Home Tadabbur Al-Quran

Tadabbur Ramadan Siri 18/1439H: Menjaga Kehormatan Diri

12627
SHARE

?? *Tadabbur Ramadan* ??
_Siri 18/1439H_

*Surah An-Nur: Ayat 30-31: Menjaga Kehormatan Diri*

? *Firman Allah serta terjemahannya:*

قُلْ لِلْمُؤْمِنِينَ يَغُضُّوا مِنْ أَبْصَارِهِمْ وَيَحْفَظُوا فُرُوجَهُمْ ذَلِكَ أَزْكَى لَهُمْ إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا يَصْنَعُونَ (٣.)

_Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan._

وَقُلْ لِلْمُؤْمِنَاتِ يَغْضُضْنَ مِنْ أَبْصَارِهِنَّ وَيَحْفَظْنَ فُرُوجَهُنَّ وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَلْيَضْرِبْنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلَى جُيُوبِهِنَّ وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا لِبُعُولَتِهِنَّ أَوْ آَبَائِهِنَّ أَوْ آَبَاءِ بُعُولَتِهِنَّ أَوْ أَبْنَائِهِنَّ أَوْ أَبْنَاءِ بُعُولَتِهِنَّ أَوْ إِخْوَانِهِنَّ أَوْ بَنِي إِخْوَانِهِنَّ أَوْ بَنِي أَخَوَاتِهِنَّ أَوْ نِسَائِهِنَّ أَوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَانُهُنَّ أَوِ التَّابِعِينَ غَيْرِ أُولِي الْإِرْبَةِ مِنَ الرِّجَالِ أَوِ الطِّفْلِ الَّذِينَ لَمْ يَظْهَرُوا عَلَى عَوْرَاتِ النِّسَاءِ وَلَا يَضْرِبْنَ بِأَرْجُلِهِنَّ لِيُعْلَمَ مَا يُخْفِينَ مِنْ زِينَتِهِنَّ وَتُوبُوا إِلَى اللَّهِ جَمِيعًا أَيُّهَا الْمُؤْمِنُونَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ (٣١)

_Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya._

? *Tafsir ringkas:*

1. Ayat 30 dan 31, surah al-Nur ini adalah pedoman untuk lelaki dan perempuan beriman agar menjaga pandangan dan kemaluan mereka dari perbuatan yang dilarang oleh Allah dan perintah untuk menutup aurat dan menjaga maruah diri.

2. Menundukkan pandangan bagi seorang lelaki adalah cerminan peribadi yang mulia dan ketinggian adab. Ia adalah satu usaha bagi membersihkan jiwa dengan menahan nafsu yang ingin memperhatikan sesuatu yang mempesonakan syahwat sehingga menimbulkan fitnah. Dengan menjaga pandangan ini, maka tertutuplah pintu pertama yang mengheret kepada penyimpangan dan godaan. Sesiapa yang segera berpaling daripada apa yang diharamkan maka Allah akan anugerahkan ke dalam hatinya rasa manis beribadah. Pandangan kali pertama tanpa sengaja adalah dimaafkan.

3. Menjaga aurat adalah langkah kedua dalam menutupi pintu maksiat. Para ulama telah bersepakat tentang kewajipan menutup aurat sama ada dalam solat mahupun di luar solat.

3. Wanita beriman tidak boleh dengan sengaja menzahirkan perhiasan dan kecantikan mereka serta diperintahkan melabuhkan tudung sehingga menutupi dada kecuali kepada:
i. Suami
ii. Bapa kandung
iii. Bapa mertua
iv. Anak lelaki kandung
v. Anak tiri lelaki (anak suami mereka)
vi. Adik beradik lelaki kandung
vii. Anak saudara lelaki (anak kepada adik beradik lelaki atau perempuan)
viii. Wanita Islam
ix. Hamba yang mereka miliki
x. Pelayan lelaki mereka yang sudah tidak ada keinginan pada wanita (tidak upaya dari sudut mental dan tuntutan batin).
xi. Anak kecil yang tidak mengerti lagi tentang aurat wanita.

