Home Tadabbur Al-Quran

Tadabbur Ramadan : Berbakti kepada Ibu Bapa

1737
SHARE

?Tadabbur Ramadhan?
Siri 15/1439H

Surah Al-Israa’, Ayat 23-24: Berbakti kepada Ibu Bapa

✒ Firman Allah serta terjemahannya:

۞ وَقَضَىٰ رَبُّكَ أَلَّا تَعْبُدُوٓا۟ إِلَّآ إِيَّاهُ وَبِٱلْوَٰلِدَيْنِ إِحْسَٰنًا ۚ إِمَّا يَبْلُغَنَّ عِندَكَ ٱلْكِبَرَ أَحَدُهُمَآ أَوْ كِلَاهُمَا فَلَا تَقُل لَّهُمَآ أُفٍّ وَلَا تَنْهَرْهُمَا وَقُل لَّهُمَا قَوْلًا كَرِيمًا ٢٣

Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan “ah”, dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun).

وَٱخْفِضْ لَهُمَا جَنَاحَ ٱلذُّلِّ مِنَ ٱلرَّحْمَةِ وَقُل رَّبِّ ٱرْحَمْهُمَا كَمَا رَبَّيَانِى صَغِيرًا ٢٤

Dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): “Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil.”

? Tafsir Ringkas:

1. Allah SWT memerintahkan kepada hamba-hamba-Nya untuk menyembah-Nya semata, tiada sekutu bagi-Nya.

2. Allah memerintahkan juga agar berbakti, berbuat baik kepada ibu bapa. Allah juga melarang bersikap buruk dan membentak kepada keduanya sekalipun perkataan ‘ah’.

3. Allah memerintahkan supaya berbuat baik dan bertutur perkara yang baik dan lemah lembut kepada kedua ibu bapa, serta bersopan santun kepada keduanya dengan perasaan penuh hormat dan memuliakannya dengan penuh kasih sayang.

4. Allah juga menyuruh kita merendah diri ketika berhadapan dengan ibu bapa di hari tua mereka dan mendoakan mereka, “Wahai Tuhanku, kasihilah mereka keduanya, sebagaimana mereka berdua telah mendidik aku waktu kecil.” (Al-Isra: 24)

? Pengajaran:

1. Berpegang teguhlah kepada akidah yang satu. Sesungguhnya hanya Allah SWT yang layak disembah dan tiada sekutu bagiNya.

2. Sebagai anak, kita tidak boleh melakukan perkara yang tidak baik ataupun membentak kepada kedua-dua ibu bapa kita sekalipun dengan perkataan ‘ah’.

3. Sebagai anak, kita perlu sedia berkhidmat, menyantuni, bertutur dengan perkataan yang baik, berkasih sayang dan memuliakan kedua ibu bapa kita selagi mereka masih ada.

4. Buang segala sikap ego, pangkat, mahupun gelaran yang ada pada diri kita ketika berbakti kepada kedua-duanya. Ini kerana, apa yang kita capai selama ini adalah atas izin Allah juga berkat doa mereka berdua, bukan atas usaha kita sendiri semata.

5. Rebutlah peluang dan kesempatan untuk menjaga ibu bapa terutamanya di hari tua mereka kerana menjaga ibu bapa adalah rezeki kepada anak-anak sebenarnya. Namun, jangan pula kita merasa sudah cukup berbakti bila dapat menjaga mereka kerana apa yang kita lakukan tidak akan sama sepertimana mereka menjaga kita sejak dari kecil.

6. Doakanlah kedua-duanya dengan kesejahteraan dan kasih sayang kerana segala pengorbanan, didikan dan kasih sayang yang dicurahkan tidak akan mampu dibayar oleh anak-anak sekalipun dengan wang ringgit ataupun apa saja kemewahan.

7. Berikan sentuhan kasih sayang sebagaimana yang mereka telah lakukan semasa kita kecil. Cium tangan mereka, kucuplah dahi mereka, dan dakaplah mereka sehingga mereka merasakan kehangatan kasih seorang daripada seorang anak.

8. Ingatlah bahawa, redha Allah bergantung kepada redha kedua-dua ibu bapa.

?Rujukan:
Tafsir Ibn Kathir

Disusun oleh : Lajnah Dakwah DMPM dengan kerjasama Ameerah dan Lajnah Dakwah DMPK Gombak
15 Ramadhan 1439H / 31 Mei 2018