Home Berita Dewan Muslimat PAS Malaysia

Tadabbur Ramadan : Pedoman dari Umat Terdahulu

688
SHARE

?? Tadabbur Ramadan ??
Siri 16/1439H

Surah Ta-ha: Ayat 128-132: Pedoman dari Peristiwa Umat Terdahulu

? Firman Allah serta terjemahannya:

أَفَلَمْ يَهْدِ لَهُمْ كَمْ أَهْلَكْنَا قَبْلَهُمْ مِنَ الْقُرُونِ يَمْشُونَ فِي مَسَاكِنِهِمْ ۗ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَآيَاتٍ لِأُولِي النُّهَىٰ ١٢٨

Maka tidakkah menjadi petunjuk bagi mereka; telah berapa banyak generasi sebelum mereka yang telah Kami binasakan, padahal mereka melewati (bekas-bekas) tempat tinggal mereka (umat-umat itu)? Sungguh, pada yang demikian itu terdapat tanda-tanda (kekuasaan Allah) bagi orang-orang yang berakal.

وَلَوْلَا كَلِمَةٌ سَبَقَتْ مِنْ رَبِّكَ لَكَانَ لِزَامًا وَأَجَلٌ مُسَمًّى ١٢٩

Dan jika sekiranya tidak ada suatu ketetapan terdahulu dari Tuhanmu, serta tidak ada batas yang telah ditentukan (ajal), pasti (siksaan itu) menimpa mereka.

فَاصْبِرْ عَلَىٰ مَا يَقُولُونَ وَسَبِّحْ بِحَمْدِ رَبِّكَ قَبْلَ طُلُوعِ الشَّمْسِ وَقَبْلَ غُرُوبِهَا ۖ وَمِنْ آنَاءِ اللَّيْلِ فَسَبِّحْ وَأَطْرَافَ النَّهَارِ لَعَلَّكَ تَرْضَىٰ ١٣٠

Maka bersabarlah engkau (wahai Muhammad) atas apa yang mereka katakan, dan bertasbihlah dengan memuji Tuhanmu sebelum matahari terbit dan sebelum terbenamnya; dan bertasbihlah pula pada waktu tengah malam dan di hujung siang hari; agar engkau redha.

وَلَا تَمُدَّنَّ عَيْنَيْكَ إِلَىٰ مَا مَتَّعْنَا بِهِ أَزْوَاجًا مِنْهُمْ زَهْرَةَ الْحَيَاةِ الدُّنْيَا لِنَفْتِنَهُمْ فِيهِ ۚ وَرِزْقُ رَبِّكَ خَيْرٌ وَأَبْقَىٰ ١٣١

Dan janganlah engkau tujukan pandangan matamu kepada kenikmatan yang telah Kami berikan kepada beberapa golongan dari mereka, (sebagai) bunga kehidupan dunia; agar Kami uji mereka dengan kesenangan itu, (sedang) kurnia Tuhanmu lebih baik dan lebih kekal.

وَأْمُرْ أَهْلَكَ بِالصَّلَاةِ وَاصْطَبِرْ عَلَيْهَا ۖ لَا نَسْأَلُكَ رِزْقًا ۖ نَحْنُ نَرْزُقُكَ ۗ وَالْعَاقِبَةُ لِلتَّقْوَىٰ ١٣٢

Dan perintahkanlah keluargamu menunaikan solat dan sabar dalam mengerjakannya. Kami tidak meminta rezeki kepadamu, (bahkan) Kamilah yang memberi rezeki kepadamu. Dan akibat (yang baik di akhirat) adalah bagi orang-orang yang bertaqwa.

? Tafsir ringkas:

1. Ayat ini dimulai dengan pertanyaan Allah SWT kepada Rasulullah SAW berkenaan umatnya yang masih enggan beriman (hakikatnya soalan ini ditujukan kepada mereka); apakah mereka tidak mengambil pengajaran daripada kisah umat terdahulu? Sedang mereka tahu banyak yang telah binasa kerana tidak mahu menerima seruan rasul yang diutuskan kepada mereka.

