Home Tadabbur Al-Quran

Tadabbur Al Quran: Watak-watak Terpuji Golongan Mukmin

1037
SHARE

?? Tadabbur Ramadan ??
Siri 25/1439H

Surah As-Shura: Ayat 37-43: Watak-watak Terpuji Golongan Mukmin 

? Firman Allah serta terjemahannya:

ﻭَﺍﻟَّﺬِﻳﻦَ ﻳَﺠْﺘَﻨِﺒُﻮﻥَ ﻛَﺒَﺂﺋِﺮَ ﺍْﻹِﺛْﻢِ ﻭَﺍﻟْﻔَﻮَﺍﺣِﺶَ ﻭَﺇِﺫَﺍ ﻣَﺎﻏَﻀِﺒُﻮﺍ ﻫُﻢْ ﻳَﻐْﻔِﺮُﻭﻥَ (٣٧)

Dan juga (lebih baik dan lebih kekal bagi) orang-orang yang menjauhi dosa-dosa besar serta perbuatan-perbuatan yang keji; dan apabila mereka marah (disebabkan perbuatan yang tidak patut terhadap mereka), mereka memaafkannya.

ﻭَﺍﻟَّﺬِﻳﻦَ ﺍﺳْﺘَﺠَﺎﺑُﻮﺍ ﻟِﺮَﺑِّﻬِﻢْ ﻭَﺃَﻗَﺎﻣُﻮﺍ ﺍﻟﺼَّﻼَﺓَ ﻭَﺃَﻣْﺮُﻫُﻢْ ﺷُﻮﺭَﻯ ﺑَﻴْﻨَﻬُﻢْ ﻭَﻣِﻤَّﺎ ﺭَﺯَﻗْﻨَﺎﻫُﻢْ ﻳُﻨﻔِﻘُﻮﻥَ (٣٨)

Dan juga (lebih baik dan lebih kekal bagi) orang-orang yang menyahut dan menyambut perintah Tuhannya serta mendirikan sembahyang dengan sempurna; dan urusan mereka dijalankan secara bermesyuarat sesama mereka; dan mereka pula mendermakan sebahagian dari apa yang Kami beri kepadanya.

ﻭَﺍﻟَّﺬِﻳﻦَ ﺇِﺫَﺁ ﺃَﺻَﺎﺑَﻬُﻢُ ﺍﻟْﺒَﻐْﻰُ ﻫُﻢْ ﻳَﻨﺘَﺼِﺮُﻭﻥَ (٣٩)

Dan juga (lebih baik dan lebih kekal bagi) orang-orang yang apabila ditimpa sesuatu perbuatan secara zalim, mereka hanya bertindak membela diri (sepadan dan tidak melampaui batas).

ﻭَﺟَﺰٰۤﺅُﺍ ﺳَﻴِّﺌَﺔٍ ﺳَﻴِّﺌَﺔٌ ﻣِّﺜْﻠُﻬَﺎ ۚ ﻓَﻤَﻦْ ﻋَﻔَﺎ ﻭَﺍَﺻْﻠَﺢَ ﻓَﺎَﺟْﺮُﻩٗ ﻋَﻠَﻰ ﺍﻟﻠّٰﻪِ ۗ ﺍِﻧَّﻪٗ ﻟَﺎ ﻳُﺤِﺐُّ ﺍﻟﻈّٰﻠِﻤِﻴْﻦَ (٤٠)

Dan (jika kamu hendak membalas maka) balasan sesuatu kejahatan ialah kejahatan yang bersamaan dengannya; dalam pada itu sesiapa yang memaafkan (kejahatan orang) dan berbuat baik (kepadanya), maka pahalanya tetap dijamin oleh Allah (dengan diberi balasan yang sebaik-baiknya). Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berlaku zalim.

ﻭَﻟَﻤَﻦِ ﺍﻧْﺘَﺼَﺮَ ﺑَﻌْﺪَ ﻇُﻠْﻤِﻪٖ ﻓَﺎُﻭﻟٰۤﺌِﻚَ ﻣَﺎ ﻋَﻠَﻴْﻬِﻢْ ﻣِّﻦْ ﺳَﺒِﻴْﻞٍۗ (٤١)

Dan sesungguhnya orang yang bertindak membela diri setelah ia dizalimi, maka mereka yang demikian keadaannya, tidak ada sebarang jalan hendak menyalahkan mereka.

ﺇِﻧَّﻤَﺎ ﺍﻟﺴَّﺒِﻴﻞُ ﻋَﻠَﻰ ﺍﻟَّﺬِﻳﻦَ ﻳَﻈْﻠِﻤُﻮﻥَ ﺍﻟﻨَّﺎﺱَ ﻭَﻳَﺒْﻐُﻮﻥَ ﻓِﻲ ﺍْﻷَﺭْﺽِ ﺑِﻐَﻴْﺮِ ﺍﻟْﺤَﻖِّ ﺃُﻭْﻟَﺌِﻚَ ﻟَﻬُﻢْ ﻋَﺬَﺍﺏٌ ﺃَﻟِﻴﻢٌ (٤٢)

Sesungguhnya jalan (untuk menyalahkan) hanyalah terhadap orang-orang yang melakukan kezaliman kepada manusia dan bermaharajalela di muka bumi dengan tiada sebarang alasan yang benar. Mereka itulah orang-orang yang beroleh azab seksa yang tidak berperi sakitnya.

