran

1. Urusan nasib manusia di akhirat adalah hak mutlak Allah yang memberi balasan kepada orang beriman dan orang kafir.

2. Manusia yang menerima dan beramal dengan ajaran para rasul semasa di dunia, mereka akan terselamat daripada azab di akhirat.

3. Beramallah dengan sebanyaknya di dunia kerana penyesalan di akhirat tidak akan mengembalikan semula kehidupan kita di dunia.

4. Kita hendaklah berpegang dengan akidah yang benar agar segala amalan kita di dunia diterima oleh Allah.

5. Kita hendaklah berhati-hati dengan tipu daya syaitan yang sentiasa mengintai ruang untuk dijadikan pengikutnya.

6. Orang beriman yang menghalangi dari tertegaknya syariat Allah bahkan berbangga dengan sistem buatan manusia hendaklah insaf bahawa di akhirat kelak mereka tidak dapat memohon bantuan sekutu mereka untuk menyelamatkan mereka dari azab Allah SWT.

7. Kita hendaklah mengikut petunjuk Allah dan Rasul, bukan mengikut kehendak orang kafir yang buta di dunia bahkan lebih buta dan besar kesesatan mereka di akhirat kelak.

8. Kenali golongan yang menyeru ke arah menyekutukan Allah dalam pelbagai bentuk dan jenama moden (sama ada sembahan selain Allah, kumpulan, pemimpin atau penyokong). Sesiapa yang terpedaya dengan seruan tersebut akan dikumpulkan bersama sekutu-sekutu ini di akhirat nanti. Malangnya pada hari tersebut semua sekutu itu tidak dpt menyelamatkan mereka drp azab Allah, sebaliknya hanya berlepas diri.

9. Umat Islam hendaklah membentuk kesatuan bagi melindungi dan mempertahankan diri dan agama Islam dari ancaman orang kafir serta sekutu mereka. Sebaliknya, janganlah kita menjadi sekutu kepada golongan kafir.

10. Bersihkan jiwa dari ikatan-ikatan dunia yang menjauhkan kita dari Allah. Dunia letaknya ditangan, bukannya di hati kerana jika di hati itulah sebenarnya berhala yang membelit kehidupan kita sehingga rasa berat dan tidak sanggup berjuang mempertahankan agama Allah.

? Rujukan:
1. Tafsir Ibnu Kathir
2. Tafsir Al Azhar

Disusun oleh:
Lajnah Dakwah DMPM dengan kerjasama Ameerah dan Lajnah Dakwah DMPK Gombak.
20 Ramadhan 1439 / 5 Jun 2018