Home Tadabbur Al-Quran

Tadabbur Al-Quran (Surah Luqman: Siri 12)

1031
SHARE

?? Tadabbur Al Quran ??
Surah Luqman: Siri 12

Ayat: 27-28 : Keluasan Ilmu Allah SWT

? Firman Allah serta terjemahannya:

وَلَوۡ أَنَّمَا فِی ٱلۡأَرۡضِ مِن شَجَرَةٍ أَقۡلَـٰمࣱ وَٱلۡبَحۡرُ یَمُدُّهُۥ مِنۢ بَعۡدِهِۦ سَبۡعَةُ أَبۡحُرࣲ مَّا نَفِدَتۡ كَلِمَـٰتُ ٱللَّهِۚ إِنَّ ٱللَّهَ عَزِیزٌ حَكِیمࣱ (٢٧)

Dan sekiranya segala pohon yang ada di bumi menjadi pena, dan segala lautan (menjadi tinta), dengan dibantu kepadanya tujuh lautan lagi sesudah itu, nescaya tidak akan habis Kalimah-kalimah Allah itu ditulis. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

مَّا خَلۡقُكُمۡ وَلَا بَعۡثُكُمۡ إِلَّا كَنَفۡسࣲ وَ ٰ⁠حِدَةٍۚ إِنَّ ٱللَّهَ سَمِیعُۢ بَصِیرٌ (٢٨)

(Bagi Allah Yang Maha Kuasa) soal menciptakan kamu semua (dari tiada kepada ada), dan soal membangkitkan kamu hidup semula sesudah mati, tidak ada yang sukar bagiNya, hanyalah seperti (mencipta dan menghidupkan semula) seorang manusia sahaja. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Melihat.

? Tafsir ringkas:

1. Ayat sebelum ini menyatakan tentang pengakuan orang kafir terhadap rububiyyah Allah SWT walaupun zahirnya mereka ingkar terhadap seruan Rasulullah SAW. Dalam ayat 27 pula Allah SWT menerangkan tentang kalimah-kalimahNya yang sempurna yang mana ia tidak mampu diselami oleh seorang makhluk pun. Tidak ada satu pun daya manusia untuk membongkar hakikat kalimah-kalimah Allah, dan tidak ada satupun kekuatan yang dapat menghitung jumlahnya.

2. Sengaja Allah SWT menyebut bilangan ” tujuh lautan “, tujuannya semata-mata hanya untuk menggambarkan betapa hebatnya kalimah Allah. Namun, Allah tidak bermaksud untuk membataskannya hanya pada angka tujuh kerana ayat-ayat Allah serta kalimah-kalimahNya tidak terbilang dan tidak mampu dihitung oleh makhluk-makhlukNya.

3. Kalimah-kalimah Allah bermaksud firmanNya, ucapanNya, keajaibanNya, hikmah-hikmahNya, ciptaanNya, ilmuNya, perbuatanNya, serta kalimah-kalimah yang menunjukkan kepada kebesaranNya, sifat-sifatNya dan keagunganNya.

4. Allah Maha Perkasa, Dia menakluki, mengatur, serta menundukkan segala sesuatu. Tidak ada seorang pun yang sanggup menghalangi kehendakNya. Juga tidak ada seorang pun yang dapat menentang dan menolak segala keputusanNya. Allah juga Maha Bijaksana dalam penciptaan, perintah, perbuatan, dan seluruh kehendakNya.

5. Menciptakan seluruh manusia dan membangkitkan kembali mereka pada hari kebangkitan merupakan perkara yang sangat mudah bagi Allah SWT. Ia adalah seperti menciptakan dan membangkitkan kembali seorang manusia sahaja bagi menunjukkan betapa mudahnya urusan tersebut bagi Allah SWT.

6. Antara saat kita dilahirkan dan saat kita dibangkitkan nanti, Allah SWT sentiasa mendengar dan melihat semua yang kita lalui dan lakukan. Malah Dia Maha Mendengar dan melihat semua perkara. Semuanya itu sangat mudah bagi Allah SWT seperti mendengar dan melihat kepada seorang manusia sahaja.

? Pengajaran

1. Kenali dan hayatilah keluasan ilmu Allah SWT dengan menggali sebanyak mungkin ilmu pengetahuan sama ada ilmu yang berbentuk duniawi atau ukhrawi agar dapat memberikan manfaatnya untuk diri sendiri dan seluruh umat Islam.

2. Jauhi sifat sombong atau berbangga-bangga dengan ilmu yang kita ada kerana ia adalah milik Allah SWT dan Dia Maha Berkuasa untuk mengambilnya kembali bila-bila masa sahaja dengan kehendakNya.

3. Sebagai seorang muslim, wajib untuk kita percaya terhadap hari kebangkitan serta wujudnya hari pembalasan terhadap setiap amal perbuatan yang kita lakukan sepanjang hidup di atas muka bumi Allah SWT yang hanya sementara ini.

4. Tingkatkan ibadah, amal kebaikan, serta perbanyakkan zikir kepada Allah SWT sebagai persiapan bekalan kita menuju hari akhirat.

5. Amalkanlah zikir yang disukai oleh Allah agar ia mampu menjadi asbab untuk kita mendapat rahmatNya serta selamat di hari akhirat, antaranya zikir berikut:

سُبْحَانَ اللَّهِ وَبِحَمْدِهِ ، سُبْحَانَ اللَّهِ الْعَظِيمِ

Yang bermaksud : “Maha Suci Allah dan segala puji bagi-Nya. Maha Suci Allah Yang Maha Agung”.

? Rujukan:
Tafsir Ibnu Katsir – Jilid 7

Disusun oleh:
Lajnah Dakwah DMPM dengan kerjasama Ameerah dan Lajnah Dakwah DMPK Gombak.
6 November 2020 / 20 Rabi’ul Awwal 1442