ﻭَﻟَﻤَﻦ ﺻَﺒَﺮَ ﻭَﻏَﻔَﺮَ ﺇِﻥَّ ﺫَﻟِﻚَ ﻟَﻤِﻦْ ﻋَﺰْﻡِ
ﺍْﻷُﻣُﻮﺭِ (٤٣)

Dalam pada itu (ingatlah), orang yang bersabar dan memaafkan (kesalahan orang terhadapnya), sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat (melakukannya).

? Tafsir ringkas:

1. Sebelum dari ayat ini Allah SWT menerangkan bahawa orang-orang yang beriman dan sering bertawakkal kepada Allah adakah mereka yang meyakini bahawa nikmat di dunia ini hanyalah sementara, sedangkan kehidupan di akhirat adakah kekal dan lebih baik di sisiNya.

2. Justeru itu dengan keyakinan inilah orang-orang yang beriman sentiasa berusaha menjalani kehidupan yang sementara ini sesuai dengan kehendak dan aturan ketetapan Allah SWT. Antara sikap terpuji golongan ini sebagaimana yang dinyatakan ayat-ayat ini ialah :

i. menjauhi dosa-dosa besar dan perilaku yang keji

ii. menahan diri dari kemarahan walaupun disakiti oleh orang lain bahkan mereka memaafkan.

iii. bersegera menyahut perintah Allah dan mendirikan solat dengan sempurna

iv. sentiasa bermuafakat dan bermesyuarat dalam perkara yang melibatkan urusan masyarakat dan ummah

v. suka berinfaq , bersedeqah dan sebagainya

vi. ketika mereka dizalimi mereka bangun membela yang hak dengan seadanya tanpa melampai batas sedikit pun.

4. Seterusnya ayat menjelaskan panduan untuk orang-orang yang dizalimi bahawa rahsia kekuatan mereka adalah sifat sabar. Sabar yang dimaksudkan adalah :

i. Sabar ketika menuntut bela samada membalas suatu kejahatan yang diperbuat seseorang seimbang dengan kejahatan yang telah dilakukannya itu ataupun memaafkan mereka sahaja. Itulah lebih besar jaminan kebaikannya dari Allah swt.

ii. Sabar dalam menentang kezaliman yang dimulakan oleh orang lain. Tetap konsisten dan tidak putus asa menyingkir kezaliman sehingga Allah mendatangkan pertolongan, bahkan mereka yang zalim itu akan mendapat azab dan siksa yang pedih di akhirat kelak.

5. Inilah semua sifat-sifat mulia yang menjadi suatu yang kekal berharga di sisi Allah yang menjadi akan saham bagi orang-orang beriman di akhirat kelak.

4. Diriwayatkan bahawa Rasulullah SAW berkata kepada Abu Bakar mengenai tiga hal, iaitu:

i. Seorang hamba dianiaya, lalu dia memaafkan penganiayaan itu, maka ia akan dimuliakan Allah dan ditolong Nya.

ii. Seorang lelaki yang memberikan suatu pemberian dengan maksud mengeratkan hubungan silaturrahim akan diberi Allah tambahan rezeki yang banyak.

iii. Orang yang meminta-minta dengan maksud untuk memperkaya diri akan dikurangi Allah rezekinya.

? Pengajaran

1. Islam adalah agama yang mengatur segala urusan kehidupan manusia termasuklah dalam menghadapi pergeseran ketika interaksi sesama manusia. Terkadang kita zalim terhadap orang lain, terkadang (juga) kita yang dizalimi. Maka Allah telah memberi petunjuk kepada kita, selaku orang beriman bagaimana seharusnya sikap kita samada;

i. Membalas kezaliman selama tidak berlebihan hukumnya harus, bahkan disyariatkan, asalkan setimpal dengan perbuatan tersebut.

ii. Bagi yang memilih untuk memaafkan, maka Allah menyediakan baginya pahala yang besar di sisi-Nya.

2. Kenikmatan dunia hanya sebentar, kenikmatan akhirat itulah yang kekal. Raihlah nikmat yang kekal itu yang tersembunyi dalam amalan mulia ini:

i) Menjauhi dosa besar dan perbuatan keji.
ii) Musyawarah
iii) Kawal kemarahan dan sabar
iv) Jaga solat
v) Murah hati dengan infaq
vi) Berjiwa besar dan bukan pendendam

3. Jika disakiti pendamlah kemarahan. Rawat hati dengan mengambil petua dari nabi SAW. Ambil wudhuk, solat dan sujud lama-lama.

4. Jika dizalimi, jangan takut dan lemah untuk bangun mempertahankan yang hak dan kebenaran. Namun ada adab-adab Islam dan akhlak Al-Quran yang menggarisi perjuangan menghapuskan kezaliman tersebut.

5. Pejuang kebenaran tidak sepatutnya melakukan dosa, samada dosa-dosa kecil, apa lagi dosa-dosa besar.

? Rujukan: Tafsir Ibnu Kathir

Disusun oleh:
Lajnah Dakwah DMPM dengan kerjasama Ameerah dan Lajnah Dakwah DMPK Gombak.
10 Jun 2018 / 25 Ramadhan 1439