2. Pertanyaan dari ayat ini berupa seruan agar segera menerima kebenaran dan takut kepada Allah yang Maha Berkuasa untuk memusnahkan mereka dengan begitu sahaja. Latar belakang masyarakat Arab Mekah ketika diturunkan ayat menggambarkan bahawa aktiviti biasa yang mereka jalankan adalah perdagangan dan pengembaraan. Mereka melaluinya, melihat sendiri dan mendengar kisah berkaitan negeri dan umat yang musnah, hancur atau ditenggelam ke dalam bumi. Justeru itu mereka disarankan mengambil ibrah dari perjalanan dan pengalaman yang dilalui.

3. Orang-orang yang berakal sudah pasti akan dapat membaca pengajaran daripada apa yang dilihat, didengar dan dirasai dalam perjalanan hidup mereka.

4. Andai dilihat kepada penentangan dan kebencian mereka terhadap Nabi SAW, pasti mereka juga dibinasakan. Bagaimanapun, Allah lebih dahulu menetapkan suatu peraturan; bahawa kebinasaan yang ditimpa ke atas umat terdahulu tidak akan menimpa umat Nabi SAW kerana ditangguhkan kesudahan balasan ke hari akhirat.

5. Allah menyuruh Nabi SAW supaya bersabar menghadapi hinaan dan tuduhan orang. Kemudian disuruh bertasbih mengingati kesucian dan kemuliaan Tuhan, dan memuji dengan ucapan Alhamdulillah. Dengan itu, mudahan diri menjadi redha dan hati menjadi tenang.

6. Ayat berikutnya melarang Nabi SAW daripada memandang kepada nikmat yang ada pada golongan berada. Itu hanyalah kesenangan yang menjadi ujian kepada mereka. Ni’mat sebenar adalah yang dikurnia Allah di akhirat yang kekal selamanya.

7. Selanjutnya Nabi SAW diperintah agar bersolat, dan menyuruh ahli keluarga menunaikan solat serta sabar mengerjakannya. Sabar di sini bermaksud tidak bosan, atau berhenti kerana malas, malah segera ditunaikan apabila masuk waktunya.

8. Allah menegaskan jaminan rezeki, kerana Dia lah pengurnia rezeki. Bagi orang yang bertaqwa, mereka akan beroleh jalan keluar dripada kesulitan dan rezeki yang tidak disangka. Malah di akhirat, akan mendapat kesudahan yang baik.

? Pengajaran:

1. Kita mesti menggunakan akal yang dikurnia Allah dengan selalu berfikir dan merenung hikmah pada sesuatu kejadian. Akal yang waras fikirnya akan dapat memahami mesej tentang kebesaran dan kekuasaan Allah dalam setiap kejadian.

2. Ajal yang tidak diketahui masa dan bagaimana datangnya seharusnya menjadi motivasi ampuh untuk segera menyambut hidayah Allah. Boleh juga menjadi pemangkin semangat untuk hidup dengan baik, dan tidak takut kepada selain Allah.

3. Para pendakwah kebenaran adalah penyambung tugas Rasul. Justeru itu mesti bersabar, teguh hati dan tabah-tabah sahaja menerima tohmahan, perlian dan kejian orang-orang di sekeliling. Sekiranya semua mahu dilayan, akan habis waktu pula, sedangkan kewajipan lebih besar dan banyak.

4. Tips menghadapi situasi sukar telah diberi Allah SWT, iaitu banyakkan mengucap Subhanallah dan Alhamdulillah, zikir dan istighfar. Mudahan hati berasa tenang dan redha apa saja ketentuan Tuhan.

5. Medan dakwah penuh dengan ranjau. Pejuang Islam mesti membina kekuatan diri dan keluarga sebagai asas dan pasak. Justeru itu perlunya memulakan dengan mendidik diri dan keluarga taat mengerjakan solat pada waktunya. Ditambah pula solat sunat seperti dhuha dan tahajud.

6. Ikutilah pedoman para Nabi apabila menghadapi kesulitan. Mereka segera melakukan solat tanda penyerahan diri dan urusan kepada Allah.

7. Berhati-hatilah dengan slogan kesenangan dan kemenangan yang menipu dan tidak jelas asasnya. Teruslah berpaut dan memegang erat dengan prinsip-prinsip al-Quran kerana inilah perlembagaan dan pedoman untuk setiap inci gerakan kehidupan kita.

? Rujukan:
Tafsir Al Azhar

Disusun oleh:
Lajnah Dakwah DMPM dengan kerjasama Ameerah dan Lajnah Dakwah DMPK Gombak.
1 Jun 2018 / 16 Ramadhan 1439H