Home Tadabbur Al-Quran

Tadabbur Ramadhan : Hukum Jihad dan Menuntut Ilmu

8291
SHARE

Ramadhan Tadabbur Ramadhan : Siri 11/1439H

Surah At Taubah: Ayat 122 & 123

? Firman Allah SWT serta terjemahannya:

وَمَا كَانَ الْمُؤْمِنُونَ لِيَنفِرُوا كَافَّةً ۚ فَلَوْلَا نَفَرَ مِن كُلِّ فِرْقَةٍ مِّنْهُمْ طَائِفَةٌ لِّيَتَفَقَّهُوا فِي الدِّينِ وَلِيُنذِرُوا قَوْمَهُمْ إِذَا رَجَعُوا إِلَيْهِمْ لَعَلَّهُمْ يَحْذَرُونَ (١٢٢)

Dan tidak sepatutnya bagi orang yang beriman itu pergi semuanya (ke medan perang). Mengapa tidak pergi daripada setiap golongan di kalangan mereka beberapa orang untuk mendalami ilmu agama dan supaya mereka dapat memberi peringatan kepada kaumnya (yang keluar berjuang) apabila orang itu kembali. Mudah-mudahan mereka itu dapat menjaga diri mereka.

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا قَاتِلُوا الَّذِينَ يَلُونَكُم مِّنَ الْكُفَّارِ وَلْيَجِدُوا فِيكُمْ غِلْظَةً ۚ وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ مَعَ الْمُتَّقِينَ – (١٢٣)

Wahai orang yang beriman! Perangilah orang kafir yang berada di sekitar kamu itu dan biarlah mereka merasai sikap ketegasan daripada kamu dan ketahuilah bahawa Allah bersama orang yang bertakwa.

Tafsir ringkas

1. Di dalam ayat ini Allah menjelaskan tentang kepentingan menuntut ilmu berserta kewajipan jihad. Namun dalam keadaan tertentu tidaklah semuanya diperintahkan pergi berjihad kerana sebahagian dari mereka dipertanggungjawabkan untuk memperdalami agama atau tafaqquh fiddin.

2. Tafaqquh fiddin bermaksud mendalami dan mempelajari ilmu pengetahuan yang menyeru manusia kepada al-haq (kebenaran) dan tujuannya adalah bermatlamat untuk melahirkan mukminin yang dapat memperingati kaumnya setelah mereka pulang dari menuntut ilmu kelak. Golongan ilmuan yang faqih fiddin ini dapat membimbing para pejuang agama Allah kepada agama yang sebenar. Seterusnya memberi amaran kepada mereka tentang bahaya sifat jahil dan hendaklah menjauhkan perkara-perkara maksiat kepada Allah Taala.

3. Diriwayatkan oleh Ibn Abi Hatim daripada Abdullah bin Abidullah bin Amir berkata: “Orang-orang Islam diberi galakkan supaya berjihad, apabila Rasulullah SAW menghantar bala tentera ke medan perang mereka akan keluar beramai-ramai. Pada masa yang sama mereka meninggalkan Nabi SAW di Madinah dengan beberapa orang sahaja. Lalu ayat itu di turunkan.

4. Seterusnya, Allah SWT memerintahkan kepada orang-orang mukmin untuk memerangi orang-orang kafir secara bertahap, mulai dari yang paling dekat jangkauannya dengan negara Islam. Iaitu memerangi kaum kafir yang paling hampir dengan tempat mereka dan seterusnya yang paling hampir selepas daripada itu. Yang dekat itu lebih berhak dan lebih utama sebelum menyerang tempat yang jauh. Inilah suatu siasah peperangan yang diajar oleh Allah Taala kepada kita.

5. Ayat ini juga memberi dasar bahawa siasah peperangan itu ialah orang-orang kafir dapat merasai sikap pejuang-pejuang tentera Islam yang mempunyai prinsip yang tegas, jiwa dan semangat yang kental, gagah perkasa, penuh kesabaran dan sebagainya ketika berperang. Ini adalah fitrah dan adat peperangan serta maslahah peperangan.

Pengajaran

1. Kewajipan menuntut ilmu juga penting disamping keluar ke medan jihad. Tidak seharusnya mementingkan kepada berjuang semata-mata dan meninggalkan tuntutan menuntut ilmu pengetahuan. Ini kerana golongan yang berilmu berkewajipan menyampaikan ilmu yang berkait dengan hukum hakam dan sebagainya kepada golongan yang keluar berjihad apabila mereka pulang.

2. Kita hendaklah tidak mengambil mudah dalam urusan menuntut ilmu kerana ia juga adalah sebahagian daripada jihad.

3. Pejuang Islam mesti mempunyai ilmu agama dan ilmu kemahiran yang lain kerana inilah alat utama untuk mendirikan agama dan membangun negara yang sejahtera.

4. Namun jangan pula setelah berilmu, memiliki sijil-sijil sarjana dan berjawatan tinggi, mereka meninggalkan jihad dan dakwah, tidak melakukan amar makruf dan nahi mungkar, kerana tenggelam dengan dunia kerjayanya serta lebih mengutamakan kehendak untuk berehat, bermewah, mengumpul harta, menjaga status atau hanya ingin memuaskan hati anak dan isteri sahaja.

5. Ketika diberi peluang untuk menuntut ilmu, berusahalah mendalami ilmu pengetahuan sehingga benar-benar profesional dan sentiasa meluruskan niat belajar demi untuk menyumbang kebaikan kepada agama dan masyarakat.

6. Orang Islam dituntut supaya berpendirian jelas dan bersifat tegas terhadap orang kafir sehinggakan orang kafir mengiktiraf dan akur bahawa orang Islam memang tegas dan berpegang teguh dengan prinsip, terutamanya dalam kancah pertembungan untuk meletakkan Islam dan syariat Allah di tempat tertinggi. Di luar medan ini orang Islam mestilah lembut dan mesra dengan mereka dan berdakwah kepada mereka dengan hikmah dan bijaksana.

Rujukan:
Tafsir Ibn Kathir

Disusun oleh: Lajnah Dakwah DMPM dengan kerjasama Ameerah Dan Lajnah Dakwah DMPK Gombak
11 Ramadhan 1439H / 27 Mei 2018