4. Aurat seseorang terhadap orang lain dapat dirumuskan seperti berikut:

i. *aurat lelaki sesama lelaki:* tidak boleh menampakkan bahagian antara pusat dan lutut, sama ada lelaki yang melihatnya itu kaum keluarganya ataupun tidak dan sama ada muslim ataupun kafir. Manakala anggota tubuh lain boleh dilihat selagi tidak ada fitnah.

ii. *aurat wanita sesama wanita:* tidak boleh menampakkan bahagian antara lutut dan pusat sahaja, tetapi jika boleh membawa kepada fitnah maka tidak boleh menampakkan bahagian tubuh tersebut. Tidak boleh menampakkan seluruh tubuh (kecuali muka & tapak tangan) kepada wanita non-muslim.

iii. *aurat lelaki di hadapan wanita:* Seorang wanita muslimah boleh melihat kaum lelaki di jalanan, berjual beli, bermain permainan dan sebagainya dengan dua syarat. Pertama, tidak dikhuatiri akan menimbulkan fitnah. Kedua, tidak berada dalam satu majlis berhadap-hadapan.

iv. *aurat wanita di hadapan lelaki:* ada pelbagai hukum yang berbeza:
– Di hadapan lelaki yang tidak ada hubungan mahram. Maka seluruh badan wanita adalah aurat, kecuali wajah dan telapak tangan.
– Di hadapan lelaki yang memiliki hubungan mahram.
Jika seseorang lelaki itu memiliki hubungan mahram kerana nasab, sepersusuan, atau hubungan perkahwinan (mertua), maka aurat wanita itu sebagaimana aurat lelaki iaitu diperbolehkan melihat semua badannya kecuali antara pusat dan lututnya. Kecuali jika ada fitnah, maka wajib menutup seluruh badannya.

5. Kemudian para wanita juga dilarang berjalan dengan cara yang boleh menarik perhatian terutamanya menghentak-hentak kaki dengan sengaja bagi menampakkan perhiasan mereka yang tersembunyi.

6. Allah SWT mengakhiri perintahNya yang sarat adab dan panduan kehormatan diri dengan anjuran bertaubat agar sekaliannya mendapat kejayaan.

? *Pengajaran:*

1. Hendaklah kita berusaha menjadi hamba Allah yang bertaqwa sekalipun dalam hal memilih pakaian bagi menjaga maruah dan kehormatan diri.

2. Janganlah menyalahgunakan nikmat Allah dengan melakukan maksiat seperti tidak menjaga pandangan mata dari perkara yang haram.

3. Tutuplah aurat sesuai dengan syariat Islam. Tidak berlebih-lebihan dan melampau.

4. Sentiasa mengambil tahu dan mengambil berat tentang aurat serta menjaga batas pergaulan sesama keluarga, ipar duai, saudara mara, sahabat handai, rakan sekerja serta masyarakat supaya tidak melanggar batasan.

5. Di zaman kini, ujian banyak berlaku kepada seseorang muslim khususnya melibatkan maksiat pandangan, penzinaan, homoseksual, pendedahan aurat dan pergaulan. Justeru, dalam membendung masalah sosial ini, kita perlu mempraktikkan ayat ini seterusnya menyebarkan tentang aturan Allah dalam 2 ayat ini kepada seramai mungkin muslim muslimah.

6. Jagalah mata dari melihat perkara yang diharamkan samada melihat aurat bukan mahram atau pun rancangan maksiat di media-media. Mata adalah jendela hati. Mata yang terjaga akan melahirkan hati yang bersih lantas menjadi penyebab kepada kekhusyukan.

7. Rasulullah juga melarang dari duduk-duduk di tepi jalan (budaya lepak). Jika tetap ingin duduk, ada hak yang patut dipatuhi iaitu menjaga pandangan mata, tidak menggangu orang yang lalu lalang, menjawab salam, menyuruh pada kebaikan dan mencegah kemungkaran.

8. Para wanita wajib berpakaian dan berhias menurut syariat Allah. Janganlah tergoda dengan bisikan halus yang kononnya fesyen yang _trending_ dan _up to date._. Ketika keluar rumah dan di hadapan lelaki asing elakkan memakai pakaian yang ketat, jarang, berwangian-wangian serta wajah yang berwarna-warni.

9. Akhlak sebagai wanita muslimah juga perlu dijaga. Kurangkan pendedahan diri seperti bergambar menggoda dan berselfi serta komen-komen di media sosial secara sewenang-wenangnya.

10. Dianjurkan pada semua agar sama-sama bertaubat setiap kali melakukan kesilapan sama ada besar atau kecil, sengaja atau tidak, zahir atau batin supaya kita akan sentiasa menjadi golongan yang beruntung dunia dan akhirat.

? *Rujukan*:
1. Tafsir Ibn Kathir
2. Tafsir Al-Azhar
3. Buku “Ajarkan Wanita Mu Surah Al-Nur”

*Disusun oleh:*
*Lajnah Dakwah DMPM dengan kerjasama Ameerah dan Lajnah Dakwah DMPK Gombak.*
_3 Jun 2018 / 18 Ramadhan 1439H_