Home Tadabbur Al-Quran

Tadabbur Al-Quran (Surah Luqman: Siri 8)

4699
SHARE

??Tadabbur Al Quran ??
Surah Luqman: Siri 8

Ayat 18-19: Larangan Bersifat Meninggi Diri dan Seruan Bersifat Sederhana

? Firman Allah SWT serta terjemahannya:

وَلَا تُصَعِّرْ خَدَّكَ لِلنَّاسِ وَلَا تَمْشِ فِي الْأَرْضِ مَرَحًا ۖ إِنَّ اللَّهَ لَا يُحِبُّ كُلَّ مُخْتَالٍ فَخُورٍ (١٨)

Dan janganlah engkau memalingkan mukamu (kerana memandang rendah) kepada manusia, dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong; sesungguhnya Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong takbur, lagi membanggakan diri.

وَاقْصِدْ فِي مَشْيِكَ وَاغْضُضْ مِن صَوْتِكَ ۚ إِنَّ أَنكَرَ الْأَصْوَاتِ لَصَوْتُ الْحَمِيرِ (١٩)

Dan sederhanakanlah langkahmu semasa berjalan, juga rendahkanlah suaramu (semasa berkata-kata), sesungguhnya seburuk-buruk suara ialah suara keldai.

? Tafsir ringkas:

1. Jika ayat sebelum ini memuatkan ajaran Luqman kepada anaknya tentang tauhid dan ibadat, ayat 18 dan 19 pula berkisar tentang akhlak.

2. Dalam ayat 18, Allah melarang kita memalingkan muka atau ‘buat muka’ seperti mencemik kepada manusia kerana tindakan itu adalah tanda-tanda sombong, apatah lagi jika bercakap dengan nada sombong. Kita juga dilarang berjalan dengan cara yang berlagak atau angkuh. Ketika menafsirkan ayat ini, Hamka menyatakan ini adalah
termasuk budi pekerti, sopan santun dan akhlak yang tinggi. Ketika bercakap secara berhadapan dengan seseorang, kita hendaklah menghadapkan muka kepadanya dan mendengar dengan baik.

3. Dalam ayat 19, Allah SWT mengajarkan cara berjalan pula. Kalimah وَاقصِد dari ق ص د yang bermaksud sederhana. Maka berjalanlah dengan sederhana, iaitu tidak terlalu lembik ataupun dengan cara berlagak (mendabik dada). Ia tidak berkaitan dengan soal kelajuan. Al-Quran juga menerangkan cara berjalan yang mempunyai matlamat, iaitu tidak teragak-agak serta terus menuju ke tempat tujuan dengan mudah dan lancar. Ayat ini juga menyuruh kita menjaga percakapan supaya tidak menyinggung hati orang lain. Tidak salah jika ingin bercakap dengan suara yang lembut ataupun kuat jika situasi memerlukannya, tetapi kita dilarang bercakap buruk. Suara yang buruk (tajam, keras dan kasar) digambarkan seperti suara keldai.

? Pengajaran:

1. Sebagai ibu bapa ataupun orang dewasa, kita mestilah mencontohi Luqman dalam mendidik anak-anak ataupun orang yang lebih muda. Ajarkanlah mereka tentang adab dan akhlak ketika bercakap dan berjalan.

2. Sebagai ibu bapa atau pemimpin, kita hendaklah sentiasa mengamalkan ‘kepimpinan melalui teladan” iaitu dengan menunjukkan akhlak yang baik, berkomunikasi dengan manusia secara beradab, tidak sombong, bersederhana ketika berjalan dan tidak meninggikan suara ketika bercakap. Hakikatnya, keberhasilan akhlak dan adab-adab yang mulia ini adalah natijah daripada kefahaman akidah yang sahih dan pengamalan hukum-hukum syariat secara sempurna.

3. Jauhkanlah sifat sombong dan takabbur ketika bermuamalat sama ada secara bersemuka ataupun melalui media sosial. Elakkanlah daripada membuat pernyataan yang menunjukkan keangkuhan, merendah-rendahkan orang lain dan menunjuk-nunjuk kekayaan dan kelebihan diri sendiri.

? Rujukan:
Tafsir Al-Azhar

Disusun oleh:
Lajnah Dakwah DMPM dengan kerjasama Ameerah dan Lajnah Dakwah DMPK Gombak
9 Oktober 2020 / 21 Safar 1442H