Home Tadabbur Al-Quran

Tadabbur Al Quran Surah Al-Waqi’ah: Siri 7

102 views
SHARE

📓📓 Tadabbur Al Quran 📓📓
Surah Al-Waqi’ah: Siri 7

Ayat: 17-19 : Layanan Istimewa di Syurga untuk al-Sabiqun

🖋 Firman Allah serta terjemahannya:

يَطُوفُ عَلَيْهِمْ وِلْدَانٌ مُّخَلَّدُونَ – ١٧

Mereka dikelilingi oleh anak-anak muda yang tetap muda,

بِأَكْوَابٍ وَأَبَارِيقَ وَكَأْسٍ مِّن مَّعِينٍ – ١٨

Dengan membawa gelas, cerek dan piala-piala berisi minuman yang diambil dari sungai yang mengalir

لَّا يُصَدَّعُونَ عَنْهَا وَلَا يُنزِفُونَ – ١٩

Mereka tidak berasa pening kerananya dan tidak pula mabuk

📖 Tafsir ringkas:

1. Setelah menggambarkan penempatan yang indah di dalam syurga, maka ayat ini pula menceritakan tentang layanan istimewa yang diterima oleh golongan al-sabiqun. Mereka dikeliling oleh pelayan-pelayan syurga yang bergelar al-mukhalladun yang diertikan dari bahasa Arab adalah anak-anak muda lelaki yang sangat menyenangkan bila dipandang. Maka terjawablah bagi persoalan apakah di dalam syurga hanya tersedia bidadari, gadis-gadis yang cantik jelita, tiada pemuda-pemuda yang segak tampan?

2. Para mukhalladun tersebut berkhidmat kepada ahli syurga sahaja. Antara yang digambarkan tugas mereka mengedarkan minuman di tempat-tempat minum yang indah, dengan gelas dan cerek diperbuat daripada emas dan perak.

3. Sebagaimana manusia suka berkumpul dan minum-minum semasa di dunia, di syurga juga disediakan tempat-tempat minum yang indah dan mulia. Di sana tiada yang akan pening atau mabuk, sebagaimana yang berlaku di dunia.

4. Airnya pula jernih, bersumber daripada air yang mengalir dari dalam syurga sendiri iaitu dari sungai-sungai yang mengalir di dalam istananya. Pelayan-pelayan itu akan mencedok dari sungai itulah. Penghuni syurga minum air itu bukan kerana dahaga. Kerana sesiapa yang masuk syurga, tidak akan dahaga dan tidak akan lapar sampai bila-bila. Tapi kenapa minum juga? Kerana hendak menikmatinya dan cara minum mereka bukanlah cara minum orang yang haus tetapi mereka minum dengan tenang untuk menikmati air syurga yang memang sedap.

🎀 Pengajaran

1. Menjadi kewajipan kita untuk mengawal dan mendidik nafsu kita agar tidak dikuasai dengan penyakit-penyakit cinta dunia secara berlebihan. Nafsu kita selalu menginginkan nikmat, sedangkan nikmat di dunia hanya sementara dan banyak pula yang terpedaya. Al Quran menceritakan nikmat di syurga yang lebih gah dan hebat, untuk selama-lamanya pula.

2. Sebagai orang-orang yang beriman samada sudah berkahwin, masih bujang atau gadis sentiasalah teguh menahan nafsu, menjaga mata dari maksiat serta memelihara diri dengan menjaga aurat dan maruah. Mudah-mudahan kita layak dilayan dengan layanan istimewa oleh pemuda-pemuda syurga kelak.

3. Apabila kita menghayati isi surah ini dan selalu membacanya setiap malam sebagaimana yang disarankan, jiwa kita akan kuat dan tidak bergantung pada manusia. Hanya kepada Allah kita merendah dan berserah diri.

4. Hindarilah minuman yang memabukkan dan memudharatkan terutama arak. Pihak pemerintahan haruslah serius dalam mengharamkan apa yang diharamkan oleh Allah SWT. Dunia ini tempat ujian dan medan menahan nafsu. Akhirat jua diberikan segalanya yang nafsu kehendaki. Minumlah apa sahaja yang dihidangkan oleh pelayan syurga. Pasti ia tidak memabukkan dan mendatangkan penyakit.

📚 Rujukan:
Tafsir Al Azhar

Disusun oleh:
Lajnah Dakwah DMPM dengan kerjasama Ameerah dan Lajnah Dakwah DMPK Gombak.
12 Mei 2019 / 7 Ramadhan 1440